Oleh DR. AWANG SARIYAN

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) bergerak atas dasar mendukung falsafah pembinaan negara yang bersepadu, dengan mengambil tanggungjawab memenuhi keperluan negara untuk mempunyai bahasa negara yang dapat menjadi teras jati diri rakyat yang merdeka dan bermaruah, bahasa yang dapat menjadi wasilah perpaduan rakyat berbilang keturunan dan bahasa yang cekap dan berkesan untuk urusan pentadbiran, undang-undang, pendidikan, dan semua sektor lain. DBP bergerak atas landasan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan juga atas landasan undang-undang negara yang lain, khususnya Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan, dan Akta DBP sendiri.

Pelan Tindakan Strategik 2011-2015 yang dirancang oleh DBP didasarkan pada penilaian semula Sasaran Kerja Utama 2011-2015 dengan turut memperhitungkan faktor perkembangan, cabaran, dan keperluan semasa yang perlu ditangani dengan berkesan. Antaranya termasuklah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kajian Semula Pendidikan Kebangsaan, Pelancaran Pekeliling Bilangan 9 Jabatan Perkhidmatan Awam yang mempertegas pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu pada 28 Oktober 2011, penyuburan budaya ilmu, peluasan media sosial, dan teknologi maklumat dan komunikasi yang kian canggih.

Perkembangan bahasa dan persuratan Melayu yang meskipun memperlihatkan kemajuan yang meyakinkan sesudah lebih setengah abad negara kita merdeka, ternyata masih memerlukan perhatian dan perencanaan yang lebih rapi dan serius, terutama untuk memastikan bahasa negara kita dihormati, dimuliakan, dan didaulatkan dengan pelaksanaan penggunaannya seluas-luasnya dalam semua sektor – pentadbiran, pendidikan, media am (cetak dan elektronik), undang-undang, tempat awam, ekonomi, dan perhubungan awam.

Masih menjadi impian kita bahawa bahasa Melayu patut diutamakan dalam semua acara rasmi yang berlangsung di tanah air tercinta ini. Masih kita dambakan keadaan bahasa Melayu dijadikan “pakaian diri” dalam pelbagai bentuk perhubungan, baik dalam kalangan pemimpin, penjawat awam, pelaksana media am dan firma swasta, serta masyarakat awam tanpa menafikan keperluan menguasai dan menggunakan bahasa asing untuk keperluan yang khusus.

Demikian juga, kian nyaring suara yang mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan kebangsaan. Tidak kurang pula kelunturan semangat kenegaraan, yang salah satunya ditandai oleh menipisnya kecintaan dan penghormatan kepada asas-asas negara, termasuk bahasa kebangsaan. Kecenderungan beberapa pihak untuk terus menggerakkan agenda melayukan bahasa Melayu sebagai bahasa berwibawa, termasuk dalam bidang ilmu masih tampak jelas. Kekurangan khazanah persuratan ilmu dalam pelbagai bidang ilmu dan maklumat untuk pelbagai golongan dan lapisan rakyat masih menjadi mimpi sedih untuk kebangkitan suatu tamadun besar bangsa dan negara kita.

Itulah sebahagian asas yang menggerakkan DBP menilai semula hala tuju, program, dan pengisian dasar bahasa melalui Sasaran Kerja Utama lima tahun yang akan disusuli dengan pelan tindakan strategik hingga tahun 2020, selaras dengan pencapaian “taraf negara maju dalam acuan sendiri”. Selain mempertegas falsafah, wawasan, misi, nilai-nilai teras DBP, perhatian khusus diberikan kepada cabaran semasa dan cabaran masa hadapan yang diduga, tumpuan strategik dan pelan tindakan, impak pelan tindakan strategik, dan faktor kritikal kejayaan. DBP juga telah bergerak seiring dengan perkembangan dunia teknologi maklumat dengan menyediakan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi untuk capaian mudah khidmat rujukan bahasa dan persuratan secara atas talian.

Beberapa program yang berimpak tinggi seperti Program Audit Bahasa, Program Ziarah Bahasa (yang melibatkan pemimpin negara di semua kementerian, ketua setiausaha kementerian, naib canselor, dan ketua eksekutif badan berkanun serta firma swasta), penerbitan berpakej menurut ratusan bidang ilmu untuk pelbagai peringkat pengguna, peluasan maklumat, dan khidmat melalui laman sesawang rasmi dan laman sosial, serta pembudayaan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat seluas-luasnya akan direncanakan dan dilaksanakan sebaik-baiknya.

Mudah-mudahan dengan landasan yang jelas dan terarah serta memenuhi keperluan negara, DBP dapat terus memberikan sumbangan dalam pembinaan dan pembangunan negara, khususnya dalam aspek falsafah, pemikiran, dan budi. DBP mengalu-alukan kerjasama dan pelibatan semua pihak untuk menjayakan program memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai salah satu teras tamadun negara.

Perkembangan bahasa Melayu dalam konteks pembinaan negara bangsa tidak cukup sekadar dilihat dari aspek perkembangan sistem bahasanya. Perkembangan yang lebih mendasar adalah yang berkaitan dengan pengisian Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi asas kewujudan dan kerelevanan DBP. Liku-liku pemartabatan, pembinaan, dan pengembangan bahasa kebangsaan yang dilalui oleh DBP selama 56 tahun ini perlu menjadi pedoman dan panduan kepada kita semua. Masa mendatang ini banyak cabarannya. Fenomena globalisasi dan perkembangan pesat ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains, teknologi maklumat dan komunikasi sentiasa mencabar kita untuk bertindak balas dengan bijaksana.

Untuk tujuan itu, DBP perlu meningkatkan kerjasama strategik dan sinergi dengan pusat penyelidikan dan universiti di dalam dan luar negara. Usaha penyelidikan dan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu perlu dilipatgandakan lagi. Ini akan dapat direalisasikan jika perancangan yang teliti dapat disediakan. Penubuhan Pusat Persuratan Melayu Malaysia yang dicadangkan di bangunan lama DBP boleh dijadikan gerak awal untuk memulakan usaha ini.

DBP juga telah bergerak seiring dengan perkembangan dunia teknologi maklumat dengan menyediakan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi untuk capaian mudah khidmat rujukan bahasa dan persuratan secara atas talian. Perkara yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti kandungannya. Istilah, kamus, ensiklopedia, dan bahan rujukan bahasa dan persuratan perlulah diperbanyakkan dan dipelbagaikan. Untuk meningkatkan capaian, penulis menyarankan agar maklumat dan bahan rujukan bahasa dan persuratan Melayu disebarkan melalui aplikasi telefon pintar dan komputer tablet kerana peranti sebegini merupakan saluran utama pelajar, remaja, dan golongan profesional muda berhubungan dan berinteraksi. Dengan cara ini, perkhidmatan DBP dapat diperluaskan kepada pelbagai golongan masyarakat dan disediakan dengan lebih cepat, cekap, dan mudah.

Dari aspek wibawa bahasa, kedudukan, dan peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata. Bahasa Melayu perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia. Oleh itu, DBP akan terus meningkatkan usaha untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia, apatah lagi dengan potensi Malaysia sebagai pusat pendidikan antarabangsa, pusat pelancongan, dan pusat kerjaya yang menarik minat warga asing. DBP perlu memanfaatkan prasarana dan mekanisme sedia ada terutama yang melibatkan hubungan dan kerjasama antara negara, seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). 

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.