OLEH IBRAHIM MAJDI MOHAMAD KAMIL

BAHASA merupakan lambang dalam budaya dan melalui pembinaan bahasa juga sesuatu budaya boleh dipengaruhi. Antara isu yang sering dibangkitkan dalam pembinaan negara bangsa termasuklah isu bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa merupakan lambang jati diri bagi sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Bahasa mempunyai banyak fungsi dalam perkembangan budaya berdasarkan keperluan semasa. Menurut Hartmann dan Stork (1976), bahasa digunakan untuk menggambarkan sesuatu (fungsi representasi), untuk menyampaikan maklumat antara anggota masyarakat (komunikatif), untuk menjadi pendengar penyambut (fungsi apelatif), untuk menyatakan dan mengujarkan perasaan (fungsi ekspresif), atau untuk memberikan penaakulan intelektual (fungsi kognitif). Sepanjang proses pembinaan negara bangsa, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Hal ini jelas menunjukkan hakikat kerana struktur bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pendidikan kebangsaan sekali gus meletakkan bahasa Melayu sebagai maruah dan citra negara.

Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid (2005), bahasa ialah cermin budaya, penghubung dengan masa silam, dan penjelmaan keseluruhannya. Pendidikan dan bahasa merupakan tunjang pembinaan kekuatan konsep negara bangsa dan pendekatan ini haruslah seiring.

Langkah memperkasakan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa itu hebat dan dominan. Pemerkasaan sesuatu bahasa itu juga bermaksud memberikan peranan kepada bahasa untuk digunakan dalam semua bidang dan semua peringkat, dari yang paling rendah ke peringkat yang paling tinggi, daripada komunikasi sosial kepada komunikasi formal dalam bidang seperti pentadbiran, perniagaan, dan undang-undang serta bidang profesional yang lain. Bahasa juga digunakan dalam perbahasan intelektual. Bahasa yang diperkasakan ialah bahasa yang akan digunakan secara kreatif, dapat menggambarkan pelbagai jenis emosi, cita rasa, keinginan, cita-cita, sifat dan perilaku manusia dengan sedalam-dalam dan sehalus-halusnya seperti yang digambarkan dalam karya kesusasteraan peringkat tinggi( Yusfarina dan Abdul Rasid 2011).

Apabila kita melihat sejarah kerajaan terdahulu, pemerkasaan penggunaan bahasa dapat membentuk kerajaan dan tamadun yang kuat dan berjaya. Awang Sariyan (2010) berpendapat bahawa bahasa amat penting dalam kejayaan sesuatu tamadun. Beliau memberikan contoh tamadun Yunani dan tamadun Greek yang terbina beratus-ratus tahun dahulu. Beliau merumuskan bahawa satu tunjang kekuatan tamadun Yunani ialah keampuhan bahasa Yunani. Begitu juga dengan tamadun Arab tatkala pemerintahan tanah Arab serta zaman kegemilangan Islam menggunakan bahasa Arab. Bahasa Arab juga terus digunakan oleh para cendiakawan Islam dalam ilmu perubatan, sains, fizik dan sebagainya.

Alam Melayu juga tidak terkecuali dan berjaya menjadi tamadun yang gemilang pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Bahasa Melayu digunakan sebagai lingua franca di Melaka dalam segala aktiviti ekonomi di Melaka. Semasa zaman kesultanan Melayu Melaka, Melaka menguasai alam Melayu ketika itu sebagai pelabuhan yang banyak didatangi oleh orang luar termasuk pedagang dari India, Cina, dan Arab. Pedagang dari luar juga perlu menggunakan bahasa franca iaitu bahasa Melayu dalam sebarang aktiviti ekonomi di Melaka.

Contoh peristiwa yang telah berlaku semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka sangat dekat dengan masyarakat kita. Hal ini menunjukkan bahawa tidak mustahil untuk masyarakat kita mencapai perpaduan hasil daripada pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu. Maka, pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu oleh masyarakat Malaysia boleh menjadi asas pembentukan negara bangsa. Usaha ini telah diperkenalkan selepas Malaysia dijajah lama oleh pihak kolonial.

Pihak kolonial mula bertapak di Tanah Melayu sekitar abad yang ke-16. Kedatangan penjajah telah menyebabkan penggunaan bahasa Melayu terjejas. Dasar penjajah telah menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu semakin hilang identitinya dan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utama dan bahasa pentadbiran ketika zaman penjajahan. Apabila Jepun datang menjajah, bahasa Jepun pula dijadikan sebagai bahasa utama sebelum British kembali menjajah. Kesan yang diterima kerana penjajahan amat besar terutama dari British kerana tempoh penjajahan yang lama.

Sekolah yang dibina ketika zaman penjajahan banyak berorentasikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama pendidikan di sekolah. Perkara ini menghakis pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Tanah Melayu. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, ada usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk kembali memartabatkan bahasa Melayu. Usaha pertama untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu ialah pengekalan satu undang-undang mengenai kepentingan bahasa Melayu dalam perlembagaan negara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termaktub dalam fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Garis panduan ini termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010).

Kerajaan telah memainkan peranan yang penting dalam melakukan pelbagai usaha bagi memartabatkan kembali bahasa ibunda. Antaranya termasuklah mengangkat Penyata Razak menjadi Ordinan Pelajaran 1957 yang mengesyorkan pengakuan matlamat akhir bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan.

Dalam Penyata Razak (1956), pada perenggan yang ke-12, telah dinyatakan tujuan dasar pelajaran yang hendak menyatukan para pelajar daripada semua bangsa untuk menggunakan hanya satu aliran atau aturan pelajaran yang meliputi penglibatan semua bangsa menggunakan bahasa kebangsaaan sebagai bahasa pengantar yang besar. Perkara ini tidak dapat dibuat secara serta-merta, tetapi secara beransur-ansur. Usaha untuk martabatkannya sudah ada sebelum merdeka lagi seperti yang telah diloparkan dalam Penyata Razak. Walau bagaimanapun, setelah 62 tahun merdeka, mengapakah bahasa Melayu masih tidak dapat diperkasakan?

Perbincangan hal ini perlu melihat perkara ini dengan serius. Apakah permasalahan dan cabaran yang dihadapi sehingga bahasa Melayu sehingga masih tidak dapat diperkasakan walaupun Malaysia telah merdeka 62 tahun? Menurut Ku Hasnan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan bagi Malaysia, Brunei, dan Indonesia. Bahasa ini disebut dengan pelbagai nama. Terdapat kekeliruan dalam masyarakat Malaysia berkenaan nama yang harus digunakan sama ada “Bahasa Melayu” ataupun “Bahasa Malaysia”. Tambah Ku Hasnan lagi, pada tahun 1986, istilah “Bahasa Malaysia” ditukar kepada “Bahasa Melayu”. Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, “bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu”.

Masalah seterusnya ialah dasar penggunaan bahasa dalam sistem pendidikan negara. Penggunaan bahasa yang tidak konsisten menyebabkan berlakunya masalah pemerkasaan bahasa Melayu. Selepas kemerdekaan, kerajaan telah berusaha untuk memertabatkan bahasa Melayu setelah sistem pendidikan sekolah diubah semasa pendudukan British dan Jepun. Walau bagaimanapun, sekitar tahun 2003, kerajaan mengumumkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Alasan kerajaan untuk mewujudkan sistem ini adalah untuk masyarakat generasi Malaysia seterusnya bersaing pada peringkat global kerana bahasa Inggeris telah menjadi bahasa pendidikan di dunia.

Dasar ini menyebabkan sebahagian masyarakat dan pejuang bahasa menentang pelaksanaannya sehingga dasar ini dikaji semula dan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik ditarik balik setelah beberapa ketika dilaksanakan. Alasan pihak yang menentang hal ini kerana masyarakat Melayu luar bandar terutamanya akan semakin ketinggalan. Walau bagaimanapun, baru-baru ini, kerajaan memperkenalkan dasar dwibahasa iaitu kebebasan kepada pihak sekolah sama ada ingin memilih bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa utama Sains dan Matematik.

Pada peringkat yang lebih tinggi, kebanyakan universiti juga mula memperkenalkan pengajaran kursus dalam bahasa Inggeris. Alasanya adalah kerana kebanyakan ilmu dan rujukan maklumat utama merupakan sumber daripada bahan yang berbahasa Inggeris. Masalah sebegini amatlah menjejaskan usaha memperkasakan bahasa Melayu di Malaysia kerana sekolah dan universiti ialah institusi sosialisasi yang banyak memberikan kesan kepada kehidupan individu.

Sebagai sebuah negara yang telah lama mencapai kemerdekaan, Malaysia seharusnya meneruskan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam membentuk negara bangsa. Kerajaan Malaysia telah banyak menggariskan dasar untuk pembentukan negara bangsa dan memperkasakan bahasa Melayu. Tetapi dasar yang telah dibuat oleh kerajaan perlulah dilaksanakan dengan baik supaya dapat dibentuk negara bangsa Malaysia yang telah lama diidamkan oleh rakyat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014312
    Visit Today : 341
    This Month : 33657
    Total Visit : 1014312
    Hits Today : 990
    Total Hits : 4137792
    Who's Online : 11
  • Kategori