Judul  : Kenali Puisi Tradisional Kita
Penulis : Siti Zaleha M. Hashim
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 2016
Pengulas : ATIQAH ABD RAHIM

PENULIS Siti Zaleha M. Hashim memulakan pengenalan buku ini dengan sejarah ringkas kemunculan puisi tradisional Melayu. Beliau menulis,

“Kesusasteraan Melayu tradisional adalah hasil sastera yang telah dicipta sebelum tahun 1800 Masihi, iaitu kira-kira tiga ratus tahun yang lampau. Karya-karya ini dihasilkan sebelum ketibaan mesin cetak. Hasil ciptaan ketika itu tidak diketahui pengarangnya kerana dianggap sebagai milik bersama. Bahan-bahan kesusasteraan ini yang menjadi panduan dan teladan dalam kehidupan, mencerminkan pemikiran masyarakat silam.”

Sebelum kewujudan sistem tulisan, masyarakat dahulu menyampaikan cerita mitos, cerita legenda, cerita rakyat, puisi tradisional dan nyanyian rakyat secara lisan.  Kesusasteraan Melayu tradisional ini kemudiannya diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya melalui mulut tanpa diketahui pengarang asalnya. Kedatangan Islam telah memperkenalkan sistem tulisan yang berupa tulisan Arab dan ditambah dengan beberapa huruf sesuai dengan sebutan orang Melayu. Tulisan ini dinamakan tulisan Jawi atau bahasa Melayu Jawi. Penciptaan sistem tulisan Jawi telah memudahkan kerja merekodkan puisi dan cerita Melayu tradisional untuk tatapan generasi baharu. Kerja merekod ini juga hasil usaha penulis pada zaman penjajahan British dalam usaha untuk mengumpul semula sastera Melayu yang telah hilang.

Dalam buku ini, penulis membahagikan puisi tradisional kepada 12 genre atau kelompok, iaitu pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka-teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun (atau sesomba), prosa berirama atau prosa lirik, mantera, dan dikir atau zikir. Tarikh bermulanya puisi tradisional ini dalam masyarakat Melayu tidak dapat dibuktikan. Namun, kebanyakan pengkaji percaya puisi dicipta bersama-sama kelahiran bahasa yang digunakan oleh masyarakat dahulu. Bentuk puisi terawal dipercayai jampi atau mantera disebabkan peranan utamanya dalam masyarakat Melayu yang percaya akan dunia ghaib. Pantun juga dipercayai antara puisi terawal digunakan. Penulis mengkhususkan setiap bab dalam buku ini untuk menerangkan 12 jenis puisi tradisional. Susunan sebanyak 12 bab ini memudahkan pembaca yang baru mahu mengenali jenis puisi Melayu tradisional dan dapat mempelajarinya secara sistematik.

Puisi tradisional merupakan warisan kesusasteraan Melayu tradisional yang dihasilkan untuk melahirkan pemikiran baharu yang sesuai pada zaman itu. Pemikiran tersebut diungkapkan dalam bahasa yang puitis dan kreatif. Penyebarannya boleh dilihat dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan meliputi nyanyian, tarian, muzik, permainan dan ritual. Puisi tradisional mempunyai fungsi dan peranannya tersendiri, terutamanya dalam kegiatan ritual, hiburan dan hal keagamaan.

Pantun dan syair berperanan dalam mencerminkan pemikiran masyarakat dan menggambarkan kehidupan dan persekitaran masa silam. Tema berbentuk nasihat dan nilai murni diterapkan dalam pantun dan syair, seperti nilai kasih sayang, berbudi, dan kesetiaan. Contoh pantun dan syair yang menekankan tema seperti ini ialah:

Bagaimana saya tak ikat,
Kait-kait dengan durinya,
Bagaimana saya tak ingat,
Orang baik dengan budinya.

Yang berikut ialah petikan syair nasihat yang dikarang oleh Raja Ali Haji:

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendaklah disahaja,
Serta rajin pada kerja.

Puisi Melayu tradisional, seperti nazam dan dikir atau zikir, pula digunakan untuk tujuan keagamaan. Kedua-duanya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai tema utama dan menyampaikan ajaran agama dan nasihat. Nazam juga membawa pengajaran ilmu tauhid, seperti mengenal Allah dan sifat 20, ilmu fiqah, rukun sembahyang dan rukun iman. Nazam dan dikir selalunya dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, khatam Quran, berendoi, berkhatan dan sambutan Maulud serta Israk dan Mikraj.

Selain itu, puisi Melayu tradisional membawa fungsi hiburan kepada masyarakat. Seloka merupakan sejenis puisi bebas dan kebiasaannya membawa sindiran dalam nada serius, mengejek atau jenaka. Kebanyakan seloka digunakan untuk mengkritik tingkah laku masyarakatnya dan memberikan panduan serta pengajaran kepada mereka. Contohnya, seloka dalam cerita jenaka Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang dan Emak Si Randang. Teka-teki pula digunakan bagi mengisi masa lapang sambil bergurau senda sesama orang terdekat dengan cara kreatif dan puitis. Biasanya teka-teki digunakan oleh orang muda dan kanak-kanak bagi mengisi lapang mereka. Raja dan pembesar istana juga menjadikan teka-teki sebagai hiburan dan menunjukkan keupayaan dan kebijaksanaan masing-masing. Teka-teki terdiri daripada ungkapan puitis atau tidak puitis dan mengandung satu soalan. Contoh teka-teki yang dilampirkan oleh penulis ialah:

Berdengung bukannya kumbang,
Mengaum bukannya harimau,
Berbelalai bukannya gajah,
Nakalnya lebih daripada ketiganya.
(jawapannya: nyamuk)

Ada juga teka-teki berbentuk syair, seperti yang berikut:

Panjang pendek boleh ditampa,
Ada sehasta ada sedepa,
Mulut dan mata sama serupa,
Makan bersorak sebarang berjumpa.
(jawapannya: gergaji)

Talibun dan prosa berirama pula diungkapkan dalam cerita lipur lara Melayu dan “kaba” Minangkabau sebagai selingan untuk memerikan sesuatu objek, keadaan atau kelakuan manusia. Contohnya, menceritakan kehebatan raja dan kotanya, pakaian atau kecantikan seseorang. Petikan talibun yang memerihalkan raja dalam perjalanan ialah:

Melalui hutan rimba,
Tempat jin yang banyak,
Tempat syaitan berlompatan,
Masuk hutan keluar hutan,
Masuk padang keluar padang,
Masuk rimba keluar rimba,
Bertemu cangkat di kaki,
Bertemu lurah dituruni.

Kebanyakan kaba dimulai dengan pantun sebagai permulaan cerita, seperti cerita Cindua Mato:

Olek olainya masa itu
Ia diranah Tanjung Bunga
Dalam istana Pagar Ruyung
Istana daulat Bundo Kandung
Istana gadang mahligai tinggi.

Secara keseluruhannya, buku ini menawarkan pembacaan yang mudah dan jelas bagi pembaca yang baru mengenali puisi tradisional. Fungsi setiap puisi tradisional dan pemikiran di sebaliknya mengajak pembaca untuk memahami cabang kesusasteraan Melayu ini. Buku ini seharusnya dibaca oleh pembaca yang khususnya mahu meneroka hikayat Melayu yang kaya dengan pantun, syair, talibun dan sebagainya.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.