TIGA tahun mutakhir ini, pengarang sastera menikmati keadaan ibarat bulan naik, matahari pun naik, apabila satu demi satu dana penerbitan diwujudkan bagi memeriahkan industri bahan bacaan negara ini, khususnya bahan berkaitan sastera. Bermula dengan peruntukan RM5  juta yang diumumkan Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Disember 2011 yang disalurkan melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang dapat memacu penerbitan buku  di  negara  ini,  terutama karya asli penulis muda dalam semua genre.

Pada April lalu pula, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan peruntukan khas RM2 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membantu penulis menggiatkan usaha penghasilan karya bermutu dan kegiatan persatuan penulis.

Lambakan buku

Bagaimanapun, limpahan dana khususnya membabitkan penerbitan buku sastera itu mencetuskan kebimbangan akan kemungkinan lambakan atau longgokan buku sastera,  sekaligus  mengulang lagu lama,  iaitu  ‘buku  sastera tidak terjual’ sehingga ‘berkulat’ di gudang. Kekhuatiran terhadap hal itu ada asasnya jika situasi semasa dijadikan kayu ukur apabila buku sastera masih lagi tidak meluas edarannya di pasaran sehingga pembeli tidak mempunyai banyak pilihan, selain  mendapatkan kedai tertentu atau menanti acara pesta buku.

Rahimah Muda

Novelis Johor, Rahimah Muda, mengakui kemungkinan itu berlaku berdasarkan perkembangan penerbitan sejak dana diperkenalkan apabila wujud buku karya penulis tertentu yang mutu kreatifnya boleh dipersoalkan, tetapi tetap diterbitkan.

“Saya bukan memperlekehkan kemampuan penulis yang diberikan peluang, tetapi saya lihat ada yang tidak lepas tapisan novel DBP, tetapi mendapat peluang menerbitkan buku di tempat lain dengan dana seumpama itu. Saya menggunakan piawaian DBP kerana tapisan badan yang bertanggungjawab terhadap perkembangan bahasa dan sastera itu teliti,” katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perkukuh pemasaran

Dalam konteks pemasaran, Rahimah mengingatkan DBP untuk mengambil langkah segera dalam memasarkan buku terbitannya agar dana yang diterima memberi manfaat kepada penulis, sekali gus merealisasikan tujuan murni kerajaan dalam memberi dana.

“Sejak awal penulisan, apabila penerbit meminta karya untuk diterbitkan, saya akan bertanya mengenai pemasaran terlebih dulu. Sekiranya penerbit sendiri tidak yakin, saya tidak hantar langsung kerana bimbang penat menulis bertahun-tahun, tetapi menang sorak, buku tergadai,” katanya yang juga Johan Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor 2010 melalui novel Tiara Pesona.

Kebimbangan itu turut dikongsi Ketua Sudut Taiping, Persatuan Karyawan Perak (KARYAWAN PK), Sallehuddin  Ibrahim,  apabila mencadangkan DBP merencanakan pakej promosi buku sastera agar jualannya  di pasaran lebih memberangsangkan.

“Dana RM5,000 mungkin sesuai untuk cetakan atas permintaan (POD), tetapi DBP perlu menyediakan peruntukan aktiviti mempromosi. Saya sarankan  dana RM10,000 kepada persatuan digunakan untuk mempromosi karya ahli bagi memikat pembaca agar menyokong serta membeli buku,” ujarnya.

Kegiatan sastera

Penulis muda, Nik Azri Nik Mohamed Arriff atau lebih dikenali sebagai Tuah Saujana, menyarankan dana RM2 juta itu bukan saja mengambil kira penerbitan dan pengedaran buku, bahkan kegiatan sastera pada peringkat akar umbi, khususnya sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Isu lambakan buku sastera tidak akan berlaku jika mekanisme yang diguna pakai tepat. DBP perlu kreatif dalam membahagikan dana dengan membabitkan langkah merakyatkan sastera, di samping meningkatkan pemasaran, edaran dan jualan buku secara menyeluruh.

“Kepelbagaian program sastera pada peringkat akar umbi perlu dilakukan dan tidak sekadar ‘memenangkan’ pengarang dengan menerbitkan buku saja. Dana RM10,000 kepada persatuan perlu digunakan dengan optimum melalui kepelbagaian program.

“Misalnya, sebahagian daripadanya digunakan untuk acara berkaitan dengan promosi sastera, manakala sejumlah yang lain untuk program  penulis negeri. Berikan kebebasan kepada persatuan dalam menentukan  bentuk promosi, tetapi perlu ada pemantauan dan  audit  supaya  pengurusan dana tepat serta tidak disia­siakan,” katanya.

Perlu telus

Muhammad Lutfi Ishak

Kebimbangan itu turut mendapat perhatian Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia  (PENA), Muhammad Lutfi Ishak yang meminta dana itu diuruskan secara telus, iaitu perkembangannya didedahkan kepada khalayak sastera   dan  secara  profesional  dengan memastikan penilainya berkepakaran  dan   mengambil tahu perkembangan penulis semua golongan khususnya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“DBP iuga perlu mencari kaedah lebih berkesan untuk promosi kerana ketika ini masih ada masalah pemasaran. Saya cadangkan mereka menggunakan dana berkenaan untuk menampung promosi buku yang diterbitkan di bawah dana terbabit kerana ia adalah projek khas,” katanya.

Pada  masa  sama,  beliau  mencadangkan DBP menggunakan  agensi perhubungan awam profesional untuk mempromosi buku, di samping melancarkannya  di lokasi strategik  seperti kafe dan kedai buku terkenal agar masyarakat lebih mengetahui bahan terbitan mereka.

“DBP juga perlu bekerjasama dengan agensi dan badan kerajaan lain termasuk Perpustakaan Negara Malaysia untuk  penjualan buku  terbitannya agar ia dapat diagihkan ke perpustakaan di seluruh negara dan mendapat lebih ramai pembaca,” katanva.

(Rencana tersiar dalam Berita Harian 12 Jun 2013)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035553
    Visit Today : 331
    This Month : 18151
    Total Visit : 1035553
    Hits Today : 1753
    Total Hits : 4247843
    Who's Online : 7
  • Kategori