Oleh ALIAH ABDUL RAHIM 

BULAN April 2011 genap setahun Klik Web DBP diterbitkan secara maya. Walaupun masih setahun jagung, hasrat dan tujuan penerbitan Klik DBP dalam sisipan akhbar Berita Harian suatu ketika dahulu masih diteruskan oleh Klik Web DBP sehingga kini, cuma dalam bentuk yang berbeza. Daripada media cetak kepada media elektronik, dan bermula bulan April ini bentuk akhbar digital ini bersifat lebih interaktif. Seiring dengan perkembangan semasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Klik Web DBP sentiasa mengikut arus perubahan namun tetap sebagai wadah yang memperkenal dan menyampaikan maklumat serta aktiviti berkaitan bahasa, sastera dan penerbitan kepada khalayak.

Klik Web DBP memaparkan berita tentang perkembangan DBP yang sudah pasti tidak akan terikat pada ruang apalagi luang. Seperti kebanyakan alasan yang diberikan oleh media cetak seperti akhbar, ruang amat memainkan peranan dalam pemaparan berita di dada akhbar. Justeru, beberapa aspek tatabahasa ditiadakan kerana hambatan ruang, seperti penjodoh bilangan, perkataan “oleh”, imbuhan perkataan, panggilan hormat dan sebagainya. Sebagai akhbar DBP, selain memberikan maklumat kebahasaan, bentuk penulisan yang mematuhi tatabahasa turut dititikberatkan, agar Klik Web DBP dapat dimanfaatkan oleh pembaca dan sekali gus pengguna bahasa. Dengan membaca Klik Web DBP, mereka juga dapat mempelajari bahasa secara tidak langsung.

Oleh itu selepas setahun diterbitkan, Klik Web DBP ditukar kepada bentuk yang lebih interaktif untuk mendapatkan cadangan, pandangan dan maklum balas daripada pembaca bagi menambahbaikkan akhbar maya ini.

Bagi media eletronik seperti televisyen, kesalahan bahasa yang tidak sepatutnya berlaku masih ada lagi, misalnya tidak mematuhi Hukum DM (Hukum Diterangkan Menerangkan) menyebabkan terdapat perkataan “lain-lain jalan” dan “lain-lain bangsa” yang sepatutnya “jalan-jalan lain” dan “bangsa-bangsa lain”. Begitu juga dengan berita yang dibaca menyebut  “pada 2007” dan bukannya “pada tahun 2007”, dan “lelaki bawah 18” sepatutnya “lelaki bawah umur 18 tahun”. Jika akhbar memberikan alasan ruang terhad untuk memasukkan perkataan-perkataan tersebut, televisyen atau radio menyatakan masa setiap minit amat berharga bagi mereka. Justeru, tidak ada banyak luang untuk menyebut perkataan yang panjang-panjang menyebabkan beberapa aspek tatabahasa yang penting telah ditiadakan.  Wajarkah perkara ini dijadikan alasan?

Penulisan berita mempunyai struktur tersendiri, iaitu ringkas, tepat dan padat. Dalam hal ini tidak bermakna struktur bahasa Melayu yang betul turut diringkas atau dipadatkan sehingga menyalahi aspek tatabahasa. Yang perlu diringkas dan dipadatkan ialah isi atau kandungan berita tanpa menjejaskan mesej penting dalamnya. Semuanya ini bergantung pada cara penulisan berita dan penyusunan isi berita kerana yang kurang penting boleh terus dibuang tanpa memotong mana-mana aspek tatabahasa yang tidak sepatutnya dilakukan.

Penggunaan kata serapan yang dibentuk dengan begitu mudah juga agak berleluasa penggunaannya, seperti perkataan “konfirmasi” dan “solusi”. Malah, baru-baru ini, timbul golongan yang menggunakan “konten”  bagi merujuk isi atau kandungan.  Mereka yang kurang arif dengan pembentukan kata serapan atau pinjaman ini mungkin merasakan perkara ini boleh dilakukan dengan semua perkataan yang mempunyai “tion” di hujungnya.

Teringat penulis isu kata serapan daripada bahasa Inggeris telah timbul semasa penulis di bangku sekolah lagi. Banyak artikel yang ditulis mengenainya dan kebimbangan terhadap penularannya sehinggakan ada pejuang bahasa pada ketika itu bimbang perkataan “nation” akan ditukar kepada “nasi”. Nampaknya isu tersebut timbul semula kini dan kadangkala sukar dikawal kerana pembentukan perkataan seperti ini dibuat kerana golongan yang ingin mencari jalan mudah tanpa benar-benar memahami pedoman pembentukan istilah atau kata tersebut ke dalam bahasa Melayu yang diambil daripada bahasa asing. Mungkin juga mereka menganggap penggunaan kata serapan seumpama ini dapat menggambarkan keintelektualan mereka. aliah@dbp.gov.my

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043612
    Visit Today : 33
    This Month : 26210
    Total Visit : 1043612
    Hits Today : 60
    Total Hits : 4285033
    Who's Online : 10
  • Kategori