Oleh ARIZA HAJI CHE ISMAIL

“RUNTUHNYA Sebuah Rumah”, cerpen yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia  pada 25 Oktober 1964 telah meniupkan semangat seorang penulis, Abd. Rahman Che Mat atau lebih dikenali dengan nama A. Rahman C.M. untuk lebih aktif menghasilkan karya kreatif.  Genre yang menjadi pilihan utama beliau pada ketika itu ialah cerpen. Satu demi satu cerpen dihasilkannya dan tersiar dalam akhbar dan majalah tanah air.

Hasil bimbingan Tan Sri A. Samad Ismail, Datuk Abdullah Hussain dan Sasterawan Negara (SN) Datuk Shahnon Ahmad, A. Rahman C.M. tampil sebagai penulis prolifik dan  berbakat.  Pelbagai genre penulisan kreatif diterokai beliau.  Selain cerpen, beliau turut menghasilkan novel, skrip drama radio, skrip drama TV, skrip filem, dan esei. Berkat kesungguhan beliau menulis, beliau telah dianugerahkan pelbagai hadiah, antaranya Hadiah Penulisan Novel Sejarah Remaja (1984) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hadiah Sastera Malaysia 1983 (Kategori Cerpen), dan Peraduan Menulis Skrip Drama TV Berunsur Islam (2004) anjuran Institut Kemahiran Islam Malaysia (IKIM).

Di Bawah Unggun Api adalah bukti kesungguhan A.Rahman C.M. menghasilkan cerpen. Sebanyak 24 buah cerpen yang termuat dalam kumpulan ini  adalah garapan A. Rahman C.M. dari tahun 1967 hingga 2003.  Kesemua cerpen ini pernah mendapat tempat di dada akhbar dan majalah tempatan.

Dengan bertemakan elemen pengajaran moral, pendidikan, budaya, dan hubungan kekeluargaan, penulis berjaya mengolah cerpen secara bersahaja, namun cukup segar dan cukup mudah dihayati pembaca.  Biarpun idea-idea yang dikemukakan menerusi cerpen-cerpen ini merupakan idea-idea yang bersifat tempatan, dan sebahagian besarnya disampaikan dengan menggunakan teknik penyusunan plot yang konvensional, namun mesej yang disampaikan cukup berkesan, khususnya kepada generasi masa kini yang semakin hilang jati diri dan penghargaan terhadap nilai kekeluargaan.

Cerita yang dipersembahkan pula sangat menarik hati.  Cerpen “Atan itulah Anaknya” misalnya, sangat menggamit rasa pilu pembaca.  Kerana perasaan sayang yang terlampau, Sohor teguh mempertahankan “anak”nya daripada dibunuh. Namun kerana geram dan kesal yang terlampau, dia sendiri telah membunuh “anak”nya!

Cerpen-cerpen dalam koleksi ini disusun mengikut kronologi tahun karya tersebut dihasilkan, iaitu bermula dengan tahun 1967 dan berakhir dengan karya yang dihasilkan pada tahun 2007.  Justeru susunan sedemikian, maka buku ini menjadi sebuah kumpulan cerpen yang begitu sesuai kepada pengkaji sastera untuk meneliti perkembangan idea dan bakat penulisan penulis mapan ini.  Oleh hal yang demikian, memiliki buku ini boleh memberikan banyak manfaat kepada pembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035218
    Visit Today : 1434
    This Month : 17817
    Total Visit : 1035218
    Hits Today : 7748
    Total Hits : 4246082
    Who's Online : 10
  • Kategori