Oleh SALIM MD ZAIN

Lafaz Ikrar merupakan antara acara sambutan pada Hari Kualiti atau Hari Inovasi.

KUALITI ialah keseluruhan ciri-ciri sesuatu produk atau perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kualiti sebagai “darjah kecemerlangan yang biasanya tinggi, mutu.”

Usaha pemupukan budaya kerja berkualiti di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula dengan pelaksanaaan program-program Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) pada tahun 1980. Pada tahun 1984, DBP telah menubuhkan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) dan langkah ini diikuti pula dengan penubuhan Struktur Pengurusan Kualiti dan Produktiviti DBP pada bulan Ogos 1992 (PKPA Bil. 1 Tahun 1992). Dewan Bahasa dan Pustaka terus meningkatkan mutu perkhidmatannya apabila melaksanakan MS ISO 9000 untuk tiga aktiviti utama yang dikenal pasti, iaitu pembinaan dan pengembangan bahasa, pembinaan dan pengembangan sastera, dan penerbitan.

Sempena ulang tahun DBP ke-45 pada 22 Jun 2001, DBP berjaya memperoleh pensijilan MS ISO 9002:1994 daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Kejayaan DBP terus diiktiraf apabila memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2000 pada 10 Disember 2004 (DBP Ibu Pejabat, Cawangan Sabah dan Cawangan Sarawak). Pada tahun 2007, Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2000 diperluas ke semua Pejabat Wilayah DBP (Utara, Timur dan Selatan). Bagi memenuhi keperluan peralihan kepada versi baharu 2008, Dokumen Kualiti MS ISO 9001:2000 DBP dipinda pada tahun 2009 dengan memasukkan tambahan satu Prosedur Kualiti, iaitu “Kawalan terhadap Perkhidmatan yang Diswastakan”.

Mulai tahun 2010, Hari Kualiti yang disambut oleh sektor perkhidmatan awam secara simbolik pada 31 Oktober setiap tahun telah digantikan dengan sambutan Hari Inovasi, selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak semasa pelancaran program “Malaysia Inovatif 2010” bagi menandakan kepentingan budaya kreatif dan inovatif serta meraikan keberhasilan inovasi dalam kalangan agensi kerajaan.

Dalam konteks Perkhidmatan Awam, inovasi boleh ditafsirkan sebagai cetusan idea-idea yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan yang diperoleh daripada dalam dan luar, atau melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai idea baharu, atau diadaptasi untuk diguna pakai mengikut keperluan jabatan/agensi. Inovasi yang dihasilkan perlu berupaya menambah nilai output semasa serta membawa transformasi kepada amalan sedia ada sama ada dalam bentuk produk, perkhidmatan, proses atau teknologi.

Hari Inovasi tetap memberi pengiktirafan kepada pekerja cemerlang dalam perkhidmatan.

Dalam konteks perkhidmatan di DBP pula, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan Sistem Pengurusan Fail DBP (Baharu) adalah antara projek inovasi yang sedang dijayakan. Bagi memenuhi pelaksanaan agenda inovasi, tujuh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) DBP ditubuhkan bagi menggantikan 13 Pasukan Peningkatan Kualiti (PPK). Hasilnya, pada 5 November 2010, DBP (Ibu Pejabat, Cawangan Sabah dan Cawangan Sarawak) berjaya memperoleh pensijilan Sistem pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 bagi proses Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera Kebangsaan, dan Penerbitan dalam Pelbagai Bidang. Pensijilan ini berkuat kuasa sehingga 4 November 2013.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044753
    Visit Today : 1174
    This Month : 27352
    Total Visit : 1044753
    Hits Today : 4336
    Total Hits : 4289309
    Who's Online : 8
  • Kategori