Judul: Anak Perawan
Pengarang: Abang Median Abang Said
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18.00
PENGULAS: NORSUHAILA IBRAHIM

NOVEL remaja Anak Perawan setebal 241 halaman ini ditulis oleh Abang Median Abang Said. Novel ini mengisahkan tentang seorang anak kampung bernama Panai. Dia lebih selesa dengan kehidupan berlatarkan belantara. Namun, Panai dibawa ibunya berpindah ke pekan Marudi selepas kematian bapanya yang menghidap penyakit kayap ular. Perpindahan ini pada mulanya tidak disukai oleh Panai. Di sekolah baharu, dia berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk perasaan rendah diri kerana bersaing dengan pelajar yang lebih pintar. Namun, dorongan ibu serta guru-guru mengubah sikap dan pendirian Panai.

Kisah Panai bermula sewaktu dia bersekolah rendah. Ibu selalu memanggilnya dengan panggilan anak Perawan. Dahulu, dia tidak faham kenapa ibunya memanggil dirinya dengan gelaran itu. Dia akhirnya faham bahawa gelaran itu diberikan ibunya kerana menurut ibunya, dia berbangsa Berawan dan ayahnya pula berbangsa Penan, manakala Perawan itu ialah gabungan Penan dan Berawan. Apabila Panai meningkat remaja, dia cuba mengaitkan gelaran Perawan itu dengan sesuatu yang lebih kompleks. Baginya, Perawan adalah simbol kesucian masyarakat di pedalaman kerana terpisah daripada gejala negatif kemodenan. Akhirnya, Panai menerima gelaran tersebut dan bangga dengannya.

Sewaktu memulakan persekolahan di bandar, Panai mengenali seorang pelajar bernama Hanani. Hanani sering menemani Panai melukis pada waktu petang selepas habis waktu persekolahan. Jarang sekali masyarakat Penan tidak pandai melukis. Kebanyakan mereka mempunyai kemahiran seni tersebut, selain kemahiran seni lain seperti mengukir, menganyam dan menenun. Kemahiran itu seperti anugerah mendiami kawasan yang penuh kedamaian. Sejak kecil Panai suka melukis pemandangan terutamanya pemandangan di sungai dan pemandangan dari atas bukit dengan menggunakan arang iaitu puntung kayu yang sudah hitam terbakar. Bagi Panai, cara itu ada kesenian yang dalam. Selain itu, Panai juga mahir melukis potret.

Sejak berkawan dengan Hanani, Panai sudah mula mengikis sikap pendiamnya dan juga rasa rendah dirinya yang suatu ketika dahulu begitu menebal dalam dirinya. Namun, di sekolahnya juga ada seorang pelajar bernama Tommy yang sangat nakal. Sewaktu di sekolah ada pertandingan menyumpit. Namun, Tommy telah mengugut Panai supaya menarik diri daripada menyertai pertandingan itu. Pada mulanya Panai berhasrat untuk mengundur diri daripada pertandingan itu, namun Hanani membantah. Bagi Hanani, adalah rugi jika kebolehan menyumpit Panai itu tidak diketengahkan. Lagipun, kemahiran menyumpit memang sebati dengan budaya masyarakat Penan. Bagi Hanani, sepatutnya pada waktu sebegini, Panai perlu menunjukkan bahawa masyarakat Penan mampu bersaing dan mengetepikan perasaan rendah diri. Namun, Panai tekad untuk tidak masuk bertanding dalam pertandingan tersebut kerana dia mahu fokus pada pelajarannya. Tujuannya datang ke sekolah bukan mahu mencari masalah, tetapi untuk menuntut ilmu. Akhirnya, Tommy memenangi pertandingan itu tanpa saingan daripada Panai.

Tommy merupakan pelajar yang sering membuat masalah di sekolahnya. Selain membuli dan mengugut pelajar lain, dia juga menjual arak di asrama sekolah. Selain itu, dia juga menjual rokok kepada pelajar di sekolah. Akhirnya, Tommy digantung persekolahan atas kesalahan menjual rokok di sekolah. Namun, Panai tidak menyimpan dendam terhadap Tommy walaupun banyak perkara yang dilakukannya ke atas Panai. Tommy telah insaf akibat perbuatannya itu lalu meminta maaf dengan Panai.

Akhirnya, setelah melalui semua cabaran dan dugaan dalam pelajaran dan hidupnya, Panai telah berjaya melanjutkan pelajaran di universiti luar negara dalam jurusan Kejuruteraan Kimia. Namun, minatnya dalam bidang seni tidak pernah terpadam. Panai akan pergi ke Trafalgar Square untuk melukis sekiranya dia berkelapangan. Sewaktu sedang leka melukis, tiba-tiba bahunya ditepuk dari arah belakang. Kelihatan Hanani dan Tommy datang berdua-duaan sambil tersenyum-senyum. Tommy memperkenalkan namanya sebagai Tarmizi bin Abdullah. Mengapakah Hanani dan Tommy datang berdua-duaan? Apakah kaitan antara Hanani dengan Tommy? Untuk mengetahui kesudahannya, para pembaca bolehlah mendapatkan novel ini dalam pasaran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036590
    Visit Today : 72
    This Month : 19189
    Total Visit : 1036590
    Hits Today : 155
    Total Hits : 4252510
    Who's Online : 9
  • Kategori