Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Teater Pokok merupakan sebuah teater terbaik arahan pengarah filem Malaysia tersohor, U-Wei Haji Saari bersama Produksi Balang Rimbun Sdn. Bhd telah dipentaskan pada 7 Disember hingga 16 Disember 2018 sebagai Teater Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Skrip teater Pokok merupakan hasil karya Tan Sri Johan Jaafar sebagai mantan Pengerusi Media Prima Berhad dan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pementasan teater Pokok menyatukan Johan Jaafar dan U-Wei sebagai dua nama besar dalam dunia teater, drama dan filem Malaysia di pentas teater ikonik DBP.

Teater Pokok merupakan sebuah teater arahan U-Wei sebagai pengarah filem Jogho (1998) dan Hanyut (2014) yang menampilkan barisan pelakon hebat dalam dunia drama, teater dan filem Malaysia seperti Ebby Saiful, Haliza Misbun, Rahim Jailani bersama pelakon dan penggiat seni teater terkenal Indonesia, iaitu Buyung Zasdar. Pementasan teater Pokok telah ditaja oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Jemputan Media Berbahasa Inggeris ke Tayangan Perdana Teater Pokok.

Majlis Pelancaran Teater Perdana Pokok dalam Pementasan Teater Perdana DBP Ke-70 telah diadakan pada 8 November 2018 di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, Kuala Lumpur. Tetamu kehormat yang hadir dalam Majlis Pelancaran Teater Perdana Pokok ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dato’ Hajah Padilah Haji Ali, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, wakil dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan wakil dari Perodua.

Pementasan teater Pokok merupakan adaptasi karya drama bertajuk “Pokok” yang disiarkan dalam Dewan Sastera Bil. 9 2017. Selain itu, pementasan teater Pokok merupakan sumber ilham Johan Jaafar sebagai penulis skrip drama “Pokok” dan penulis skrip teater Pokok berdasarkan pengalaman dan latar belakang kehidupan Johan Jaafar yang membesar di Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor bertemankan pokok, sawah padi, kebun getah, lalang, semak, tumbuh-tumbuhan, mandi di sungai, bermain di pohon getah, mengail ikan dan menangkap burung wak-wak. Sumber ilham Johan Jaafar dalam menulis skrip teater Pokok adalah berdasarkan pengalaman beliau ketika kecil di kampung bermain di lorong sempit yang dinamakan sebagai “Laluba Street.” Tegasnya, lorong sempit “Laluba Street” tersebut berdekatan dengan sebuah pokok yang besar dan tinggi.

Kehidupan Daif Darwis dan Mardiah yang tinggal di pondok buruk berhampiran pokok besar.

Simbolisme “pokok” dalam teater Pokok (2018) dan drama “Pokok” (2017) merupakan proses kreatif luar biasa Johan Jaafar yang jarang menulis drama realisme, selain jarang mementaskan teater realisme kerana Johan Jaafar merupakan dramatis aliran absurd di Malaysia bersama-sama Sasterawan Negara Malaysia Ketujuh, Datuk Noordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan, Anuar Nor Arai dan Zakaria Ariffin. Menurut Johan Jaafar, era kegemilangan teater realisme di Malaysia telah dipelopori oleh Sasterawan Negara Malaysia Ketiga Dato’ (Dr). Usman Awang, Kala Dewata, Kalam Hamidi dan Bidin Subari. Pengalaman menulis skrip drama “Pokok” yang disiarkan dalam Dewan Sastera Bil. 09, 2017 disusuli dengan pementasan teater Pokok di Pentas Teater Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka Ke-70 merupakan satu pengalaman menarik dalam proses kreatif Johan Jaafar. Tegasnya, U-Wei berminat untuk mengarahkan teater Pokok menerusi sesi minum kopi bersama U-Wei (penulis skrip teater Pokok), Syahid (penerbit teater Pokok), Sabri Yunus dan Aris Othman (Johan Jaafar, 2019: 49).

Lakonan hebat Haliza Misbun dalam teater Pokok menaikkan kembali nama Haliza Misbun dalam dunia teater Malaysia.

Pada dasarnya, teater Pokok mengisahkan kehidupan empat watak utama, iaitu Darwis, Mardiah, Tuk Kaya dan Amud. Mardiah merupakan seorang wanita cantik yang sedang sarat mengandung sebenarnya merupakan seorang bekas banduan dan bekas penagih dadah yang terlibat dalam satu kes pembunuhan. Selain itu, Mardiah telah berkahwin dengan Darwis, lelaki yang kudung kedua belah kakinya kerana kemalangan ketika bekerja sebagai buruh pelabuhan di Singapura. Namun demikian, Darwis telah diselamatkan oleh Amud semasa menjadi gelandangan di Singapura menyebabkan Darwis terhutang budi kepada Amud, selain menganggap Amud sebagai abang sendiri.

Amud membawa Darwis menemui Tok Kaya. Kemudian Darwis bekerja di kebun Tok Kaya dan di rumah pondok kebun Tok Kaya. Amud bekerja sebagai pembantu dan pengiring Tok Kaya, selain pernah terlibat dalam persembahan bangsawan dan filem Melayu era kegemilangan filem Melayu Jalan Ampas di Singapura. Tegasnya, Amud pernah bekerja sebagai kelasi kapal sebelum menjadi pengikut tokoh politik selepas gagal dalam perkahwinan.

Lakonan hebat Buyung Zasdar bersama Haliza Misbun dalam teater Pokok tetap diingati dan menyerlahkan bakat Buyung Zasdar.

Babak pertama dalam teater Pokok memaparkan kehidupan pasangan suami isteri, iaitu Darwis (Ebby Saiful) dan Mardiah (Haliza Misbun) yang tinggal di dalam sebuah rumah pondok pisang bersebelahan tandas. Keadaan fizikal Darwis yang bertongkat dengan kedua-dua belah kaki kudung duduk di pangkin sambil menghisap rokok daun bersama dengan isterinya, Mardiah yang sarat mengandung keluar dari pondok kecil merupakan simbolisme kehidupan pasangan suami isteri yang menyerah kepada nasib untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Hal ini demikian jelas terbukti berdasarkan kehidupan Darwis bersama isterinya, Mardiah yang tinggal di dalam rumah pondok kecil hutan yang sekadar diterangi tiga biji mentol, bekalan air yang terpaksa diangkut dari tempat lain, selain makanan dan minuman yang tidak berzat dan nasib anak yang bakal dilahirkan kelak.

Lakonan hebat Ebby Saiful dan Haliza Misbun dalam teater Pokok arahan U-Wei Haji Saari telah mengangkat kehebatan teater Pokok.

Mardiah menyifatkan bahawa kejujuran Darwis sebagai jurang kemiskinan kerana bapa Mardiah seorang yang jujur biarpun hidup dalam kemiskinan hingga menyebabkan anak-anaknya merempat menjadi penagih dadah dan penjenayah. Ironinya, Darwis turut menegaskan bahawa nasib Mardiah dan adik beradiknya ialah nasib mereka sendiri dan bukan nasib yang ditakdirkan oleh kerana kejujuran bapanya. Kedua-duanya saling bertelagah pandangan sehingga Mardiah marah dan menghina Darwis yang cacat dan papa. Darwis tetap tenang dan mereka kembali bergurau senda semula. Tegasnya, Darwis dan Mardiah tetap meneruskan kehidupan walaupun hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan.

Babak ketiga memaparkan kemunculan Tok Kaya di hadapan pondok dengan lagak lelaki tua kaya berpakaian ranggi untuk menggoda Mardiah yang sedang menyapu sampah di halaman rumah berhampiran pokok. Mardiah menolak dengan tegas, selain memberitahu Tok Kaya bahawa dia ingin berpindah kerana tidak tahan diganggu oleh Tok Kaya. Ringkasnya, Mardiah telah berjaya meninggalkan dunia gelap, selain berubah menjadi wanita yang baik walaupun hidup dalam kemiskinan.

Para pelakon dan pengarah teater Pokok menerima cenderahati dari pihak DBP.

Babak akhir menyaksikan suasana cemas ketika Darwis membawa Mardiah yang sarat untuk melahirkan anak pertama mereka. Mardiah meminta Darwis untuk mengeluarkan mereka dari kawasan Tok Kaya. Dalam suasana gelap, terdengar tangisan dari dalam pondok menandakan Mardiah telah meninggal dunia ketika melahirkan anak pertamanya di dalam pondok. Lebih malang lagi, anak Mardiah turut meninggal dunia ketika dilahirkan. Kematian Mardiah menyebabkan Darwis mengamuk dan menebang pokok yang tidak memberi erti kehidupan yang baik buat Darwis. Jika dahulu, pokok besar tersebut dianggap sebagai pelindung isterinya, Mardiah dan anak Darwis yang bakal dilahirkan. Hakikatnya, pokok tersebut tidak melindungi Darwis dan tidak diperlukan lagi oleh Darwis kerana pokok tersebut telah menyeksa kehidupan Darwis dan Mardiah. Tegasnya, kematian Mardiah dan anaknya mengakhiri penderitaan manusia yang jujur seperti Darwis.

Pemilihan prop dan kostum dalam teater Pokok telah menghidupkan lakonan para pelakon di setiap ruang pentas menerusi perubahan kedudukan set minimalis pentas. Pemilihan prop yang sederhana diserlahkan dengan sebatang pokok besar, selain sebuah pondok buruk yang disifatkan sebagai rumah kecil dan tandas. Selain itu, pemilihan kostum bagi watak Darwis dan Mardiah menghidupkan watak pasangan suami isteri miskin yang tinggal di pondok buruk dan tandas dengan sebuah pokok besar di luar pondok buruk. Malah, pemilihan kostum bagi watak Amud dan Tok Kaya menghidupkan watak lelaki kaya yang berkuasa dan menekan kehidupan orang miskin seperti Darwis dan Mardiah. Tegasnya, lagak Tok Kaya yang kaya dan berkuasa sebenarnya tidak mampu membeli cinta dan kebahagiaan dari Mardiah untuk memenuhi keegoan dan keserakahan nafsu Tok Kaya.

Penyatuan U-Wei dan Johan Jaafar telah mengangkat kehebatan teater Pokok dari segi cerita, skrip, plot, pelakon, lakonan, prop, rekaan set, teknikal, pencahayaan pentas dan nilai komersial. Selain itu, pemilihan perkataan “Pokok” dan simbolisme “Pokok” sebagai tajuk teater Pokok melambangkan sebatang pokok raksasa yang tumbuh berhampiran rumah Darwis dan Mardiah. Dalam teater Pokok, simbolisme pokok raksasa berhampiran dengan rumah Darwis dan Mardiah disifatkan sebagai “pelindung” dan “pengancam” kehidupan Darwis dan Mardiah. Simbolisme pokok raksaksa tersebut bukan sahaja melindungi, malah turut mengancam keselamatan Darwis dan Mardiah kerana besar kemungkinan pokok besar tersebut akan menghempap rumah mereka (Abdul Wahab Hamzah, 2019: 37)

Simbolisme pokok sebagai pelindung dalam kehidupan Darwis dan Mardiah turut dikaitkan dengan usaha Tok Kaya yang memberi peluang pekerjaan kepada Darwis, selain membenarkan Darwis dan Mardiah tinggal di tanah miliknya. Ironinya, simbolisme pokok besar tersebut dikaitkan dengan peranan Tok Kaya sebagai pengancam kepada kehidupan Darwis dan Mardiah kerana sering menggoda Mardiah sebagai bekas penagih dadah yang bergelumang dengan dosa dan jenayah. Tegasnya, Mardiah menyifatkan simbolisme pokok tersebut sebagai pelindung dalam kehidupannya bersama suaminya Darwis.

Simbolisme pokok dalam teater Pokok menurut Johan Jaafar merupakan cerminan masyarakat dengan segala keanekaragaman perwatakannya. Selain itu, cerminan masyarakat dalam teater Pokok telah berjaya merungkai persoalan untuk melihat sejauh manakah tahap kesabaran Darwis menempuh penderitaan dalam kehidupannya? Adakah Mardiah akan mempertahankan “kebaikannya” dan menutup bayangan kehidupan lampaunya? Adakah Tok Kaya mengerti bahawa wang dan kekayaan tidak boleh membeli kebahagian, wanita, percintaan dan segala impian dalam kehidupan? Persoalan dalam teater Pokok akhirnya terjawab setelah kematian Mardiah ketika melahirkan anak pertamanya yang turut meninggal dunia di rumah kecil berhampiran pokok tersebut.

Simbolisme pokok tersebut tidak memberi erti kehidupan yang baik buat Darwis selepas kematian Mardiah dan anak pertamanya di dalam pondok berhampiran pokok tersebut menyebabkan Darwis menebang pokok tersebut. Hakikatnya, Darwis tidak memerlukan pokok tersebut, selain merasakan kehidupannya telah berakhir. Tegasnya, simbolisme pokok dalam kehidupan Darwis telah mendera perasaan Darwis yang ingin bersama Mardiah jelas menunjukkan bahawa fitrah setiap manusia akhirnya akan kembali kepada Allah SWT.

Keunggulan U-Wei sebagai pengarah teater Pokok terhasil daripada pelawaan Johan Jaafar agar U-Wei mengarahkan teater Pokok yang kaya dengan pemikiran bernilai. Hal ini demikian jelas membuktikan bahawa teater Pokok telah dihasilkan oleh dua permata seni Malaysia dalam dunia teater, drama, filem dan cerpen yang memiliki nilai komersial tinggi. Malah, penyatuan U-Wei bersama Johan Jaafar dalam pementasan teater Pokok berjaya menghasilkan karya teater sensasi yang ditaja oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Aktor Ebby Saiful berjaya melakonkan watak Darwis dengan baik menerusi bahasa tubuh, dialog, komunikasi dan penghayatan lakonan yang baik. Ebby Saiful turut melihat kelainan yang dimiliki oleh U-Wei yang tiada pada pengarah lain.  Kebaikan dan kejujuran yang dimiliki oleh Darwis yang hidup dalam kemiskinan tetap kalah kepada kemewahan dan darjat. Namun begitu, Darwis meneruskan kehidupannya bersama Mardiah berlandaskan kebenaran dan kejujuran. Tegasnya, kehebatan watak Darwis sebagai protagonis dalam teater Pokok menghidupkan nilai diri, kebaikan, kejujuran dan prinsip kehidupan seorang manusia yang sederhana.

Haliza Misbun antara satu nama besar dalam dunia lakonan di Malaysia, selain popular sebagai dramatis terbaik Malaysia era 90-an telah diberi kepercayaan oleh U-Wei untuk memegang watak Mardiah dalam teater Pokok. Hakikatnya, berikan peranan protagonis, antagonis dan watak pembantu kepada Haliza Misbun, semuanya tetap hebat apabila dilakonkan oleh Haliza Misbun. Begitulah juga dengan lakonan hebat Haliza Misbun sebagai Mardiah dalam teater Pokok selama 26 tahun penglibatan Haliza Misbun dalam dunia seni. Menurut Haliza Misbun, kejayaan melakonkan watak Mardiah dalam teater Pokok merupakan perjalanan menuntut ilmu. Tegasnya, Haliza Misbun telah berjaya menghidupkan watak Mardiah yang lantang bersuara dalam menggunakan laras bahasa teater yang santai, selain bermain dengan emosi ketika melakonkan watak Mardiah.

Kemunculan Rahim Jailani, dramatis dan aktor terkenal Malaysia era 1990-an hingga kini turut diberi kepercayaan oleh U-Wei sebagai pengarah teater Pokok untuk memegang watak sebagai Tok Kaya. Malah, Rahim Jailani berbangga dapat beraksi dalam teater Pokok, selain bekerja dengan pengarah yang hebat seperti U-Wei. Kemunculan Rahim Jailani dalam teater Pokok sebagai antagonis yang bernama Tok Kaya merupakan watak orang kaya yang berkuasa dan memiliki keserakahan nafsu tinggi dalam karya drama Johan Jaafar sebelum ini. Pelbagai impian Tok Kaya sudah tercapai, kecuali impian untuk memiliki wanita secantik Mardiah. Cinta Tok Kaya terhadap Mardiah membuatkan Tok Kaya cemburu terhadap Darwis yang berjaya menjadi suami Mardiah. Kemunculan watak Tok Kaya sememangnya mencabar emosi Rahim Jailani kerana watak Tok Kaya bukanlah watak orang kaya yang stereotaip dan bersifat tipikal.

Kemunculan Buyung Zasdar sebagai watak Amud dalam teater Pokok merupakan pelakon terkenal Indonesia dan penggiat seni teater di Taman Marzuki Ismail, Jakarta dari era 1970-an bersama kumpulan teater di bawah pimpinan Ariffin C. Noer.  Dalam teater Pokok, Buyung Zasdar melakonkan watak Amud dengan baik kerana sudah mengenal lenggok bahasa dan gaya penceritaan dalam drama dan teater, karya Johan Jaafar. Tegasnya, lakonan hebat Buyung Zasdar dalam teater Pokok seiring dengan kelemahan Buyung Zasdar yang terlupa dialog akan terus diingati oleh para penonton yang menonton pementasan teater Pokok.

Simbolisme dalam teater Pokok memaparkan cerminan masyarakat menerusi simbol kekuatan dan kekuasaan masyarakat yang hidup dalam kemewahan seperti Tok Kaya dan Amud yang menekan masyarakat yang hidup dalam kemiskinan seperti Darwis dan Mardiah. Selain itu, cerminan masyarakat telah dihayati oleh para penonton setelah menonton pementasan teater Pokok sebagai karya teater realisme terbaik menjelang tahun 2019 dan menutup tirai dunia teater Malaysia 2018. Malah, simbolisme dalam teater Pokok melambangkan sebuah karya teater terbaik melambangkan ketinggian pemikiran seiring dengan falsafah U-Wei sebagai pengarah teater Pokok sebagai satu penghormatan buat pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh arwah isteri U-Wei. Pesanan Arwah isteri U-Wei telah mendorong U-Wei mengarahkan teater Pokok. Tegasnya, simbolisme dalam teater Pokok telah menghidupkan kembali era kegemilangan teater realisme Malaysia selepas era kegemilangan teater Malaysia 1970-an dan 1980-an.

BIBLIOGRAFI

Wahab Hamzah, 2019. “Pokok Teguh dan Hebat” dlm Dewan Budaya, Bil. 02, 2019.

Farihad Shalla Mahmud, 2018. “Pokok Kolaborasi Mantap U-Wei dan Johan Jaaffar”. Berita Harian, 12 November 2018.

Johan Jaafar, 2019. Cerita Di Sebalik Drama Pokok” dlm Dewan Sastera, Bil. 02, 2019.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syafiqah Abdul Khalid, 2019. “Teater Akar kepada Seni Lakon” dlm Dewan Budaya, Bil. 02, 2019.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014964
    Visit Today : 993
    This Month : 34309
    Total Visit : 1014964
    Hits Today : 5422
    Total Hits : 4142224
    Who's Online : 12
  • Kategori