Oleh HASSAN ALIAS

BERPRESTIJ dan gemilang! Itu ungkapan yang sesuai buat Majlis SEA Write Award dari dahulu hingga yang terkini untuk tahun 2012. Diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang dan dihadiri oleh keluarga diraja Thai tanpa mungkir walaupun sekali sepanjang 33 tahun, menunjukkan negara berkenaan memandang tinggi  golongan penulis di negara mereka dan dari negara jiran.

Ismail sedang menerima anugerah daripada Puteri Sirivannari Nariratna

SEA Write Award 2012 diadakan di Royal Ballroom, Mandarin Oriental, Bangkok pada 9 November 2012. Tamu kerhormat yang juga penyampai anugerah ialah Puteri Sirivannari Nariratna yang mewakili Putera Maha Vajiralangkorn. Tetamunya sebanyak  lebih kurang 500 orang yang terdiri daripada masyarakat pelbagai golongan dan keturunan – daripada golongan penulis kecil-kecilan hingga tokoh korporat konglomerat terbesar Thailand.

Sepanjang majlis berlangsung terkesan kesungguhan pihak penganjur untuk meletakkan kesusasteraan pada kedudukan yang tinggi. Penglibatan penaja yang sama sejak puluhan tahun yang lalu membuktikan hal ini. Antara penaja pengasasnya ialah Bangkok Bank Public Co., Ltd, Thai Airways International Public Co., Ltd., , Bank of Thailand, dan Rex Morgan Foundation. Penglibatan The Tourism Authority of Thailand membuktikan bahawa sastera juga boleh dijadikan produk pelancongan.

Barisan penerima anugerah.

Keluarga diraja Thailand juga konsisten menaungi anugerah ini. Mereka melihat sastera sebagai medium kerjasama kebudayaan dan kemajuan antara negara-negara wilayah sebelah sini. Hal ini dinyatakan oleh Permaisuri Sirikit Thailand pada Majlis Anugerah Penyampaian SEA Write pada tahun 1979:

“…. tugas yang menyeronokkan menyampaikan anugerah ini kepada lima orang pengarang wilayah ASEAN yang hebat yang menggembirakan setiap orang, seperti saya juga sangat berminat terhadap kerjasama kebudayaan dan kemajuan di dunia bahagian kita …. mari kita bekerjasama, mengikut cara kita, untuk meningkatkan keamanan, kemajuan dan kemakmuran negara-negara di Asia Tenggara dan rakyatnya…”

Suasana di dalam Royal Ballroom yang terang-benderang dan bergemerlapan diiringi alunan muzik sentimental oleh Krungthep Light Orchestra menyambut ketibaan tetamu. Sebelum itu tetamu dihidangkan jamuan koktel di Authors’ Lounge, suatu sudut di Mandarin Oriental yang turut mempamerkan buku-buku mewah.

Dalam ucapan aluannya, M.R Sukhumband, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran SEA Write Awards, menyatakan kegembiraannya apabila Bangkok terpilih sebagai “World Book Capital 2013” oleh UNESCO. Bersempena dengan pemilihan itu, Bangkok Metropolitan Administration merancang untuk mengadakan pameran “The SEA Write Award” selama tiga bulan di kota Bangkok. Banyak acara kebudayaan diadakan sepanjang pameran itu, seperti diskusi, konsert muzikal, deklamasi puisi dan persembahan pentas.

Selepas itu Puan Amanda Hyndman, Pengurus Besar Mandarin Oriental memanggil setiap penerima untuk menerima anugerah daripada Puteri Sirivannari Nariratna. Setiap penerima menyampaikan ucapan ringkas dalam bahasa masing-masing. Penerima anugerah tersebut pada tahun ini ialah:

i.        Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Damit (Brunei Darussalam)

ii.        Oka Rusmini (Indonesia)

iii.        Duangxay Luangphasy (Laos)

iv.        Ismail Kassan (Malaysia)

v.        Charlson Ong (Filipina)

vi.        Suchen Christine Lim (Singapura)

vii.        Wipas Srithong (Thailand)

viii.        Trung Trung Dinh (Vietnam)

Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Damit ialah pensyarah Universiti Brunei Darussalam yang menghasilkan banyak puisi dan cerpen sejak tahun 1988. Beliau telah menghasilkan dua buah antologi puisi, Dwimadah Ekawadah dan Sepi di Tengah Kota. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa beliau memilih aliran “seni untuk masyarakat”, bukan “seni untuk seni”. Oleh sebab itulah beliau mengelak menggunakan simbol dalam puisi supaya karyanya mudah dibaca, difahami dan dinikmati oleh semua golongan.

Oka Rusmini telah menghasilkan banyak antologi puisi dan cerpen dan novel. Beliau juga telah menerima banyak anugerah seperti daripada Pusat Bahasa, Kementerian Pendidikan Nasional, Indonesia . Selain itu beliau banyak terlibat dalam acara sastera seperti di Belanda dan menjadi penulis tamu di Hamburg University, Jerman.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan (tiga dari kiri) dan Duta Besar Malaysia di Thailand, Dato’ Nazirah Hussain (empat dari kiri) turut meraikan penerima anugerah.

Sebagai wartawan di Bali, beliau mampu mengungkapkan pelbagai masalah masyarakat di Bali secara terperinci. Jatuh dan bangunnya Bali terakam dalam bukunya. Belaiu merakamkan masalah-masalah tersebut agar menjadi dokumentari kebudayaan untuk generasi Indonesia masa hadapan.

Duangxay Luangphasy pernah berkhidmat sebagai tentera dalam Lao People’s Liberation Army pada usia 16 tahun. Beliau mula berkarya pada tahun 1960 dan pernah diberikan anugerah oleh Presiden Laos pada tahun 1994 kerana menghasilkan buku sejarah Lao. Dalam ucapannya beliau memperkatakan novel The Same Blood Origin, iaitu kisah perjuangan untuk menuntut pembebasan dan kedamaian Laos selama 30 tahun.

Ismail Kassan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, mula menghasilkan drama pentas Fajar Merah di Teluk Ketapang  pada tahun 1972. Semenjak itu beliau telah mengarahkan lebih 10 drama pentas dan menghasilkan 35 karya genre lain, terutamanya drama. Beliau pernah memenangi banyak anugerah sastera peringkat kebangsaan.

Dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa nilai karya kesusasteraan tidak tergantung pada keindahan bahasa semata-mata, malah pada kemampuan luar biasa pengarang untuk memahami dan menganalisis masyarakat semasa dengan gaya dan bentuk kepengarangan yang tersendiri.

Charlson Ong yang memiliki ijazah psikologi pernah menjadi penulis tamu di National University of Singapore, felo pelawat di Japan Foundation dan felo International Writing Program di Iowa, Amerika Syarikat. Beliau telah menghasilkan tiga koleksi cerpen dan tiga buah novel. Sekarang beliau pensyarah di University of the Philippines.

Dalam ucapannya beliau menekankan bahawa sekarang ialah abad Asia dan Pasifik. Kuasa ekonomi melonjak lagi di Timur. Golongan kelas pertengahan tidak lagi menjadi pengguna barangan Barat atau meniru trend Eropah atau Amerika Syarikat. Katanya lagi, sekarang kita ada pereka teknologi baharu, pencipta kekayaan, pemimpin sains dan seni. Masa untuk Timur sudah tiba.

Suchen Christine Lim yang dilahirkan di Malaysia, berhijrah ke Singapura pada usia 14 tahun dan mendapat pendidikan tinggi di National University of Singapore. Novel pertamanya, Rice Bowl, dihasilkan pada tahun 1984 dan pernah memenangi anugerah untuk teater pendek melalui The Amah: The Portrait in Black and White pada tahun 1986.

Sebagai penulis Singapura yang mengarang dalam bahasa Inggeris di Asia Tenggara, beliau mempunyai impian. Dia berharap pada suatu hari nanti, pengarang dari Thailand, Vietnam atau Indonesia atau Malaysia akan menterjemahkan novel Singapura ke dalam bahasa masing-masing.

Trung Trung Dinh yang pernah menganggotai People Army merupakan lulusan Nguyen Du Creative Writing College.  Beliau yang pernah bekerja sebagai editor People Army Magazine, kini pengarah Publishing House: Writers’ Association. Novel terbaharu beliau The Battlefield Soldier melayakkan beliau menerima anugerah ini.

Sebagai rakyat sebuah negara yang melalui peperangan, kehilangan dan kekecewaan selama 30 tahun, beliau berbangga kerana diberi peluang untuk menyatakan bahawa pengarang tidak mengira dari mana, berkongsi aspirasi keamanan, kebebasan dan harmoni.

Wipas Srithong, meninggalkan pengajian perubatan setelah 10 tahun kerana menuruti keghairahannya pada seni seperti pembikinan filem, seni visual dan penulisan. Beliau telah menghasilkan tiga buah koleksi cerpen, iaitu Maow Kao ChiwitWela Luang Phan Umong dan Graffitti. Novel pertama beliau Kon Krae Dwarf melayakkan beliau menerima S.E.A. Write Award 2012. Beliau dipilih berdasarkan karyanya yang terkini, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh jawatankuasa S.E.A Write Award.

Dalam ucapan penerimaan, beliau membacakan cerpen yang menyatakan ideologi beliau sebagai pengarang.

Puteri Sirivannari Nariratna pula dalam ucapannya memuji pengarang yang telah menghasilkan karya menerusi pengetahuan, pemikiran, imaginasi dan perasaan melalui kaedah penulisan artistik dan penggunaan bahasa yang indah lagi halus.

“Kesusasteraan bagi setiap negara menggambarkan cara hidup, semangat dan keintelektualan, suasana sosial dan budaya sesuatu bangsa ke suatu tahap yang lebih tinggi. Kesusasteraan merupakan wahana penting yang dapat digunakan untuk menggalakkan persefahaman yang baik antara pelbagai kelompok masyarakat dan negara,” katanya lagi. Sebelum itu beliau menyampaikan anugerah kepada setiap penerima.

Sebelum majlis usai, speaker jemputan, Encik Simon Minchester telah menyampaikan ucapan selama 15 minit. Beliau ialah pengarang majalah pelancongan dan bekas wartawan The Guardian yang pernah membuat liputan peristiwa penting seperti Ahad Berdarah dan Skandal Watergate. Dalam ucapannya, beliau menceritakan pengalamannya sebagai wartawan walhal asalnya beliau seorang lulusan geologi yang bekerja melombong tembaga di Uganda.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Dato’ Nazirah binti Hussain, Duta Malaysia di Thailand dan Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis yang ringkas tetapi penuh dengan adat-istiadat ini meletakkan kesusateraan pada peringkat yang tertinggi di bumi Thailand.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043282
    Visit Today : 1146
    This Month : 25881
    Total Visit : 1043282
    Hits Today : 3868
    Total Hits : 4283463
    Who's Online : 18
  • Kategori