Tuhfat al-Nafis antara sumber terpenting sejarah Melayu.

RAJA ALI HAJI bin Raja Ahmad dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Penyengat, sebuah pulau kecil di Riau, yang ketika itu menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Sebagai putera daripada golongan bangsawan Riau, beliau pernah menjawat berbagai-bagai jawatan penting dalam kerajaan Riau-Johor.

Raja Ali Haji mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama Islam dan ilmu pentadbiran. Pengetahuan agama yang mendalam diperolehnya daripada ulama-ulama setempat dan luar negara. Beliau menjadi guru agama  dan mengajar bahasa Arab.

Raja Ali Haji juga terdidik dengan ilmu bidang lain, dan telah menghasilkan karya dalam pelbagai bidang, iaitu agama, bahasa, sastera, sejarah, dan undang-undang. Beliau turut menjadi guru agama yang mengajar tatabahasa, fikah, dan tasawuf. Dalam bidang bahasa, Raja Ali Haji telah menghasilkan dua buah karya yang amat penting dalam perkembangan bahasa Melayu, iaitu Kitab Bustanul-Katibin (1857) dan Kitab Pengetahuan Bahasa (1859).

Buku tatabahasa bahasa Melayu karangannya yang berjudul Bustanul-Katibina Lis Subyanil-Mutaalamin diterjemahkan (secara harfiah) ke dalam bahasa Melayu sebagai Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia, dan merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa. Naskhah Bustanul-Katibin ini telah dihasilkan dalam bentuk cap batu pada 20 Syaaban 1273H (15 April 1857) di Pulau Penyengat. Buku setebal  70 halaman ini, terdiri daripada “mukadimah” (pendahuluan), 31 fasal, dan “khatimah” (penutup). Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah penulisan tentang bahasa Melayu, sementara bahagian kedua menghuraikan tatabahasa bahasa Arab. Pada umumnya buku ini merupakan buku tentang cara menulis huruf Arab dalam bahasa Melayu dengan beberapa penyesuaian istilah bahasa Arab. Penulis berusaha menyesuaikan dan menerapkan sistem tatabahasa bahasa Arab ke dalam struktur ayat bahasa Melayu.

Kitab Pengetahuan Bahasa yang tebalnya kira-kira 550 halaman disusun pada tahun 1858 dan dicetak di Singapura pada tahun 1929. Karya ini merupakan sebuah kamus, tetapi bukan seperti kamus zaman sekarang. Lebih tepat lagi, buku ini merupakan sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum, pendapat dan pandangan pengarangnya tentang perkataan. Pengarang menyusun entri dengan tidak menurut susunan abjad, sebaliknya menurut caranya tersendiri. Buku ini tidak lengkap, dan berakhir setakat huruf ca ( چ ) sahaja. Sebanyak 32 halaman yang mengandungi huraian tentang bahasa Arab yang diterapkan oleh pengarang ke dalam bahasa Melayu. Walaupun terdapat beberapa kelemahan, terutamanya apabila ditinjau dari kaca mata kini, buku ini tetap penting dan merupakan usaha pertama orang Melayu dalam penyusunan kamus.

Antara karya terkenal Raja Ali Haji

Melalui kedua-dua buah karya itu, Raja Ali Haji telah memulakan proses membina dan menjadikan bahasa Melayu Riau bahasa yang kukuh dan berupaya sebagai alat pengungkapan ilmu pengetahuan. Raja Ali Haji memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan persuratan di Kepulauan Melayu.

Raja Ali Haji turut melahirkan karya dalam bidang lain juga. Dalam bidang sejarah, beliau dianggap sebagai “pencatat sejarah Nusantara yang pertama” dengan buku Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat al-Nafis, yang merupakan antara sumber terpenting bagi sejarah Melayu. Buku Salasilah Melayu dan Bugis diterbitkan pada tahun 1911 di Singapura dalam bentuk litograf. Buku ini mengisahkan asal usul keturunan raja-raja Bugis yang mengembara menuju ke kerajaan Melayu seperti Johor, Lingga, dan Riau.

Buku sejarah yang lebih luas dan terperinci kandungannya ialah  Tuhfat al-Nafis yang mula ditulis  pada tahun 1865. Buku yang terdiri daripada dua bahagian ini membincangkan sejarah Singapura, Melaka, Johor, dan riwayat  raja-raja Bugis.

Kecintaan Raja Ali Haji terhadap kesusasteraan, khususnya puisi terserlah melalui tulisan sejarahnya yang sering disulami syair dan puisi, sehingga  dalam Kitab Pengetahuan Bahasa karangannya terdapat juga beberapa rangkap puisi.

Kebanyakan karya sastera  Raja Ali Haji terutamanya syair, menghuraikan hal keagamaan, misalnya Syair Jatuhnya Negeri Johor, Syair Gurindam Dua Belas, Syair Taman Pertama, Syair Abdul Muluk, Syair Siti Sianah, dan Syair Hukum Nikah.

Di samping itu, Raja Ali Haji juga menghasilkan dua buah karya undang-undang, iaitu Thamarat-al-Muhamed…ahli’l-Mahkamah (1896) dan Mukaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Malik (1857).

Makam Raja Ali Haji di Pulau Penyengat, Riau

Sesungguhnya, Raja Ali Haji merupakan tokoh pengarang yang agung pada zaman pertengahan abad ke-19. Dengan bakatnya yang besar dan kecintaannya kepada ilmu, bahasa dan persuratan, beliau muncul sebagai cendekiawan Melayu yang serba boleh, yang telah menghasilkan karya dalam pelbagai bidang. Beliau dapat dianggap sebagai salah seorang pemikir besar dalam dunia persuratan Melayu, terutamanya dalam bidang agama, sejarah, bahasa dan kesusasteraan.

Artikel disesuaikan  daripada  Raja  Masittah  Raja  Ariffin,  “Raja  Ali Haji (1809-1870) dalam siri “Catatan Dokumentasi”, Jurnal Dewan Bahasa, Jilid 24, Bil. 1, 1990.

Maklumat lain boleh diperoleh dengan melayari http://mahayana-mahadewa.com/2010/10/14/raja-ali-haji-bapak-kesusastraan-melayu/

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013711
    Visit Today : 974
    This Month : 33056
    Total Visit : 1013711
    Hits Today : 3327
    Total Hits : 4135432
    Who's Online : 13
  • Kategori