Tajuk:                   Kumpulan Puisi Kanak-kanak: Kenangan Ayah

Penulis:                Zainal Abdul Kadir

Penerbit:             Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas:             Asrizam Esam

Kenangan Ayah merupakan sebuah kisah menarik yang mengimbau kenangan manis masa lalu yang akan sentiasa menjadi ingatan zaman anak-anak penulis mahupun pembaca yang sarat dengan tauladan. Penulis mencoret himpunan puisi kanak-kanak yang berkisar tentang tiga aspek penting dalam mendepani kehidupan yang sejahtera iaitu kasih sayang, pendidikan dan persahabatan. Inilah formula kehidupan yang perlu dipegang oleh generasi mendatang dalam mendepani norma hidup seharian. Dengan penggunaan bahasa mudah dalam bentuk pantun dan pendekatan puisi moden, ia bertepatan dengan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak bahkan remaja dalam mengambil unsur nasihat secara bersahaja, namun menerusi gaya kata yang menarik dan tersusun kemas.

Buku ini mengandungi kumpulan 50 buah puisi kanak-kanak yang dicoretkan hasil dari pengalaman kekeluargaan yang ditunjangi oleh ayah, ibu, nenek dan rakan sebaya terhadap perihal kehidupan seharian yang sarat dengan unsur nasihat dan tauladan.

Sebermula daripada pengalaman penulis menerusi hasil garapan pemerhatian suasana di rumah, interpretasi daripada zaman anak dan pengalamannya sendiri, dilanjutkan ke peringkat persekolahan, menyelami cabaran kehidupan berdikari dan seterusnya menitip sejarah tokoh negara hingga akhirnya menyelami peradaban dunia luar hingga negara matahari terbit.

Kumpulan puisi ini dibahagikan kepada beberapa kelompok penceritaan pengalaman 18 puisi membawa inti pati mengenai kehidupan dunia di dalam rumah dan aktiviti seharian yang mampu mengajar erti kehidupan dan ukhuwah kekeluargaan. Bidalan Melayu lama kerap digunakan bagi menyegarkan minda pembaca terhadap bidalan lama yang kian terhakis pada zaman moden ini. Air dicincang tidak akan putus, genggam bara api biar sampai jadi arang, ada udang di sebalik batu, buang yang keruh ambil yang jernih, antara bidalan yang digarapkan dan perlu diabadikan dalam jiwa anak muda tanpa had batasan bidang yang akan diceburi kelak. Garapan puisi secara santai tanpa memerlukan imaginasi mendalam, sudah tentu akan menarik minat pembaca cilik dan muda dalam memahami inti patinya.

Kelompok puisi kedua melihat kepada enam puisi yang menggambarkan profesion mereka yang berada di sekeliling kanak-kanak dan sememangnya memberikan impak tanggungjawab yang besar walaupun sentiasa dipandang enteng. Tugas seorang guru, jururawat, posmen mahupun pengutip sampah di lihat seperti tempelan dalam kehidupan, namun sebenarnya memberi impak penting dalam melengkapi kehidupan seharian. Buku ini mengangkat watak-watak ini sebagai cerminan masyarakat umpama barisan hadapan yang akan saling membantu memudahkan kerja seharian. Oleh itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga pastinya menjadi pengubat kepayahan dan halwa telinga kepada mereka sebagai motivasi memudahkan kehidupan masyarakat.

Puisi bertema ini diselitkan satu-satunya puisi yang berada di luar dari tema yang lainnya. Puisi “Kapal” yang menyingkap kisah bahtera nabi Nuh A.S menimbulkan rasa tanda tanya kepada pembaca cilik mengenai sirah nabi Nuh A.S dan zaman dahulu kala namun mampu mencipta kapal hebat walaupun kewujudannya masih misteri hingga kini. Pasti mudah melayari maklumat lanjut mengenai kapal misteri ini melalui jaringan media dalam talian yang serba mudah ini.

Penulis juga mengangkat tokoh negara bermula sejarah laksamana Melaka yang perkasa, Tunku Abdul Rahman pejuang penjajahan dengan kebijaksanaannya hingga dijulang sebagai “Bapa Kemerdekaan”, tokoh seniman khazanah negara P. Ramlee dan Sudirman dan ketokohan minda bijaksana Pak Ungku yang telah menjadi tonggak pencorak bumi Malaysia buat ingatan anak-anak kecil supaya senantiasa mengenal sejarah mereka. Dalam mendepani arus kemodenan zaman teknologi, tokoh inilah yang akan menjadi asas pegangan buat generasi muda dalam mencorakkan pembangunan negara pada zaman mendatang.

Kesejahteraan turut dirungkaikan menerusi kisah dari luar negara dari sembilan puisi yang berkisarkan kisah pengalaman ayah ke Jepun yang menjadi tema utama dalam mengangkat cerminan budaya positif masyarakat Jepun ke dalam hidup si anak. Penulis yang terkesan dengan peluangnya bertandang ke bumi matahari terbit begitu kagum dengan akhlak masyarakatnya yang terkenal dengan kebersihan di mana jua, kecanggihan teknologi, serta keindahan budaya tradisi yang lahir dari satu bangsa bervisi dan berinovasi. Gunung Fuji yang indah menjadi salah satu inspirasi penulis dalam berkarya. Keindahannya mengundang sebak dan lebih takjub lagi apabila nota dalam Bahasa Malaysia jelas diguna pakai di kedai cenderamata di kaki Gunung Fuji. Bangganya si ayah menjadi rakyat Malaysia. Kisah ayah di Jepun menyelitkan pelbagai kisah dengan keramahan pelancong Amerika, kerendahan hati profesor Jepun yang hanya menaiki kereta api serta insiden kehilangan seorang rakan kumpulannya yang mencetus rasa gundah, panik namun solusi kebersamaan ahli kumpulan ini berjaya mengatasi segala halangan yang dapat mengukuhkan erti persahabatan dalam kehidupan. Puisi ini menunjukkan bahawa semangat hidup berharmoni merupakan amalan sejagat tanpa mengira batasan kaum. Norma bangsa itu mempunyai kelebihan dalam aspek yang berbeza dan akan saling melengkapi antara bangsa yang lainnya dalam mewujudkan kesejahteraan hidup masyarakat global dan menjadi inti pati setiap puisi yang dibentangkan.

Akhirnya, penulis menutup lembar puisi ini dengan emosi syahdu ayah, bercorakkan lukisan awan sepulangnya ke bumi Kuala Lumpur, menandakan tamatnya kisah kenangan ayah serta nasihat berdasarkan pengalaman yang dilaluinya. Kesemua coretan hidup penulis dari pada saat manis kanak-kanak hinggalah pancaroba hidup dewasa menjadi tonggak penulisan warkah “Kenangan Ayah” ini yang dapat diamalkan tanpa mengira batasan waktu.

Kisah yang terbit dari cetusan pengalaman hidup masyarakat ini pastinya kaya dengan pelbagai pengajaran dan iktibar yang dapat diasimilasikan dari pelbagai perspektif yang berbeza. Walau ianya hanya insiden biasa yang berlaku seharian, namun setiap kisah disebalik pemerhatian dan penghayatan, akan mewujudkan rencaman sudut pandang yang menjadi inti pati murni karya ini. Peri pentingnya setiap sesuatu perkara adalah pembelajaran akan dapat diperoleh dari pelbagai sumber dan akan menjadi pedoman hidup sejahtera.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013772
    Visit Today : 1035
    This Month : 33117
    Total Visit : 1013772
    Hits Today : 3585
    Total Hits : 4135690
    Who's Online : 8
  • Kategori