Judul: Puteri Putih

Pengarang: Murad Arsad

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM23.00 / Tahun: 2019

Pengulas: NORSUHAILA IBRAHIM

Novel berjudul Puteri Putih yang ditulis oleh Murad Arsad ini berkisar tentang kisah dendam kesumat Belanda terhadap Sultan Ibrahim yang membantu Raja Haji ketika pertempuran di Melaka. Tentera Sultan Ibrahim diketuai oleh Panglima Puteri Putih berjaya menewaskan tentera Belanda. Hutang darah dibalas dengan darah, hutang nyawa dibalas dengan nyawa. Gabenor Willem Arnold Altingsburg bertekad menyerang Kota Malawati, Kuala Selangor. Tenteranya diketuai oleh Laksamana Sir Jacob Pieter van Braam dan dibantu oleh Kapten Dirk van Hogendrop. Askar-askarnya sering diganggu oleh peristiwa misteri. Seorang demi seorang askar Belanda mati secara tiba-tiba.

Puteri Putih tinggal di Kampung Permatang. Ayahandanya seorang guru silat bernama Paduka Maha Bijaya. Ilmu persilatan Paduka Maha Bijaya diperturunkan kepada Puteri Putih yang menjadikan Puteri Putih seorang wanita yang hebat dalam ilmu persilatannya. Di kampung itu, tinggal seorang pemuda bernama Daeng Mateko yang sering mengganggu Puteri Putih setiap kali dia pulang daripada membasuh baju di jeram. Daeng Mateko mengaku berdarah bangsawan kerana mahu menjadi raja di Kuala Selangor tetapi telah ditolak oleh penduduk di situ. Daeng Mateko bagaikan orang yang gila kuasa. Merayau-rayau tidak tentu hala serta sering mengganggu penduduk di situ. Daeng Mateko juga memeras ugut para nelayan dan petani supaya membayar cukai kepadanya. Hal ini menyebabkan penduduk di situ menolak Daeng Mateko. Puteri Putih tidak menyukai pemuda itu.

Pada suatu hari semasa Puteri Putih membasuh baju di jeram, datang Daeng Mateko cuba mengganggu Puteri Putih. Daeng Mateko cuba merangkul tubuh Puteri Putih, namun dengan pantas Puteri Putih mengelak membuatkan Daeng Mateko terbabas beberapa langkah ke hadapan. Ketika Daeng Mateko terburu-buru, Puteri Putih menyerang dengan satu tumbukan di dada. Tumbukan padu tepat ke bahagian tulang rusuk sebelah kiri membuatkan Daeng Mateko mengalami sesak nafas. Selang beberapa saat kemudian, kelihatan mulut Daeng Mateko memercik cecair berwarna merah. Dia termuntah darah beberapa kali.

Sebenarnya, Sultan Ibrahim sudah lama mendengar khabar akan kehebatan seni silat Puteri Putih dan amat menyukai kehebatan dan ketangkasan Puteri Putih. Baginda akhirnya melantik Puteri Putih sebagai salah seorang panglima perang baginda. Maka, semenjak itu Puteri Putih digelar Panglima Puteri Putih.

Panglima Puteri Putih menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT dalam perjuangan menentang penjajah. Tubuhnya yang mongel dan lembut itu tidak sepatutnya dilayan seperti wanita dibakar terik matahari. Kudrat wanitanya dikerah sehabis daya. Pada saat gadis-gadis lain sedang menghias wajah mereka dengan bedak sejuk di rumah, namun Puteri Putih masih di medan perjuangan. Dia tidak kisah akan semua ini. Perjuangan mesti diteruskan. Maruah bangsa mesti dibela. Agama mesti dipertahankan. Penjajah durjana mesti dihapuskan. Itulah tekad Puteri Putih.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042920
    Visit Today : 784
    This Month : 25519
    Total Visit : 1042920
    Hits Today : 2414
    Total Hits : 4282009
    Who's Online : 14
  • Kategori