Judul: Koleksi Kartun Dewan Pelajar: Imuda

Penulis: A. Rahim Muda/Imuda

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2019

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

KOLEKSI Kartun Dewan Pelajar daripada seorang kartunis terkenal tanah air, Imuda sememangnya ditunggu oleh peminat dan juga pengulas yang amat menggemari karya kartun beliau dalam majalah Dewan Pelajar dan karya-karya yang lain. Setiap kartunis sudah tentu memasang impian untuk membukukan karya kartun yang telah diterbitkan sebagai satu koleksi buat peminatnya. Imuda turut tidak ketinggalan dengan usahanya mengumpulkan dua siri kartun yang telah tersiar dalam majalah Dewan Pelajar selama hampir 20 tahun, iaitu “Di dan Pi” dan “Abol Batu”. Lebih bermakna, naskhah ini merupakan penerbitan pertama genre kartun bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Usaha ini dilihat sebagai titik permulaan untuk meluaskan penerbitan karya berbentuk kartun pada masa hadapan.

Secara ringkas mengenai diri Imuda atau nama penuhnya A. Rahim bin Muda, beliau dikenali sebagai anak seni yang berkebolehan dalam pelbagai bidang dengan kerjayanya sebagai seorang pelakon, pengacara, pelawak, pelukis potret dan kartunis Malaysia. Beliau merupakan anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Nama Imuda diambil daripada nama panggilan beliau, Im dan bapanya, Muda. Imuda telah menunjukkan bakat melukis sejak di bangku sekolah lagi apabila kartun pertamanya diterbitkan dalam majalah sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam. Selepas menamatkan persekolahan di tingkatan lima, beliau bekerja sebagai ilustrator untuk majalah kanak-kanak di negeri kelahirannya. Imuda turut menyumbang karya kartunnya untuk majalah Gila-Gila yang pernah popular pada tahun 1990-an dengan watak kartun seperti “Si Bedah”, “Yushimura” dan “Maharajalela vs Birch”. Imuda turut menyumbang karya kartun dalam penerbitan lain seperti Berita Minggu dan majalah Geli Hati. Kerjaya beliau semakin berkembang setelah mendapat peluang bekerja sebagai Penolong Pelukis di DBP. Selain melukis ilustrasi untuk penerbitan buku DBP, beliau meneruskan minatnya dalam melukis kartun. Antara hasil karya kartunnya ialah “Di dan Pi” dan “Abol Batu”, telah diterbitkan dalam majalah Dewan Pelajar sekitar tahun 2000 dan masih diterbitkan sehingga kini.

Imuda pernah menceburi bidang teater semasa bekerja di DBP iaitu dalam pementasan teater Mayat dan Syy.... Bakat tersebut digilap dan menjadi batu loncatan kepada beliau untuk menceburi bidang lakonan drama dan filem. Imuda yang lebih dikenali sebagai Budin dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Sam dalam sitkom 2 + 1, pernah mewarnai hari-hari rakyat Malaysia di televisyen. Antara lakonan filemnya ialah Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan dan Mat Som. Selain itu, Imuda berkebolehan melukis potret dan karyanya pernah disumbangkan kepada Galeri Perfileman FINAS sempena program “Tiada Gambar Seindah Lukisan bersama Imuda” pada tahun 2008. Kartunnya, Mat Gelap juga pernah dianimasikan pada tahun 1990 dan beliau turut berlakon untuk filem tersebut. Sehingga kini, Imuda masih aktif dengan aktiviti seni yang lain dan melebarkan sayapnya sebagai seorang anak seni yang serba boleh.

Koleksi kartun ini memuatkan dua karya kartun Imuda iaitu “Di dan Pi” dan “Abol Batu” yang pernah diterbitkan oleh majalah Dewan Pelajar terbitan DBP. Ruangan kartun ini sangat diminati oleh pembaca yang tertunggu-tunggu akan episod baru pada setiap bulan. Walaupun kartunnya mempunyai dialog yang pendek dan ringkas, tetapi masih memberikan teladan yang baik dan menghiburkan kepada pembaca. Ilustrasinya juga sederhana dan memberikan latar kehidupan masyarakat di Malaysia. Karya dalam bentuk kartun atau lebih dikenali dengan komik mempunyai pelbagai tema yang menunjangi penceritaannya dan mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri. Antara tema yang menjadi kegemaran ialah tema fantasi, drama, romantik, aksi, cebisan kehidupan, komedi, seram, sains fiksyen, sukan, adiwira dan banyak lagi. Kedua-dua kartun “Di dan Pi” dan “Abol Batu” bertemakan cebisan kehidupan dan komedi. Tema tersebut mempunyai jumlah panel yang lebih sedikit berbanding kartun yang mempunyai jalan cerita berbentuk drama. Jalan cerita yang ringkas dan padat dalam setiap episod membuatkan ilustrator lebih mudah menyampaikan inti pati dan teladan kepada pembaca komik “Di dan Pi” dan “Abol Batu”. Tema ini juga mudah untuk pembaca menghabiskan bacaan pada mana-mana episod dan pada bila-bila masa. Oleh itu, koleksi kartun Imuda ini sangat sesuai dijadikan salah satu koleksi bagi setiap keluarga.

Budaya membaca karya dalam bentuk kartun atau komik tidak seharusnya dipandang rendah dan dianggap sebagai bacaan picisan kerana kartun yang mempunyai gagasan yang baik seharusnya diangkat dan dihargai oleh masyarakat. Komik mempunyai golongan peminatnya yang tersendiri termasuklah golongan kanak-kanak dan golongan dewasa yang menjadikannya sebagai bacaan ringan dan hobi pada masa lapang. Kepuasan membaca sebuah komik ialah apabila dapat menghargai kemampuan seorang ilustrator melukis karakter yang lain daripada yang lain berserta pelbagai mesej dan tema yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca. Pembacaan komik juga mendapat tempat di hati pembaca yang ingin merehatkan minda setelah seharian menjalani kehidupan seharian. Tambahan pula, kebanyakan karya komik berperanan sebagai ‘penasihat secara tidak langsung’ dan motivasi demi kelangsungan hidup membuatkannya menjadi pilihan setiap peringkat umur pembaca. Sebuah komik juga mempunyai kekuatannya tersendiri dalam menggambarkan suasana kehidupan masyarakat yang kebiasaannya pernah dilalui oleh kartunis atau melalui imaginasi kartunis tersebut semasa membentuk sesuatu karakter dan penghasilan jalan cerita. Mesej dan kritikan sosial yang ingin disampaikan oleh kartunis menjadikan komik sebagai satu wadah yang penting dalam penyebaran ilmu dan perkongsian idea.

Sudah tiba masanya, budaya membaca komik dipergiatkan dalam masyarakat Malaysia. Seiring dengan teknologi kini, koleksi kartun ini boleh juga didigitalkan agar peminat luar negara boleh bersama-sama menikmati komik tempatan. Lambakan karya kartun di laman sesawang seperti webtoon dan web komik merupakan contoh platform yang menghimpunkan peminat karya kartun dari pelbagai negara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013652
    Visit Today : 915
    This Month : 32997
    Total Visit : 1013652
    Hits Today : 3065
    Total Hits : 4135170
    Who's Online : 10
  • Kategori