Oleh DR. AWANG SARIYAN

ANDA  tentu   sudah   biasa  mendengar istilah  bahasa baku. Kata baku telah  terdapat dalam kamus  Melayu lebih kurang  setengah abad  lalu. Walau  bagaimanapun, istilah tersebut menjadi  popular apabila  kerajaan  memutuskan pengajaran  dan  penggunaan  sebutan  baku yang  berasaskan  keselarasan   antara   ejaan  dengan  sebutan  pada  tahun 1988, bersempena dengan  pelaksanaan  Kurikulum  Bersepadu. Pada permulaan   istilah  itu  dipopularkan, timbul salah  faham   pada  sesetengah orang. Ada kalanya kata itu ditaip atau dicetak sebagai beku oleh  jurutaip atau  pengatur huruf.  Maka timbullah  makna  yang  negatif  dan  bertentangan  dengan  makna asalnya apabila bahasa baku dicetak  sebagai bahasa beku! Anda tentu tahu akan makna beku. Oleh  itu, dapatlah  anda gambarkan apakah  pula makna bahasa beku. Bahasa beku tentulah bahasa  yang mati, iaitu yang tidak berkembang lagi. Contoh bahasa yang dianggap telah “mati”  kerana   tidak   berkembang  lagi  ialah  bahasa   Latin  dan   bahasa Sanskrit.

Kadang-kadang  istilah bahasa baku itu disalah  cetak  menjadi  bahasa buku. Jika dibandingkan  dengan bahasa beku, bahasa buku masih positif lagi maknanya. Kebetulan  pula memang ada  pertalian maksud  antara bahasa baku dengan  bahasa buku. Hal ini demikian  kerana  bentuk bahasa  yang biasanya digunakan  dalam  buku ialah bahasa baku. Maka timbullah  istilah bahasa buku yang  berlainan  daripada   bahasa   percakapan  atau   bahasa perbualan.

Jadi, apakah  sebenarnya bahasa baku? Lebih dulu  baiklah kita fahami makna  kata baku itu. Kata ini sebenarnya berasal  daripada bahasa Jawa. Menurut  kamus, maknanya ialah “yang menjadi  pokok, yang sebenarnya”; “yang  digunakan  sebagai  ukuran”. Jadi, bahasa baku dapatlah   dikatakan bentuk bahasa  yang benar.  Di samping  itu, bahasa baku digunakan  juga sebagai  ukuran  dalam hal penggunaan  bahasa. Marilah kita dalami  kedua­ dua pengertian itu.

Maksud  bahasa yang benar  ialah bahasa yang digunakan  dengan  berdasarkan aturan-aturan  yang berlaku  dalam  sesuatu  bahasa  itu. Sebagai contoh, kata kerja dalam bahasa Inggeris digunakan dengan  berdasar pada sistem  kala atau  waktu  (tense). Ada tiga kala yang utama, iaitu kala kini, kala lampau, dan kala hadapan. Apabila ada orang  yang menggunakan bahasa  lnggeris dengan  tidak  mengendahkan aturan  itu, ia dianggap tidak menggunakan   bahasa  lnggeris  yang  benar. Tentu  anda  sering  diingatkan oleh  guru  Bahasa lnggeris anda  tentang aturan  seumpama itu. Kalau ada orang  yang berani  melanggar  aturan   itu, ia tentu   tidak  diterima  sebagai pengguna bahasa lnggeris yang baik. Malah, ia mungkin saja dianggap orang yang tidak  berpendidikan. Demikianlah  tegasnya  sikap kebanyakan  orang dalam hal penggunaan  bahasa lnggeris.

Dalam  bahasa  kita, ada  juga aturan-aturan yang perlu  kita patuhi  jika kita  ingin  menggunakan   bahasa  yang  benar   dan   jika  kita  ingin  diakui sebagai  orang  yang berpendidikan.Aturan-aturan itu bukan ciptaan  ahli­ahli bahasa sebagaimana yang disangka oleh setengah-setengah orang. Bukankah ahli bahasa sendiri  merupakan pengguna  bahasa juga? Sebenarnya, aturan   bahasa  terbit daripada   penggunaan   bentuk-bentuk bahasa  yang mantap  dalam kalangan masyarakat. Bagaimana masyarakat dapat  menim­ bulkan satu sistem  bahasa yang memungkinkan mereka  saling memahami adalah  soal  yang sukar  dijelaskan  dengan  pasti.  Tetapi, jika kita percaya bahawa manusia dikurniai akal oleh Tuhan, maka akal itulah yang dimanfaatkan oleh  manusia untuk menimbulkan  bentuk  bahasa yang tertentu.

Bahasa kita telah  melalui  jalan sejarah  yang amat  panjang, iaitu dari awal abad  Masihi lagi. Sejak abad  ke-12 Masihi, bahasa kita mula mencapai tahap   yang  mantap.  Kitab-kitab   dalam  segala  bidang, seperti  sastera, undang-undang,  falsafah,  agama,  dan   ketatanegaraan  telah   dihasilkan dengan  menggunakan  bahasa  Melayu yang tinggi darjah  keseragamannya di seluruh  Alam  Melayu. Bahasa yang digunakan  dari  zaman  itu  hingga abad  ke-19 dikenal sebagai  bahasa  Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik itu berlandaskan   aturan    tertentu,  baik   dalam    hal   pembentukan    kata mahupun  ayat.

Perkembangan bahasa  Melayu klasik sehingga menjadi  bahasa Melayu  moden  sekarang ini berlaku  secara beransur-ansur. Aturan-aturan yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik itu tetap menjadi asas bahasa Melayu moden. Yang  berubah    ialah  gaya  bahasa   atau   cara   mengungkapkan sesuatu.Sebagai contoh, kalau dalam bahasa Melayu klasik ayat pasif lebih banyak   digunakan,   maka   dalam   bahasa   Melayu  moden   tidak   terlalu menonjol  penggunaan   ayat  pasif  jika dibandingkan   dengan   ayat  aktif. Kedua-duanya digunakan dengan  kadar yang agak sama banyaknya. Malah,kecenderungan orang  menggunakan  ayat aktif sekarang lebih banyak pula.

(Makalah ini dipetik daripada buku Tuntunan Bahasa tulisan Dr. Awang Sariyan)

  1. Azrina Hashim says:

    Mohon izin Datuk KP Dr. Untuk membenarkan saya menggunakan bahan tulisan tuan untuk tujuan belajar dan ulang kaji serta menulis tugasan Master saya. Terima kasih yang tidak terhingga atas maklumat yang begitu banyak membantu saya

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014950
    Visit Today : 979
    This Month : 34295
    Total Visit : 1014950
    Hits Today : 5380
    Total Hits : 4142182
    Who's Online : 8
  • Kategori