Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

BULAN Ogos  ialah bulan kemerdekaan negara kita. Pada tahun ini bulan Ogos juga bulan bagi umat Islam berpuasa, iaitu bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Bulan yang penuh ujian dan menguji kesabaran serta ketakwaan umat Islam. Walaupun pelbagai acara mahupun aktiviti terpaksa ditangguhkan sepanjang bulan Ramadan dan diganti dengan aktiviti-aktiviti keagamaan, penghayatan akan erti kemerdekaan tidak seharusnya terhenti atau pudar semangatnya.

Kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 pada tahun ini. Setahun sekali, iaitu pada bulan Ogos, kita menghargai erti kemerdekaan negara dengan menyorot kembali perjuangan dan pengorbanan mereka yang terdahulu daripada kita yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air yang tercinta.  Banyak pihak yang terlibat dalam menentukan kemerdekaan negara dapat dicapai dan negara bebas daripada penjajahan.  Walaupun tanpa pertumpahan darah, perjuangan pasti ada dan perlu dilaksanakan untuk menegakkan sebuah negara yang merdeka.

Untuk keluaran kali ini, penulis teringatkan kisah perjuangan segolongan manusia, iaitu wartawan yang pernah suatu ketika dahulu terlibat dalam perjuangan menentang penjajahan. Kisah perjuangan mereka ini tersurat dalam novel Patah Sayap Terbang Jua oleh penulis terkenal, Tan Sri A. Samad Ismail. Novel ini juga diadaptasikan untuk pementasan teater “Patah Sayap Terbang Jua” oleh pengarah terkenal Othman Haji Zainuddin yang pernah dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) suatu ketika dahulu.

 Patah Sayap Terbang Jua mengisahkan sekumpulan wartawan yang banyak menyumbangkan usaha dan menumpahkan keringat mereka untuk membebaskan negara daripada penjajah dengan cara mereka sendiri, iaitu melalui mata pena dan tinta, dan akhbar menjadi medium atau “gelanggang permainan” mereka.  Kisah suka duka sekumpulan wartawan awal sebuah akhbar Melayu yang diwakili oleh watak Wahab, Nahar, Hashim dan beberapa orang lagi yang mempunyai kesedaran dan semangat untuk merdeka dan menentang penjajahan. Mereka berada dalam zaman permulaan persuratkhabaran negara yang ketika itu berpusat di Singapura.

Kita maklum zaman Jepun zaman penuh kesukaran, yang penuh gelora dan suasana suram.   Jepun yang menjanjikan kemerdekaan akhirnya bersikap menjajah negara kita dengan caranya yang penuh kekejaman dan kekerasan.  Semangat setiakawan dan sifat jati diri rakyat tempatan pada masa itu tercabar dengan gelodak jiwa dendam, curang dan khianat.   Namun, masih wujud pertimbangan yang waras dan peri kemanusiaan dengan dipupuk oleh rasa kasih sayang dalam kalangan mereka yang membangkitkan semangat perjuangan menentang penjajahan.  Perkara ini dapat digambarkan melalui Wahab, watak wartawan muda yang baru menjinakkan diri dalam dunia kewartawanan yang melihat banyak perjuangan hidup orang-orang di sekelilingnya. Rakan-rakan wartawannya seperti Pak Mustafa, Rashid, Jalal dan beberapa orang lagi termasuk rakan-rakan wanitanya turut memberikan banyak semangat dan inspirasi kepada Wahab.  Mereka sering berhadapan dengan tentera Jepun dan tertekan dengan keadaan sekeliling.  Kesedaran perjuangan orang-orang Melayu ketika itu juga berpadu dengan eratnya apatah lagi ditambah adanya pengaruh kemerdekaan Indonesia.

Patah Sayap Terbang Jua merupakan novel garapan penulis terkenal, Tan Sri A. Samad Ismail dalam pada tahun 1966 yang juga terlibat dalam tiga bidang – kewartawanan, penulisan dan politik.  Beliau juga dianggap sebagai salah seorang daripada tiga tokoh penulis tahun 1950-an yang penting di samping Keris Mas dan Usman Awang.  Patah Sayap Terbang Jua adalah antara novel beliau yang terkenal selepas novel “Tembok Tidak Tinggi” yang diterbitkan pada tahun 1967.  Kedua-dua novel ini menggambarkan kisah perjuangan politik beliau sendiri.

Novel-novel seperti Patah Sayap Terbang Jua mempunyai mesej yang universal dan kekal sepanjang zaman sesuai ditatap oleh generasi masa kini bagi menyerapkan di jiwa mereka penghayatan terhadap erti perjuangan dan keperitan segolongan manusia yang inginkan kedamaian dan keharmonian negara.  Mesej kemanusiaannya sungguh mendalam dan meliputi semua aspek kehidupan walaupun ia membicarakan sekumpulan wartawan pada masa lalu. Justeru, kita mengharapkan novel-novel sedemikian mampu menarik minat generasi masa kini untuk membaca dan menghayatinya.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 dan selamat menyambut bulan Ramadan yang mulia. Selamat Berpuasa. aliah@dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043649
    Visit Today : 70
    This Month : 26248
    Total Visit : 1043649
    Hits Today : 132
    Total Hits : 4285105
    Who's Online : 11
  • Kategori