Muka depan majalah Kencana dan majalah Pengasuh.

A. KADIR ADABI atau nama sebenarnya Abdul Kadir bin Ahmad ialah seorang pemikir yang ulung dan pejuang yang gigih pada zamannya. Beliau menjadikan pena sebagai alat perjuangannya dan memberikan sumbangan yang sangat besar dalam dunia penulisan.

Putera kepada Che Biru binti Abu Bakar dan Ahmad bin Yusof, iaitu seorang penghulu diraja Raja Dewa, dilahirkan pada 17 Ogos 1901 di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu, Kelantan. Beliau menerima pendidikan awal daripada ayahanda sendiri dan seorang ulama bernama Syeikh Daud Atas Banggul. Kemudian beliau belajar secara formal di Madrasah Muhammadiah pada tahun 1917 selama tiga tahun. Di madrasah inilah A. Kadir Adabi banyak mendapat asuhan dalam bidang penulisan dan penterjemahan di bawah bimbingan Tuan Haji Mohammad Said.

A. Kadir Adabi pernah bekerja sebagai penulis petisyen. Sebahagian besar hidupnya dihabiskan dengan bergiat dalam bidang penulisan dan penerbitan dengan menggunakan nama pena seperti A.K., A.K. Adabi Madrasi, Abna Adabi, Abu Mansur Kelantan, Adabi, Akba, Aki, Al-Mansur Adabi, dan Wook bt. Abdullah. Pada tahun 1929, beliau bersama-sama beberapa orang temannya telah menubuhkan Kelab Putera, iaitu sebuah persatuan yang bergerak dalam lapangan intelektual dan kemasyarakatan. Kelab ini  juga menerbitkan majalah Putera. Akibat pengaruhnya yang semakin meluas, pihak Inggeris telah melarang penglibatan pegawai kerajaan dalam kelab tersebut. Akhirnya keanggotaan kelab ini merosot dan kegiatannya semakin lumpuh, justeru majalah Putera dihentikan penerbitannya.

A. Kadir Adabi

Selepas majalah  Putera, A. Kadir Adabi menerbitkan pula majalah Kencana (1930), dan beliau sendiri menjadi pengarangnya. Pada tahun 1932, beliau bekerja sebagai penolong pengarang bagi majalah Pengasuh dan telah mengendalikan ruangan khas majalah tersebut, iaitu “Kemusykilan Agama”. Beliau juga berkhidmat sebagai penulis bagi majalah Al-Hikmah. Kemudiannya, beliau  menerbitkan beberapa buah novel bersiri dalam majalah Al-Hikmah di samping menulis buku-buku umum bersama Asaad Shukri dan Yusof Hilmi. Empat buah novel bersiri yang dihasilkan ialah Acuman Mahkota (1930), Melati Kota Baharu (1939), Sebelas Rejab (1939) dan  Persemburan Darah di Bawah Lipatan Takdir (Novel saduran –  1941).

A. Kadir Adabi juga terkenal dengan tulisannya yang sangat kritis, kontroversial dan sensitif khususnya dalam soal-soal berhubung masalah sosial, politik, ekonomi dan golongan bangsawan Melayu. Tulisannya sering menimbulkan kemarahan golongan bangsawan kerana memaparkan tabiat berjudi dan persundalan yang boleh menghancurkan negara dan merugikan rakyat.

Selain menulis, A. Kadir Adabi juga aktif dalam kegiatan sosial dan politik. Pada tahun 1931, beliau bersama-sama temannya, bekas penuntut Madrasah Muhammadiah bergerak cergas dalam kegiatan Kesatuan Setiawan Belia yang bertujuan  menyatupadukan ahlinya, menerbitkan buku pengetahuan, serta mengadakan kutubkhanah dan lain-lain.

A. Kadir Adabi menjadi penulis majalah Al-Hikmah (kiri) dan beberapa buah novel bersiri, antara yang popular Melati Kota Bharu (tengah)

Dalam bidang politik, beliau pernah aktif dalam Kesatuan Melayu Semenanjung dan berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa Kesatuan Melayu Semenanjung Cawangan Kelantan. Melaluinya, beliau berpeluang bergaul rapat dengan tokoh-tokoh politik tanah air seperti Ibrahim Haji Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Kesatuan ini walau bagaimanapun telah dibubarkan pada tahun 1943 oleh pihak Jepun.

Semasa pemerintahan tentera Jepun, A. Kadir Adabi bekerja sebagai pengarang Matahari dan kemudiannya ikut serta menerbitkan Berita Malai di Singapura. Selepas Jepun menyerah kalah, beliau menetap di Terengganu, dan bersama-sama Ibrahim Fikri dan Haji Salleh Awang (Misbaha) menerbitkan Cahaya Timur. A. Kadir Adabi tinggal berjiran dengan Misbaha di Kampung Masjid, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu sehingga ke akhir hayatnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036534
    Visit Today : 16
    This Month : 19133
    Total Visit : 1036534
    Hits Today : 27
    Total Hits : 4252382
    Who's Online : 11
  • Kategori