Judul  : Puteri Molig
Penulis : Khatirina Tati
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 2018
Pengulas : ATIQAH ABD RAHIM

PUTERI MOLIG mengisahkan seorang anak perempuan sulung bernama Molig yang dijadikan ‘barang cagaran’ oleh ibu bapanya untuk menebus hutang sekampit beras yang dipinjam daripada sepasang suami isteri yang terkaya di Kampung Pulau Papar, Sabah. Orang kaya itu bernama Alaat dan isterinya bernama Daing. Pasangan tersebut tidak disukai oleh penduduk kampung kerana mereka suka menghina dan bersikap angkuh terhadap penduduk kampung yang ingin meminjam wang daripada mereka. Mereka berdua menggunakan bahasa kesat dan sering menyumpah seranah penduduk kampung yang datang ke rumah mereka supaya cepat mati dan tinggal di hutan bersama orang utan.

Kampung Kuala Papar baharu sahaja dilanda banjir dan banyak tanaman yang rosak dihanyutkan air bah. Begitu juga seperti yang terjadi pada keluarga Molig. Hanya rumah dan ladang Alaat terselamat daripada banjir kerana terletak di kawasan tinggi. Ayah dan ibu Molig terpaksa berhutang dengan Alaat sementara mereka dapat mengerjakan kebun sayur semula. Hutang sekampit beras yang dipinjam daripada Alaat perlu dibayar dengan dua kampit beras, dan jumlah itu semakin berganda disebabkan bapa Molig selalu terlewat membayar hutang tersebut. Molig berasa kasihan melihat ayah dan ibunya selalu sakit akibat keletihan dan usia mereka yang semakin tua. Molig dan adik-adiknya yang masih kecil turut membantu meringankan beban keluarga mereka.

Pada suatu hari, Molig dan ibu bapanya ke pasar untuk bertukar sayur-sayuran dengan ikan atau beras. Alaat yang ketika itu sedang berjalan di pasar untuk mencari sesiapa yang mahu menjadi pembantu rumahnya, melihat kehadiran keluarga Molig di situ lalu mengherdik ibu bapa Molig dan menagih hutangnya. Seluruh tubuh Molig menggeletar ketakutan melihat kegarangan Alaat. Lalu, ibu bapa Molig menawarkan anaknya itu untuk bekerja di rumah Alaat sebagai cagaran penebus hutang. Ayah Molig berjanji akan mengambil Molig semula apabila semua hutangnya selesai.

Tinggallah Molig di rumah Alaat dan Daing. Dia diperlakukan seperti hamba di rumah itu. Isteri Alaat, Daing selalu memarahinya atas kesalahan remeh dan mengherdiknya dengan suara yang sangat lantang. Molig juga tidak diberikan makanan dan hanya makan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan oleh pasangan tersebut. Molig merindui kehidupan di rumahnya dan keletah adik-adiknya. Setiap hari Molig berdoa supaya ayahnya cepat membayar hutang dan dia boleh keluar dari rumah Alaat dan Daing.

Kehadiran seorang lelaki tua di rumah Alaat dan Daing merubah hidup Molig. Lelaki tua itu meminta bantuan Molig kerana mengalami kecederaan. Sebagai balasan, lelaki tua itu menghadiahkan Molig sehelai sapu tangan berwarna kuning keemasan serta bersulamkan dua bilah keris. Lelaki tua itu memanggil Molig sebagai Puteri dan meyakinkan bahawa kebaikannya akan dibalas suatu hari nanti. Sapu tangan tersebut selalu digunakan Molig untuk mengelap peluh dimukanya setelah seharian bekerja. Molig terkejut melihat perubahan kulitnya yang semakin mulus dan cantik. Daing berasa cemburu melihat perubahan muka Molig lalu memaksa Molig untuk memberitahu rahsia sapu tangan itu. Molig keberatan kerana lelaki tua itu sudah berpesan supaya tidak diceritakan kepada orang lain. Namun begitu, Daing memaksanya dan terus merampas sapu tangan itu.

Alaat dan Daing selalu bertelingkah kerana masing-masing mahu menggunakan sapu tangan Molig. Hari berganti hari, muka mereka tidak berseri-seri seperti Molig malah semakin hodoh persis orang utan. Alaat dan Daing juga semakin jarang memarahi Molig atas kesalahan-kesalahan remeh. Hal ini membuatkan Molig risau melihat keadaan tuannya.

Pada suatu pagi, Molig terbangun daripada tidurnya kerana bunyi pekikan dari bilik Alaat dan Daing. Molig sangat risau jika ada apa-apa yang berlaku pada tuannya. Walaupun Alaat dan Daing memperlakukannya seperti hamba, tidak sesekali terlintas di fikirannya untuk mengabaikan kebajikan tuannya. Alangkah terkejut Molig melihat kedua-dua tuannya sudah hampir separuh menyerupai orang utan. Alaat dan Daing terus berlari ke hutan. Jiran-jiran dan pekerja-pekerja di ladang Alaat dan Daing lari lintang-pukang melihat kedua-dua orang kaya yang sudah berkelakuan seperti orang utan. Molig terus menangis dan bersimpati melihat keadaan Alaat dan Daing. Molig menyalahkan dirinya kerana mengingkari pesanan lelaki tua yang menyebabkan kedua tuannya menjadi orang utan. Seorang jirannya, Pakcik Lus menasihatinya supaya pulang ke rumah ibu bapa Molig semula. Molig bersetuju dan menghabiskan kerja-kerja rutin hariannya sebelum pulang ke rumahnya.

Ketika menyusuri jalan-jalan kecil di tepi anak sungai, Molig terlihat sekumpulan lelaki berpakaian lengkap dengan keris terselit di pinggang mereka. Molig mempercepat langkahnya. Kedengaran suara lelaki memanggilnya “Puteri Molig”. Dilihatnya lelaki tua dahulu dan memperkenalkan dirinya sebagai seorang raja bernama Raja Muara Sungai Buang Sayang, Papar. Raja Muara menceritakan bagaimana baginda terdampar di persisiran pantai akibat bahtera perangnya pecah dipukul ombak dan baginda hilang ingatan ketika itu. Moliglah yang membantu baginda semasa baginda datang ke rumah Alaat dan Daing untuk meminta sedikit makanan. Sebagai menghargai jasa budi, Molig sekeluarga ditawarkan untuk tinggal di istana.

Cerita rakyat ini dapat menarik perhatian pembaca dengan jalan cerita dan gaya bahasa yang mudah difahami. Pengarang juga memperkenalkan dan menyelitkan beberapa perkataan orang Sabah sebagai menghargai warisan bahasa nenek moyang. Pengarang menggunakan susunan penceritaan yang teratur dengan teknik plot pemerian dan imbas kembali dalam menelusuri perasaan dan konflik yang dihadapi oleh Molig. Molig sebagai watak utama digambarkan sebagai seorang gadis yang selalu bermonolog seorang diri kerana tertekan dengan layanan yang diberikan oleh tuannya. Molig kerap mengenangkan kehidupan bahagianya di rumah.

Kekuatan cerita rakyat Sabah ini terletak pada mesejnya, seperti bersikap rendah diri dan tidak kedekut apabila mendapat kekayangan. Nilai murni ini tidak ditunjukkan dalam watak Alaat dan Daing yang sentiasa menghina penduduk kampung yang miskin dan sebagai balasan, mereka  akhirnya menjadi orang utan. Watak Molig menunjukkan sikap rendah diri dan tidak kedekut apabila dia sentiasa membantu sesiapa yang datang ke rumah Alaat untuk meminta bantuan tanpa pengetahuan tuannya. Pengarang juga menekankan pengorbanan Molig yang sanggup menjadi pembantu rumah Alaat dan Daing yang dikenali sebagai pasangan bengis di kampung bagi membantu keluarganya melangsaikan hutang. Sikap positif Molig dalam menghadapi dugaannya di rumah Alaat dan Daing dapat memberi kekuatan kepada pembaca supaya tabah dalam menghadapi cabaran hidup.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036251
    Visit Today : 1029
    This Month : 18850
    Total Visit : 1036251
    Hits Today : 3917
    Total Hits : 4250007
    Who's Online : 7
  • Kategori