OLEH SITI SUHANA MOHD AMIR

MUSIM buah binjai datang lagi! Buah binjai (Mangifera caesia) atau dikenali dengan buah kemang ini ialah sejenis buah nadir yang jarang ditemukan malah ditanam secara komersial. Meskipun sukar ditemukan, buah binjai lebih popular bagi orang dewasa dan musimnya sentiasa dinanti-nantikan. Bentuknya bujur persis telur dengan saiz 12-19 sentimeter panjang dan 6-10 sentimeter lebar. Isinya berwarna putih kekuningan, berjus, memiliki rasa manis, masam manis, masam dan lemak manis serta berserat sederhana kasar ke kasar. Mengikut penggemar buah binjai, buah yang licin kulitnya dan berwarna kuning-coklat serta berbau kuat, sedap rasanya. Manakala, buah kemang (Mangifera kemanga) pula mempunyai kulit yang lebih kasar dan kusam warnanya serta saiz buahnya lebih besar daripada buah binjai. Rasa buah binjai lebih manis, kelat dan sedikit masam berbanding buah kemang yang rasanya lebih manis (tiada rasa kelat dan masam) dan masam (tidak tertelan dan sangat masam).

Istimewanya buah binjai ini kerana berada dalam kelompok keluarga dengan pokok bacang, bambangan, kuini dan mangga, iaitu dalam famili Anacadiaceae. Secara khususnya, pokok binjai merupakan sejenis pohon atau buahnya yang bujur dan agak masam rasanya. Negeri Melaka sinonim dengan kedapatan buah binjai ini dan sentiasa mendapat permintaan apabila tiba musimnya. Sekadar disebut di pinggir bibir, namun yang mendengarnya akan berasa kecur liur. Kehadiran musimnya yang singkat, berbuah sekali setahun, buah binjai sentiasa dinanti. Pokok binjai lazimnya mula berbunga pada bulan April dan buahnya boleh dituai sekitar bulan Jun hingga Ogos setiap tahun. Pokok binjai biasanya ditanam di kawasan hutan dan perkampungan, bercampur dengan pokok buah yang lain seperti manggis, rambutan dan mangga serta sesuai dijadikan pohon teduhan di halaman atau belakang rumah. Buah binjai biasanya boleh diperoleh terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Berbanding negeri lain, hanya di Melaka buah binjai mudah diperoleh dengan banyak pada musimnya. Antara lokasi buah binjai yang mudah diperoleh ialah di Kampung Kemuning, Alor Gajah dan buahnya banyak dijual di kawasan Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal, deretan kedai di Simpang Ampat, dan peniaga dari Taman Sri Bahan, Batu Berendam. Jika di Terengganu, buah binjai manis diperoleh dan dijual di Besut dan Pasar Payang, serta Pasar Borong Machang atau Kampung Kemuning-Jalan Machang ke Kuala Krai untuk di Kelantan. Manakala, di Johor boleh diperoleh di deretan pondok niaga di jalan keluar dari tol Machap dan masuk ke jalan Johor-Air Hitam serta di Kampung Singkir, Jalan Tanjung Dawai di Kedah.

Secara umumnya, masyarakat Borneo dan negeri lain banyak menyebut buah binjai dengan nama lain seperti asam kembawang binjai, ondo, belunok, balunoh, bunok, wanchi dan dendahan. Selain itu, buah binjai dikenali dengan nama buah lanjut, pelir lembu (Penang), jack, white mango, bayuno (Filipina), bin yaa dan lamyaa (Thailand), binglu, palong, mangga wani dan kemang (Indonesia). Jika di Brunei, masyarakat menyebut buah binjai sebagai binjai atau belunu, di Sabah disebut belunu atau bundu, dan di Sarawak, masyarakat Kedayan menyebut sebagai binjai, binyok (Melananu Mukah), bua pawuk (Bidayuh), binjai pulas (Iban), binjai pulas utan (Ulu Akah), belunok, binjai manis dan binjai masam (orang Melayu Sarawak).

Di Sarawak juga, buah binjai banyak ditanam dan dapat diperoleh di Kampung Medong, Dalat. Buah bunok atau belunok khususnya sebutan bagi masyarakat Melayu Sarawak yang ada di Kuching dan Saribas. Menurut sejarah, pokok belunok yang ada di Saribas berusia lebih 200 tahun dan ditanam oleh pembesar Brunei semasa Sarawak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Pokoknya besar dan tinggi serta dapat menghasilkan beribu biji buah yang manis dan masam. Buah yang manis dipanggil buah belunok manis kerana jusnya putih seperti susu. Manakala, buah yang masam dapat dibuat jeruk dan boleh disimpan dan tahan setahun. Bagi masyarakat Brunei, buah binjai mempunyai rasa sedikit masam berbanding belunu yang mempunyai rasa manis dan berlemak.

Di Sabah pula, masyarakat Dusun menggelar buah binjai sebagai buah belunu, bundu atau belundu (manis) yang bersaiz bulat lonjong, bervariasi kuning pucat, berkulit nipis dan licin, isinya sederhana lembik apabila cukup masak dan buahnya jarang diserang serangga atau dimasuki ulat (giuk). Buah belunu atau bundu dikategorikan sebagai buah eksotik dan hanya ditemukan di Pantai Barat Pedalaman Sabah seperti peniaga dari Kampung Kapa berjual di Pekan Tamparuli, Keningau dan Kota Kinabalu. Uniknya, buah ini berbuah serentak dengan buah bambangan. Jika buahnya masih mentah, berwarna hijau dan rasanya tawar. Apabila sudah matang, kulitnya menjadi kuning pucat dan rasanya ada yang manis dan masam.

Keunikan petua orang tua apabila melarang daripada mengutip buah binjai sewaktu musim hujan atau menebang batangnya, jika terkena getah atau cecair dari pokoknya boleh menyebabkan alahan atau keradangan kulit (alergi) atau semacam penyakit cacar. Malah tidak digalakkan untuk makan buah bundu yang masih mentah kerana bijinya beracun. Tetapi usah bimbang kerana biji buah bundu dilapisi satu lapisan keras dan berserat dan jika masih muda lapisan ini tidak begitu ketara. Jika dah matang dan sebelum terpotong bijinya, lapisan serat ini yang akan kelihatan terlebih dahulu. Jika termakan juga biji buah bundu atau terhiris bijinya dan terkena getahnya, kulit akan menjadi kemerah-merahan dan berair (seakan-akan demam campak) dan keadaan ini dipanggil “bunduon”. Menurut mitos, seseorang daripada kalangan keluarga perlu “monokon” (merejam) pokok tersebut dengan bambu (buluh) yang kononnya (kepercayaan) dapat menghentikan “sumpahan” akibat termakan biji bundu. Selain itu, mereka boleh mengikat kain pada pokok dan mengelilinginya serta meminta maaf pada pokok, barulah penyakit dapat diubati.

Saiz ukur lilit pokok binjai 200 sentimeter (besar dua pemeluk) dan ketinggiannya boleh mencapai 40 meter tinggi. Buah yang matang perlu dipetik bagi menjaga kualitinya. Buah yang dipetik juga lebih tinggi harganya dan tahan lebih lama berbanding buah yang gugur semasa dipetik. Dek tingginya pokok binjai, ramai yang tidak sanggup mengambilnya. Seseorang perlu memanjat pokoknya dan batang pokok perlu “dipacuk” dengan buluh sampai atas untuk jadi tangga. Pemanjat juga perlu mengambil buah di hujung dahan dengan menggunakan galah yang diletakkan sauk di hujungnya sambil meniti dari dahan ke dahan secara berhati-hati. Buah akan dikumpulkan dalam guni dan diturunkan perlahan-lahan menggunakan tali dan disambut dari bawah. Jika buah tidak dapat dicapai, pemanjat berusaha menggoncang-goncangkan buah agar gugur ke tanah. Buah yang gugur tersebut masih elok jika tanah yang menyambut lembut. Pohon binjai juga ada musim luruh daunnya dan pokok akan menjadi botak. Apabila daun baharu keluar, pelepah putik yang besar akan gugur di sekeliling pokok.

Apakah istimewanya buah binjai ini? Bagi orang dewasa, sudah pastinya menggemari buah binjai yang masam kerana boleh buat bermacam-macam hidangan seperti sambal tumis, sambal belacan, masak lemak dengan ikan, masak lemak cili padi, masak bening (sup tanpa rempah) daging atau ayam dengan hirisan buah binjai serta dimakan mentah cicah garam, gula dan cili api. Malah ada gerai (Kampung Sungai Timun Rembau, Lubok Cina, Negeri Sembilan) yang memanfaatkan musim buah binjai dengan menjual asam pedas ikan pari dengan hirisan jeruk buah binjai sebagai pemikat selera serta buah binjai yang manis dijadikan jus berserta kurma dan air soda dan rasanya lain dari yang lain. Malah, jika dimakan begitu sahaja pun sudah mencukupi kerana rasanya memang sedia manis dan berlemak serta harum baunya (binjai manis).

Jika mahu melanjutkan jangka hayat buah, maklumlah setahun sekali berbuah, buah binjai boleh dibuat jeruk, dikupas kulitnya, dipotong memanjang, ditaburkan garam, letak dalam bekas bertutup dan selepas itu bolehlah disimpan di dalam peti ais. Ada juga buah binjai dibuat jeruk atau pekasam dan dimasukkan dalam tempayan, orang tua akan memotong memanjang bersekali kulitnya dan disusun berlapis-lapis dengan garam dan kunyit. Cuba bayangkan pekasam buah binjai dimakan bersekali dengan sambal belacan dan nasi panas atau makan jeruk buah binjai dengan ambuyat!

Manakala, dalam dunia pantun yang bersumberkan dari Kurik Kundi Merah Saga dan Khazanah Pantun Melayu Riau, kosa kata binjai ada digunakan sebagai pembayang maksud dengan bertemakan kiasan dan sindiran. Antara contoh kosa kata binjai dalam pembayang maksud dalam pantun Melayu seperti yang berikut:

Ular lidi di pohon binjai,

Mari terlanggar gugur ke tanah;

Biar sejari kain cindai,

Banyak berkodi apa gunanya.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Apabila mencari buah tayas,

Jangan terambil buah binjai;

Apabila sekali kata terlepas,

Persoalan kecil menjadi badai.

(Khazanah Pantun Melayu Riau)

Uniknya masam manisnya buah binjai tetap menjadi pilihan dan terus diminati sehingga kini. Walaupun buah binjai yang dikategorikan tidak ekonomik dan tidak dikomersialkan, namun mempunyai penggemarnya tersendiri. Beruntunglah pada anak muda yang masih kenal dan gemar makan buah binjai pada ketika ini kerana masih mewarisi kenikmatan dan keistimewaannya. Untuk lebih mendekati generasi muda, perlu ada usaha untuk mempelbagaikan kegunaan buah binjai sekali gus dapat memenuhi pasaran tempatan. Nilai buah binjai di mata masyarakat sungguh bermakna kerana keistimewaannya yang hanya diperoleh apabila tiba musimnya.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.