Oleh HASSAN ALIAS

ORANGNYA bertubuh kecil, bersopan santun dan sentiasa merendah diri. Beliau peramah dan menghormati sesiapa sahaja yang berada di sampingnya. Kehadirannya sukar dikesan – mungkin kerana susuk tubuhnya yang kecil dan sifatnya yang pendiam –  tetapi beliau kerap berada di celah-celah keramaian, terutamanya dalam majlis ilmu yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Saifullizan Yahaya

Itulah gambaran yang sesuai tentang Saifullizan Yahaya, karyawan generasi baharu yang namanya sedang harum dalam taman sastera kebangsaan. Beliau yang dilahirkan di Hospital Kampar, Perak pada 27 Oktober 1975, memulakan pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bidor, Bidor, Perak. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran  Sekolah Menengah  Syeikh Abdullah Ghani, Bidor, Perak dan Sekolah Menengah  Buyung Adil, Tapah, Perak.

Setelah memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, beliau bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur selama 15 bulan sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Seni  Malaysia, Melaka (Diploma Sastera dan Penulis Kreatif). Setelah memiliki diploma, beliau menyambung pelajaran di Universiti Putra Malaysia dan berjaya membawa pulang Bacelor Linguistik Bahasa Melayu. Kemudian beliau bekerja sebagai editor di Longman, Petaling Jaya selama 14 bulan.

Menjadi cita-cita banyak penulis kreatif untuk  berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana institusi keramat ini gedung yang paling sesuai untuk mengasah dan mengembangkan bakat penulisan kreatif. Mungkin itu jugalah cita-cita Saifullizan yang mendorong beliau memohon pekerjaan di DBP.

“Pucuk dicita, ulam mendatang” apabila beliau ditawarkan bekerja sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di DBP pada November 2003. Di DBP beliau pernah ditempatkan di Bahagian Penyelidikan Bahasa, Bahagian Kesusasteraan Tradisional dan sekarang sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera. Semangat untuk menimba ilmu yang sentiasa membara menyebabkan beliau memohon dan dianugerahkan Biasiswa DBP untuk pengajian peringkat sarjana.

Minatnya terhadap dunia penulisan bercambah ketika beliau berusia 16 tahun. Pada mulanya beliau hanya menulis ungkapan yang terlintas di fikiran  di dalam  buku ‘latihan sekolah’ yang disediakan khas untuk mencatat ungkapan  tersebut.

Puisi pertama yang dihasilkannya berjudul “Putih” iaitu sebuah puisi yang menimbulkan persoalan kesucian dan kematian. Pada mulanya beliau  menulis puisi bernada Islam kerana ketika itu banyak  majalah terbitan al-Arqam berada dalam pasaran selain berjinak-jinak dengan jemaah mereka (kerana salah seorang guru beliau ialah pengikut al-Arqam!)

Selain itu, beliau kerap menatap majalah Dewan Siswa terbitan DBP di pusat  sumber sekolah. Beliau merupakan seorang pustakawan. Yang menyebabkan beliau bersemangat untuk berkarya ialah ruangan ‘Puisi daripada Siswa’ yang terdapat dalam majalah tersebut.

Majlis pelancaran karya terjemahan “Faust” karya Goethe pada 28 Februari 2013 di Hotel One World Petaling Jaya. Dari kiri Saifullizan, Latiff Mohidin dan A. Samad Said.

Untuk menghantar karya ke Dewan Siswa, tersedia borang yang perlu dikepilkan bersama-sama. Yang menjadi dilema kepada Saifullizan ialah majalah tersebut “milik” sekolah dan beliau terdidik bahawa jika seseorang mengambil walaupun sehelai kertas milik sekolah, bermakna seseorang itu akan “berhutang dosa” kepada seluruh warga sekolah.

Dilema tersebut beliau pendamkan lalu memilih puisi yang terasa “baik” dan meminta jasa baik seorang kawan yang mempunyai mesin taip (kepunyaan ayahnya) untuk membantu menaipkan  puisi yang berjudul “Dia Seorang Kawan”. Kawan beliau tidak terus menaipkannya sehinggalah Saifullizan merayu dengan janji untuk membelanjanya, barulah dia bersetuju.

“Setelah puisi itu diserahkan kepada saya, sekali lagi saya berhadapan dengan dilema untuk menggunting borang penyertaan dalam majalah Dewan Siswa. Dengan rasa bersalah, saya “terpaksa” menggunting borang dalam majalah milik sekolah itu, mengisi dan menghantarkan puisi saya ke DBP. Saya menggunakan nama Saiful Yahaya sahaja kerana ruang untuk menulis nama pendek,” katanya sambil ketawa kecil.

Dua atau tiga bulan kemudian, puisi Saifullizan tersiar dan diulas oleh A. Rahim Abdullah. Beliau teruja dan gembira tetapi tidak memberitahunya kepada sesiapa pun termasuk ahli keluarganya.

Selang sebulan beliau menerima sekeping cek hasil penyiaran puisi tersebut. Tetapi yang lebih mengujakan apabila  beberapa bulan kemudian, beliau menerima sekeping surat daripada DBP yang menyatakan bahawa puisinya “Dia Seorang Kawan” terpilih untuk dimasukkan ke dalam sebuah antologi. Beberapa bulan kemudian, beliau menerima sebuah antologi yang berjudul Rahsia yang diselenggarakan oleh Zaiton Abu Samah dan Hassan Alias.

Selepas itu beliau tidak  menghantar karya ke mana-mana penerbitan atas tiga alasan: Pertama, tidak tahu caranya, kedua, tidak mempunyai mesin taip dan ketiga mungkin berasa bersalah kerana pernah menggunting majalah milik sekolah!

“Saya bertekad untuk terus menulis dan kesempatan itu tiba apabila emak menghadiahkan mesin taip berharga RM 350.00 setelah saya mendapat pangkat satu Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya terharu.

Setelah berjaya memiliki mesin taip, Saifullizan mula berani menghantar karya kepada akhbar tabloid dan majalah hiburan (tetapi tidak pernah menerima ganjaran) sehingga beliau menuntut di Akademi Seni Melaka atau Institut Teknologi Seni Melaka (ITSM). Di ITSM beliau mendapat bimbingan daripada guru sastera seperti Othman Puteh, Shafei Abu Bakar, Sahlan Md. Saman, Mana Sikana, Ramli Isin, Mohd. Yusof Md. Nor dan beberapa orang lagi.

Saifullizan menikmati hidangan di sebuah kedai makan di Pasir Salak, Perak.

Apabila ditanya, siapakah yang mendorongnya menceburi dunia penulisan kreatif, Saifullizan terdiam sejenak. Katanya, “Saya tidak pasti siapa yang mendorong saya menulis tetapi dalam diam-diam saya tahu emak menjadi pemerhati setia saya walaupun dia tidak tahu jika ada karya saya yang tersiar. Pada mulanya, yang mendorong saya menulis adalah kerana saya  ingin menyatakan fikiran dan perasaan tentang sesuatu yang saya fikir, dan ‘gangguan fikiran’ ini menyebabkan saya ingin menulis.”

Beliau yang menyenangi genre puisi dan cerpen turut mempunyai keinginan untuk menulis novel.

“Setelah menerbitkan kumpulan puisi dan cerpen, saya sedang mengusahakan novel pula sekarang,” akui penulis yang meminati penyair Mahmud Syabistari dari Iran dan Wiji Thukul dari Indonesia.

Saifullizan mengaku bahawa bertugas di DBP memberikan kelebihan kepada beliau kerana DBP menerbitkan banyak majalah yang menyediakan ruang untuk berkreatif. Walau bagaimanapun beliau tidak mengambil kesempatan walaupun sidang editor majalah kenalannya kerana baginya yang penting  hanya karya yang bermutu sepatutnya tersiar.

“Saya memegang prinsip karya yang baik perlu saya hasilkan  bukan kerana hubungan kawan yang menyebabkan karya saya disiarkan,” katanya tegas.

Menulis memerlukan ketenangan. Jarang ada penulis yang dapat berkarya dalam suasana bising atau dalam waktu kerja. Saifullizan juga mengakui hakikat itu, seperti katanya, “Saya akan menulis apabila ada sesuatu gagasan idea yang mendesak, biasanya pada sebelah petang, maksudnya selepas waktu pejabat kerana idea pada waktu itu terlalu mengusik.”

Walaupun aktif berkarya, Saifullizan tidak menyisihkan diri daripada aktiviti berpersatuan. Beliau ingin mewarisi semangat penulis-penulis terdahulu yang berkhidmat di DBP yang banyak menggerakkan kesusasteraan tanah air di luar institusi.

 “Walaupun masa berhujung minggu ditarik oleh persatuan, saya rasa bahagia,” katanya perlahan.

Saifullizan kerap mendapat tempat dalam sayembara mengarang. Walau bagaimanapun  Saifullizan menafikan bahawa beliau mengarang kerana sayembara.

“Tidak, saya tidak kerap memenangi sayembara. Saya memasuki sayembara sekali-sekala. Kebanyakan kemenangan saya dinilai oleh institusi yang menganjurkan sayembara saban tahun, seperti Hadiah Sastera Utusan,” akuinya secara jujur.

Perjalanan Saifullizan dalam jagat kesusasteraan Malaysia masih panjang. Kita boleh menjangka bahawa beliau akan menempa nama yang harum sebagaimana yang sedang dilalui oleh penulis angkatan baharu yang lain seperti Zaen Kasturi dan SM Zakir.

Apabila ditebak soalan, siapakah Saifullizan dua puluh tahun dari sekarang dalam dunia kesusasteraan, beliau tidak dapat memberikan jawapan yang pasti, sebaliknya berkata, “Hanya Allah SWT yang tahu rahsia-Nya.”

Hadiah yang pernah dimenangi :

 BIL  JUDUL KARYA  GENRE  SAYEMBARA  HADIAH
1. “Penjual Apam Balik” Cerpen Hadiah Penghargaan Formula Malaysia Penghargaan
2. “Topeng” Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu 2002 Penghargaan
3. “ Sejarah” Puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu 2002 Penghargaan
4. “Tiga Cerita Sejarah Melayu yang Tertinggal” Cerpen Hadiah Tunas Cipta 2002/04 RM1000
5. “Eeh” Cerpen Hadiah Tunas Cipta 2002/04 RM1000
6. “Belajar Menulis Puisi” Puisi Hadiah Tunas Cipta 2002/04 RM1000
7. “Kerusi” Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu Exxon  Mobil 2004 Penghargaan
8. “Mahkota : Jawapan kepada Sang Nila Utama yang Bertanya” Puisi Hadiah Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP Penghargaan
9. “Si Pahlawan Pedang Kayu” Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu 2006 Utama
10. “Warna Perang” Puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu 2006 Penghargaan
11. “Sagita dan Sagupa” Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu 2007 Utama –Kategori Remaja
12. “Menanti Tamu Istimewa” Cerpen Sayembara Menulis Cerpen Berunsur Islam 2011 Penghargaan
13. “Bunyi” Cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 Eceran

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034425
    Visit Today : 641
    This Month : 17024
    Total Visit : 1034425
    Hits Today : 2117
    Total Hits : 4240451
    Who's Online : 17
  • Kategori