APAKAH wujud pengarang berbobot yang tercicir daripada Anugerah Penulisan Asia Tenggara  (SEA Write) terutama mereka yang berada di luar Lembah Klang?

Sekali imbas nama seperti Norhisham Mustafa di Kelantan, Marzuki Ali (Terengganu), Marsli NO (Pahang), Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah (Sarawak), Jasni Matlani (Sabah) dan Othman Zainuddin (Johor) masih belum bergelar penerima anugerah berprestij di Asia Tenggara itu.

Norhisham Mustafa

Justeru, timbul persoalan apakah pengarang yang sudah pun membuktikan kepengarangan dan ketokohan sekurang-kurangnya di negeri masing-masing tidak mampu bersaing untuk anugerah itu atau mekanisme penilaiannya yang menyebabkan mereka kecundang.

Thailand selaku penganjur hanya menilai kekuatan satu karya untuk setiap genre daripada puisi, cerpen dan novel, Malaysia  pula  menetapkan  banyak ciri termasuk kelangsungan pengkaryaan, mutu  karya  dan ketokohan.

Penyair Pahang, Ramli Selamat atau Marsli NO, mengakui keciciran itu berlaku kesan daripada  kurangnya   pengetahuan persatuan penulis  dan  pengarang terhadap proses pencalonan Anugerah SEA Write.

“Kalau kita lihat ramai penerima  dalam  kalangan  mereka  yang menetap di Lembah Klang. Ini kerana gambaran pencalonan tidak dijelaskan dengan baik sedangkan ramai penulis hebat juga ada di negeri lain seperti Norhisham dan  Rosli K  Matari di Kelantan,” katanya kepada  Sastera BH.

Meskipun Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP) menggunakan saluran akhbar dan internet untuk memaklumkan pencalonan dibuka, Marsli NO menegaskan ia belum cukup meluas bagi membolehkan persatuan penulis negeri mengetahuinya dengan terperinci.

“Tidak semua persatuan memiliki kelebihan untuk  memanfaatkan dunia teknologi maklumat, selain sebahagiannya pula berdepan dengan masalah  perebutan yang tidak pernah selesai sehingga isu pencalonan terlepas pandang.

“Saya mencadangkan DBP mengadakan taklimat khas dengan memanggil persatuan dan penulis untuk memperincikan mekanisme pencalonan serta menjawab beberapa persoalan yang pernah ditimbulkan sebelum ini,” katanya.

Marsli NO

Beliau turut  menyarankan proses pencalonan dan saringan dimaklumkan dari semasa ke semasa sehingga khalayak dapat melihat bagaimana seseorang penerima itu dipilih daripada pencalonan yang ada.

Tukar mekanisme penilaian

Ketua Satu, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan, pula mencadangkan mekanisme penilaian yang diguna pakai oleh Thailand, iaitu dengan melihat kekuatan satu karya mutakhir boleh diikuti.

“Kaedah itu lebih menarik sebenarnya, tetapi mungkin juga boleh ditambah, iaitu disokong dengan beberapa karya lain dalam tempoh paling minimum, sekurang-kurangnya tiga tahun umpamanya,” katanya.

Jaafar menganggap tidak ramai pengarang Sabah dan Sarawak dipilih untuk Anugerah SEA Write disebabkan persaingan hebat  antara pengarang dari lokasi berbeza, iaitu mereka yang berkarya secara meluas dan kelompok penulis yang sekadar berkarya pada peringkat negeri.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hashim Ismail, mempertahankan mekanisme penilaian Anugerah SEA Write dengan menyifatkannya sebagai terperinci dan melalui pelbagai lapisan.

“Ia termasuk memilih pengarang  mapan pada peringkat nasional yang menghasilkan karya bermutu dan mewakili aspirasi nasional. Sepanjang pembabitan saya sebagai panel penilai, bukan mudah untuk memilih penerima dalam genre yang ditentukan.

“Ia membabitkan proses pencalonan dan penilaian oleh panel yang dianggotai ahli akademik dan pengarang. Penilaian juga bukan sekadar calon yang diterima pada tahun penilaian, bahkan pengarang yang dicalonkan sebelum tahun penilaian,” katanya yang berpengalaman menjadi panel penilai Anugerah SEA Write khususnya genre puisi, cerpen dan novel.

Cadang nama

Dr. Hashim berkata, penilai juga boleh rnencadangkan nama pengarang yang tidak dicalonkan sekiranya difikirkan layak, sebelum meminta urus setia untuk mengumpulkan maklumat kepenga­ rangannya.

Dr. Hashim Ismail

“Mesvuarat panel akan menapis calon yang layak untuk genre yang ditentukan pada tahun penilaian untuk menyaring pengarang yang memperlihatkan kepengarangan yang berterusan dan ketokohan pada peringkat nasional.

“Pada masa sama, kami turut  melihat nilai tambah pada seseorang calon seperti mempunyai sejumlah pengikut, dikenali pada peringkat nasional termasuk di ruang siber dan pembabitannya dalam kegiatan sastera,” katanya.

Beliau berkata, penilaian  peringkat akhir  yang  mempertandingkan dua calon atau lebih juga dibuat secara teliti untuk memastikan penerima paling layak daripada aspek kepengarangan, pemikiran dalam karya dan ketokohan dipilih.

“Pada peringkat inilah menyebabkan beberapa pengarang yang dianggap layak oleh sesetengah pihak atau individu, tidak terpilih kerana saingannya mempunyai kelebihan dari segi ciri yang ditetapkan itu.

“Ini kerana seseorang pengarang perlu hebat dari aspek kepengarangan, menghasilkan karya yang memiliki pemikiran besar atau menampilkan ketokohan dalam sastera dan kami perlu membuat penilaian yang saksama,” katanya.

Mengenai cadangan melantik lebih ramai pengarang kreatif sebagai panel penilai, Dr Hashim berkata, ia mempunyai pro dan kontra kerana ia mungkin dapat memanfaatkan  aspek kreativiti pengarang tetapi berdepan isu pengharapan tinggi yang diletakkan mereka.

“Bagaimanapun, ia boleh dibincangkan secara terperinci kerana dunia sastera Malaysia kini mengalami kekurangan ahli akademik dan pengkritik yang dapat memberikan penilaian dalam penganugerahan sastera,” katanya.

Nilai semula mekanisme

Zaiton Ajamain

Pandangan itu senada dengan penyair Sabah yang juga mantan Ketua Bahagian Promosi dan  Pengiktirafan DBP, Zaiton Ajamain yang berharap persatuan penulis negeri terus mencalonkan penulis mereka sekiranya layak bagi mengelakkan berlakunya keciciran.

“Bagaimanapun selepas 35 tahun anugerah itu berjalan, mungkin patut untuk kita duduk berbincang semula untuk menilai kembali sejauh mana mekanisme penilaian dan mengkaji keperluan untuk menambah baik.

“Serentak itu, saya juga berharap sarjana dan individu yang berpengetahuan dalam dunia sastera tanah air agar terus membuat pencalonan, selain  menjadi tanggungjawab ahli akademik, sekaligus mengelakkan kemungkinan ada pengarang yang tercicir,” katanya.

(Rencana ini tersiar dalam Berita Harian 25 Jun 2013)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036503
    Visit Today : 1281
    This Month : 19102
    Total Visit : 1036503
    Hits Today : 6182
    Total Hits : 4252272
    Who's Online : 8
  • Kategori