OLEH SITI NORSUHAILA SAMSUDIN

Sasterawan Negeri Sembilan 2015, Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin ketika membimbing peserta dalam penulisan puisi yang baik.

BENGKEL Penghayatan dan Penulisan Puisi yang dibimbing dan dikendalikan oleh Sasterawan Negeri Sembilan 2015, Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin di Bilik PUSPANITA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya, telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Oktober 2019. Bengkel anjuran PUSPANITA KPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini telah disertai oleh 30 orang ahli PUSPANITA dan warga KPM. Para peserta yang hadir dibugarkan dengan maklumat yang terkini tentang kesusasteraan Melayu, khususnya dalam penghasilan puisi yang baik dan berkesan.

Penulisan puisi yang baik harus bermula daripada tujuan seseorang itu menulis. – Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin,

Menurut Munsyi Dewan (bahasa) yang juga pensyarah cemerlang Maktab Perguruan Raja Melewar ini, penulisan puisi yang baik harus bermula daripada tujuan seseorang itu menulis. Adakah tujuan itu disebabkan untuk berkongsi ilmu, maklumat atau fakta, atau menjana idea, fikiran kritis, kreatif dan bermanfaat, atau untuk meningkatkan ketakwaan dan keperibadian yang mulia? Mungkin juga ada yang bertujuan untuk menyampaikan hal-hal yang benar dan wajar, atau menambahkan ketrampilan dan menyemarakkan perkembangan fikiran, atau mungkin juga disebabkan untuk mendokumentasikan kebaikan untuk diwarisi generasi? Atau tujuan penulisan tersebut sekadar hobi dan hiburan buat diri? Semuanya bergantung kepada pengkarya tersebut dengan berlandaskan ilmu dan kemahiran bahasa yang tinggi, menjadi pemerhati yang peka terhadap alam dan segala sesuatu di sekelilng mereka dan disampaikan dalam bentuk jalinan butiran kata yang indah, berfungsi, mantap dan bertenaga.

Puan Hajah Mahaya Mohd. Yassin, Sasterawan Negeri Sembilan 2015.

Menurut adiguru yang berusia 71 tahun dan mempunyai sembilan orang cucu tersebut, penulisan harus bermula dari zaman kanak-kanak. Anak-anak harus diasuh dan dilatih untuk menguasai pelbagai kata yang indah, simbolik, bernilai murni dan bermakna, serta didedahkan kepada keistimewaan sesuatu kata melalui pemerhatian, pembacaan, pendengaran, pengalaman, penyelidikan dan rujukan seperti kamus, tesaurus, istilah dan sebagainya. Daripada ilmu, pengalaman, nilai murni, ketrampilan dan kemahiran bahasa tersebut akan terhasillah kandungan sesebuah puisi, iaitu karangan berangkap yang kaya dengan keindahan bahasanya.

Menurut Mahaya, penulis harus menyelitkan unsur amanat dan menunjukkan sikap yang positif dalam setiap karya yang dihasilkan.

Penghasilan puisi sama ada puisi lama seperti syair, gurindam, pantun, seloka, pepatah, peribahasa, nazam, rubai dan sebagainya, dan puisi baharu seperti sajak, akan dapat mendidik, menasihat, menghibur malah menyindir sesuatu yang tidak benar atau tidak betul caranya. Tema-tema dan persoalan diri atau masyarakat, tentang alam, cinta, ketuhanan atau keagamaan, nasionalisme dan kenegaraan, dan sebagainya menjadi persoalan pokok dalam kandungan sesebuah puisi dan mampu dihasilkan oleh sesiapa sahaja, dengan syarat menggunakan bahasa yang betul, indah dan tersusun. Penulis juga harus menyelitkan amanat dan menunjukkan sikap yang positif dengan menggunakan diksi, perlambangan, imejan, metafora, personafikasi, sinkof, simile, hiperbola, repitasi, inversi dan sebagainya yang difikirkan sesuai dalam karya tersebut.

Salah seorang peserta mendeklamasikan puisi yang dicipta sendiri, hasil bimbingan Puan Mahaya.

Peserta lelaki yang turut serta dalam bengkel ini.

Peserta bengkel juga bertuah apabila penceramah turut berkongsi nilai pemarkahan dalam pertandingan deklamasi puisi yang dibahagikan kepada dua, iaitu aspek suara dan gaya atau teknik serta subpecahannya, dalam penjurian pendeklamasian. Peserta juga diperkenalkan dengan teknik melodi sajak tanpa alat muzik (mestamu) yang sesuai digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak dan memberikan hiburan kepada khalayak dalam menyampaikan sesebuah puisi. Akhir sekali, setiap peserta berjaya menghasilkan sebuah puisi dan mendeklamasikannya dalam sesi apreasi deklamasi puisi. Puisi tersebut kemudiannya dinilai dan diberikan saranan oleh pembimbing bengkel untuk penambahbaikan mutunya.

Sesi penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang disampaikan oleh Puan Farah Hanini Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi PUSPANITA Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bengkel yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu disusuli dengan ucapan penutup oleh Puan Farah Hanini Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi PUSPANITA KPM. Dalam ucapan ringkas Pensyarah Kanan UiTM, Shah Alam ini berharap jalinan kerjasama antara ahli-ahli PUSPANITA KPM akan diteruskan dalam aktiviti-aktiviti seterusnya, khususnya dalam meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam kalangan ahli PUSPANITA demi kecemerlangan dan kegemilangan negara dan pentadbirannya. Seterusnya sebagai acara penutup, Puan Farah Hanini menyampaikan sijil kepada para peserta dan cenderahati kepada penceramah undangan.

Para peserta bergambar kenangan bersama-sama pembimbing dan tetamu kehormat.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036329
    Visit Today : 1107
    This Month : 18928
    Total Visit : 1036329
    Hits Today : 4149
    Total Hits : 4250239
    Who's Online : 4
  • Kategori