Oleh S.M. ZAKIR

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Omar

BAHASA MELAYU merupakan satu daripada sejumlah besar bahasa yang tergolong dalam rumpun Austronesia. Bahasa-bahasa yang berada dalam rumpun Austronesia ini tersebar dalam kawasan yang meliputi hampir separuh muka bumi, yang sebahagian besarnya ialah lautan yang terkandung kepulauan. Kawasan ini terentang dari kawasan pergunungan di Taiwan, turun ke selatan hingga New Zealand, dan dari Madagaskar di luar pantai timur Afrika hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik.

Dalam rumpun Austronesia yang besar ini, bahasa Melayu selain mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa dalam wilayah geografi yang dekat juga mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa di Lautan Pasifik seperti bahasa Hawaii, Samoa, Fiji, Maori; tidak terkecuali bahasa Malagasi di Madagaskar dan bahasa-bahasa di kawasan pergunungan Taiwan. Jumlah bahasa yang terkandung sebagai keluarga bahasa Austronesia ini dianggarkan antara 1500 hingga 2000 bahasa. Dari segi usianya pula, bahasa Austronesia ini dipercayai telah wujud sejak 5000 tahun yang lalu, digelar sebagai bahasa proto. Kata Austronesia ini berasal daripada bahasa Yunani kuno yang bermakna pulau-pulau selatan, iaitu pulau-pulau benua Asia. Nama Austronesia ini mula dipopularkan pada akhir abad ke-19. Sebelum ini rumpun ini dikenali sebagai Melayu-Polinesia atau Malayo-Polynesia.

Kebesaran wilayah kekeluargaan dan kewujudan bahasa Melayu sebagai bahasa tua serta mewakili bahasa daripada peradaban awal membuatkan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penting dunia. Hal ini menyebabkan lahirnya ramai pengkaji  bahasa Melayu sama ada dari luar mahupun dari dalam negara sendiri. Antara pengkaji penting bahasa Melayu ini ialah tokoh ulung bahasa Melayu iaitu Asmah Haji Omar atau gelaran penuhnya Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar. Beliau merupakan pakar nahu bahasa Melayu dan tokoh penting dalam bidang perancangan bahasa Melayu. Beliau merupakan ahli akademik Universiti Malaya dari tahun 1963 sehingga persaraan beliau sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 2000. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik, dan kemudian Pengarah Pusat Bahasa di Universiti Malaya, Pengarah Institut Tamadun Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Profesor serta Penyandang Kerusi Tamadun Melayu Za’ba di universiti yang sama. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Utara Malaysia.

Asmah Haji Omar dilahirkan pada 5 Mac 1940 di Jitra dari sebuah keluarga berpendidikan tinggi. Salah seorang saudara beliau ialah Datuk Affifuddin Omar mantan menteri kabinet Malaysia, semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Asmah Haji Omar mendapat pendidikan awal dan menengahnya di Kedah. Beliau melanjutkan pengajian di Universitas Indonesia dan memperolehi Sarjana Muda dan Sarjana Sastera. Beliau menyambung pengajiannya sehingga mendapat Ijazah Kedoktoran daripada University of London dalam bidang General Linguistic pada tahun 1969. Atas jasa beliau yang sangat besar dalam perkembangan bahasa Melayu, khususnya bidang kesarjanaan ilmu lingusitik di Malaysia beliau dianugerahkan gelaran Doktor Persuratan (D. Litt) dalam Linguistik Melayu dari Universiti Malaya pada tahun 1998. Pada tahun 2000 beliau menerima gelaran Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya. Beliau turut dianugerahi Doktor Persuratan Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006. Selain kerjayanya sebagai ahli akademik, beliau juga terkenal sebagai penulis yang prolifik dalam bidang tatabahasa Melayu dan perancangan bahasa Melayu yang melibatkan kepakaran sosiolinguistik, etnolinguistik dan linguistik sejarah dunia Melayu.

Penyelidikan beliau bukan sahaja terhad kepada bahasa Melayu di Semenanjung Malaysia malah turut membuat banyak penyelidikan tentang bahasa-bahasa orang asli di Sabah dan Sarawak. Antara buku kajiannya tentang hal ini ialah “The Iban Language of Sarawak: A Grammatical Description”, merupakan tesis kedoktoran beliau yang diserahkan kepada University of London pada tahun 1969 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981. Sebuah lagi kajian beliau tentang bahasa orang asli ialah “The Malay Peoples of Malaysia and Their Languages”.

Dalam bidang bahasa Melayu beliau telah menghasilkan lebih daripada 60 buah buku. Pencapaian yang luar biasa ini menempatkan nama Asmah Hj. Omar sebagai pendeta bahasa yang menjadi rujukan ahli-ahli bahasa serta golongan akademik. Antara karya  besar beliau ialah Essays on Malaysian Linguistics (DBP 1975), Kepelbagaian Fonologi Dialek-dialek Melayu (DBP 1977), An Introduction to Malay Grammar [Asmah Haji Omar, Rama Subiah (DBP 1985)], Bahasa dan alam pemikiran Melayu (DBP 1986), Bahasa Melayu abad ke-16: Satu Analisis Berdasarkan Teks Melayu `Aqa’id al-Nasafi (DBP 1991), Bahasa Melayu di Samudera: Benih yang Baik Menjadi Pulau (DBP 2006), Susur Galur Bahasa Melayu (DBP 2007), dan Ensiklopedia Bahasa Melayu (DBP 2008).

Dalam buku Ensiklopedia Bahasa Melayu, Asmah Haji Omar memberikan susur galur serta pemahaman tentang bahasa Melayu yang lengkap. Buku ini memperihalkan perkembangan bahasa Melayu dari sudut sejarah, variasi, tulisan, ejaan, fonetik, fonologi, nahu, morfologi, sintaksis, ragam bahasa sehinggalah kepada etimologinya. Yang menarik dalam buku ini ialah perkembangan sejarah dan geneologi bahasa Melayu sebagai bahasa tua; malah kemungkinan besar merupakan salah satu kelompok bahasa tertua di dunia. Menurut Asmah Haji Omar, bahasa Melayu sebagai bahasa rumpun Austronesia terbahagi kepada empat keluarga: Indonesia, Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Keluarga Melanesia, Mikronesia dan Polinesia terletak di Lautan Pasifik, sedangkan keluarga Indonesia terletak jauh sedikit dari Lautan Pasifik. Kelihatan ada garis yang memisahkan keluarga Indonesia di satu pihak dan keluarga yang tiga lagi di pihak lain. Oleh itu, bahasa-bahasa dalam keluarga Indonesia dikenali sebagai bahasa-bahasa Austronesia Barat dan keluarga tiga yang lain itu dikenali sebagai bahasa-bahasa Austronesia Timur atau juga dikenali sebagai bahasa Oceania kerana terdapat di kawasan lautan. Bahasa-bahasa yang terdapat di wilayah nusantara seperti di Filipina, Indonesia, Malaysia dan Brunei termasuk dalam keluarga bahasa Indonesia atau bahasa-bahasa Austronesia Barat.

Asmah Haji Omar turut menyatakan tentang teori pergerakan bahasa Austronesia dengan mengambil teori beberapa sarjana dunia. Beliau mengambil teori yang dikemukakan oleh linguis Belanda iaitu Hendrik Kern pada tahun 1889 yang menyatakan bahawa lokasi bahasa Proto-Austronesia terletak di daratan China, di satu tempat yang dikenali sebagai Yunan. Di situ juga dikatakan terdapat tanah asal orang Austronesia. Teori Kern ini berdasarkan bukti linguistik dan juga bukti budaya. Peter Bellwood (1985) juga berpendapat bahawa tanah asal orang Austronesia adalah di selatan daratan China. Menurut Bellwood, tanah asal orang Austronesia tidak sama dengan tanah asal bahasa Proto-Austronesia kerana bahasa ini belum terbentuk apabila orang Austronesia masih berada di daratan China. Bahasa tersebut baru terbentuk apabila orang Austronesia telah bermigrasi ke Taiwan. Bagi Bellwood, ketika orang Austronesia masih berada di China, bahasa mereka ialah bahasa Austronesia Awal. Mereka kemudian pergi ke Taiwan antara tahun 4000 dan 3000 SM. Menurut teori Bellwood ini, sebelum ada bahasa Proto-Austronesia yang bermula di Taiwan, sudah ada bahasa Austronesia Awal di daratan China yang dituturkan oleh orang yang berpindah dari daratan China ke Taiwan. Lama-kelamaan terbentuklah bahasa Proto-Austronesia di Taiwan, yang asasnya adalah bahasa Austronesia Awal yang terdapat di daratan China.

Penyebaran bahasa Austronesia ini kemudian berlaku melalui migrasi orang Austronesia dari tanah asalnya. Pada mulanya berlaku pergerakan migrasi dari daratan China ke Taiwan dan dari situ ke selatan. Pada peringkat ini ahli-ahli linguistik berbeza pendapat tentang laluan migrasi dari Taiwan. Ada pendapat mengatakan bahawa orang Austronesia menyusuri pantai China Selatan menempuh Vietnam, Kemboja, pantai Teluk Siam dan melalui Semenanjung Tanah Melayu ke pulau-pulau selatannya. Dari situ timbullah pelbagai laluan migrasi ke timur dan barat hingga ke Madagaskar. Namun pendapat lain menolak laluan ini kerana menurut mereka orang Austronesia tidak pernah melalui Semenanjung Tanah Melayu. R. Blust dan K.A. Adelaar berpendapat bahawa kedatangan bahasa Melayu ke Semenanjung Tanah Melayu adalah melalui Barat Daya Borneo. Teori ini dibuat berdasarkan bukti linguistik yang menunjukkan bahawa kawasan berkenaan memperlihatkan ciri-ciri bahasa induk. Penurunan bahasa Proto-Austronesia menjadi bahasa turunan berlaku beransur-ansur dalam jangka waktu ribuan tahun.

Penurunan dengan cara ini menghasilkan keluarga, dan dari keluarga muncul subkeluarga atau kelompok. Subkelompok Malayik mewakili bahasa-bahasa yang memperlihatkan banyak persamaan dengan bahasa Melayu daripada pelbagai aspek seperti perbendaharaan kata, sistem bunyi, dan sistem nahu. Dalam subkelompok ini antara lain terdapat bahasa Melayu, Iban, Selakau, Minangkabau dan Serawai. Perkembangan bahasa Melayu ini dari aspek penurunan menyaksikan munculnya teori tentang tanah asal bahasa Melayu. Teori pertama menyatakan bahawa bahasa Melayu berpusat di Palembang sebagai tanah asalnya, berpencar dari Sumatera Selatan ke Riau, ke Singapura, masuk ke utara Semenanjung Tanah Melayu dan ke barat dengan memasuki semula Sumatera dan seterusnya ke Minangkabau. Teori kedua pula menyatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu ialah pusat bahasa Melayu sekaligus tanah asal bahasa Melayu. Teori ini disokong oleh faktor linguistik dan faktor budaya yang menunjukkan peradaban tinggi penutur bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Teori ketiga pula menyatakan bahawa tanah asal dan pusat perkembangan bahasa Melayu adalah di barat daya Borneo, khususnya di Sambas. Teori ini berdasarkan pada faktor linguistik dan kewujudan fonem-fonem daripada bahasa proto yang masih terdapat dalam bahasa Melayu.

Pada abad ke-7, pengembara China yang singgah di Sumatera dalam perjalanan ke India untuk menuntut ilmu agama Buddha menyatakan bahawa di pulau-pulau dalam wilayah nusantara tersebut telah wujud bahasa K’un-lun yang dikatakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Hal ini bermakna penyebaran bahasa Melayu ke kepulauan nusantara berlaku lebih awal. Dari sini kawasan penyebaran bahasa Melayu kemudiannya dilihat sebagai kawasan tradisional dengan kawasan bukan tradisional, kawasan teras dengan kawasan bukan teras. Kawasan tradisional ialah Kepulauan Melayu, Semenanjung Tanah Melayu, Thailand Selatan dan Khmer yang zaman-berzaman menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara, dan mempunyai komuniti asal bahasa Melayu. Kawasan inilah sebenarnya alam atau dunia Melayu. Sementara kawasan bukan tradisional ialah kawasan yang ditempati oleh penutur bahasa Melayu oleh penghijrahan mereka dari kawasan tradisional atau dunia Melayu tadi.

Asmah Haji Omar memperlihatkan keluasan dan kekayaan ilmu beliau. Walaupun bukan ahli linguistik sejarahwi, beliau memberikan fakta yang lengkap tentang perkembangan sejarah bahasa Melayu. Dalam pada itu beliau juga turut memberikan sumbangan besar dalam pengajian bahasa Melayu dalam manuskrip lama atau karya agung bangsa Melayu. Antaranya beliau sering merujuk kepada Sejarah Melayu dan beberapa karya agung Melayu. Salah satu karya agung Melayu yang dikaji beliau ialah ‘Aqaid al-Nasafi. Teks ini menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas ialah teks Melayu tertua dalam bentuk manuskrip; sehingga kini belum ditemukan teks-teks Melayu yang bertarikh lebih awal dari tarikh manuskrip ini. Asmah Haji Omar telah mengkaji teks ini dalam bukunya Bahasa Melayu abad ke 16: Satu Analisis Berdasarkan Teks Melayu `Aqa’id al-Nasafi (DBP 1991). Dalam kajian ini Asmah Haji Omar mengemukakan  gambaran tulisan jawi abad ke-16 yang mencirikan keutuhan bahasa Melayu yang wujud sebagai bahasa yang maju. Dalam teks ini telah wujud huruf yang memberikan bunyi nya, ga, pa, nga, ca yang digunakan bagi bunyi dalam bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa Arab. Hal ini menunjukkan bahasa Melayu telah wujud sebagai bahasa dominan dan maju sejak abad ke-16 lagi. Malah ciri-ciri penggunaan imbuhan dalam teks ini juga memperlihatkan penggunaan imbuhan dalam bahasa Melayu sekarang. Hal ini menegaskan lagi tentang keutuhan dan ketekalan bahasa Melayu yang telah berlangsung sejak abad ke-16 lagi. Malahan kemungkinan hal ini berlaku lebih awal lagi.

Asmah Haji Omar merupakan tokoh penting dalam perkembangan bahasa Melayu. Ilmu beliau yang luas disertai dengan kepakaran yang pelbagai menyangkuti hampir semua bidang kajian bahasa Melayu menjadikan beliau pusat rujukan kepada pengkaji-pengkaji bahasa Melayu. Selain sumbangan beliau dalam dunia akademik dan kesarjanaan, beliau turut terlibat menganggotai agensi dan jawatankuasa penting yang membina bahasa Melayu sebagai bahasa moden pada hari ini. Jasa beliau dalam membentuk bahasa Melayu moden yang berkembang sebagai bahasa ilmu dan bahasa saintifik hari ini sangatlah besar. Beliau bukan sekadar menyumbang kepada pembentukan dasar malah memberikan pencerahan melalui tulisan-tulisan beliau baik dalam puluhan buku yang diterbitkan mahupun ratusan makalah yang diterbit atau dibentangkan. Sumbangan keilmuan Asmah Haji Omar dalam bidang bahasa Melayu sememangnya melayakkan beliau untuk digelar pendeta bahasa Melayu selepas Za’ba.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036581
    Visit Today : 63
    This Month : 19180
    Total Visit : 1036581
    Hits Today : 130
    Total Hits : 4252485
    Who's Online : 15
  • Kategori