OLEH NURUL JULIA ALANI HENRY

Dr. Maszlee Malik mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melihat pameran yang memaparkan kisah penglibatan Sasterawan Negara ke-14 dalam dunia sastera, seni dan budaya.

PADA 3 September 2019, berlangsungnya sidang media yang mengumumkan penerima Anugerah Sastera Negara oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik di Putrajaya. Detik bersejarah itu membawa khabar gembira buat Dr. Siti Zainon Ismail apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Dr. Maszlee Malik berkata, pemilihan Dr. Siti Zainon adalah berdasarkan sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta jasa baktinya terhadap pengembangan sastera. Pengiktirafan itu juga melihat penglibatan Dr. Siti Zainon dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang sudah diterimanya. Dalam sidang media itu juga Dr. Maszlee menyatakan, Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu yang memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menandatangani buku pelawat Majlis Anugerah Sasterawan Negara ke-14.

Maka itu, Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 telah diadakan pada 21 September 2019, bertempat di Hotel Istana Kuala Lumpur. Selain bersejarah, majlis ini juga tambah berseri dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Keberangkatan tiba KDYMM baginda berdua disambut oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maslee Malik dan isteri, Dr. Hamidah Mat. Yang turut serta menyambut keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Dr. Mohamed Harta Shaharom dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang sallehuddin Abg. Shokeran.

Dr. Siti Zainon mengadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum bermulanya Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14.

Sebelum tiba acara kemuncak Majlis Anugerah Sastera Negara, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dipersembahkan dengan lagu iringan dan persembahan fragmen karya Sasterawan Negara ke-14. Setelah itu, Dr. Maszlee menyampaikan sembah ucapan dan sembah kenal penerima Anugerah Sastera Negara ke-14. Antara inti pati penting dalam ucapan Dr. Maszlee ialah “Siti Zainon Ismail kerap mencirikan jati diri Melayu, khususnya kelembutan wanita Melayu yang halus, bijak dan serba mengerti dalam karya-karyanya. Inilah juga kualiti yang terpancar dalam kelembutan dan kesenian palitan warna dan sketsa dalam karya seni visualnya pada kanvas kertas dan buku puisinya”.

Pengurniaan watikah oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong kepada Dr. Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara ke-14.

Detik bersejarah bagi dunia sastera tanah air terlakar apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada penerimanya, Dr. Siti Zainon Ismail. Selain memegang gelaran Sasterawan Negara ke-14 dan Warkah Penghormatan Negara, Dr. Siti Zainon juga menerima wang tunai sebanyak RM60 000. Beliau turut menerima penerbitan sebanyak 50 000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500 000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan. Beliau juga menerima kemudahan percuma di dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup sebanyak RM5000 sebulan.

Sebagai tanda penghormatan atas penerimaan gelaran Sasterawan Negara ke-14, Dr. Siti zainon kemudiannya menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih. Terkenal dengan bakat dan estetikanya yang gemar menyatukan lukisan dan puisi dalam satu kanvas, sembah ucapan beliau juga menggambarkan keperibadiannya yang begitu menghargai alam, budaya dan citra Melayu. Bermula dengan “tinta susastera”, disusuli dengan perihal “akal budi dan mata hati”, disulami dengan “melukis susastera-seni budaya”, dan diakhiri dengan “melabuh tirai” telah menjadikan ucapan sembah Sasterawan Negara ke-14 ini kedengaran syahdu namun padat dengan mesej yang bervisi.

Hasil karya Dr. Siti Zainon yang dipamerkan sempena pengurniaan watikah yang membawa gelaran Sasterawan Negara kepada beliau.

Selain pengurniaan watikah yang melayakkan Dr. Siti zainon bergelar Sasterawan Negara ke-14, turut diadakan pameran yang memaparkan kisah kejayaan Dr. Siti Zainon selama berjuang dalam dunia sastera, seni dan budaya. Beliau telah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen dan lima antologi puisi. Beliau turut menghasilkan 18 kajian ilmiah (buku) dan beberapa esei kajian dalam buku dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog. Dr. Siti Zainon juga pernah menerima pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa, termasuk SEA Write Award pada tahun 1989, Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Anugerah Tokoh Seni Budaya 2015.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036286
    Visit Today : 1064
    This Month : 18885
    Total Visit : 1036286
    Hits Today : 4034
    Total Hits : 4250124
    Who's Online : 11
  • Kategori