Judul: Merokok Membakar Diri, Wang dan Keluarga

Penulis: Nor Anita Megat Mohd Nordin dan Che Mazlan Saad

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM10

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

MASYARAKAT umum mengetahui akan masalah-masalah yang boleh timbul berkaitan dengan tabiat merokok. Kandungan bahan kimia pada asap rokok bukan sahaja memberikan mudarat kepada perokok bahkan kepada orang di sekelilingnya. Buku ini merupakan hasil kajian Nor Anita Megat Mohd Nordin dan Che Mazlan Saad tentang golongan perokok. Kedua-dua penulis telah menjalankan sesi kaunseling terhadap golongan ini dengan menggunakan beberapa teknik berhenti merokok yang berkesan dan mudah diikuti oleh golongan perokok tegar dan perokok baharu. Di bahagian lampiran, terdapat satu set soalan yang boleh dijawab oleh pembaca untuk mengetahui tahap ketegaran tabiat merokok mereka.

Buku ini dibahagikan kepada empat bab utama. Bab pertama memperkenalkan pembaca terhadap rokok, iaitu sejenis dadah dan sejarahnya di Malaysia. Pelbagai penyakit mula terserlah pada tahun 1960-an disebabkan oleh rokok. Oleh itu, usaha-usaha telah digiatkan untuk mencegah manusia supaya berhenti merokok. Penulis memberikan contoh hukuman bunuh telah dijatuhkan pada penghisap tembakau (rokok) di Jerman dan Istanbul pada abad ke-17. Hukuman menghiris lubang hidung dilaksanakan di Rusia manakala penanaman tembakau dianggap sebagai kesalahan jenayah di Jepun.

Penulis turut menyatakan statistik golongan perokok di Malaysia yang sangat tinggi sejak tahun 1960-an dengan golongan lelaki dewasa mendominasi jumlah perokok di negara ini. Peratusan golongan perokok dalam kalangan wanita juga menunjukkan peningkatan. Hal ini sangat merunsingkan kerana wanita menghidapi penyakit-penyakit berkaitan merokok lebih awal berbanding dengan lelaki. Lebih berbahaya lagi, perokok wanita yang mengandung akan memberikan kesan sampingan yang tidak diingini pada kandungannya. Kemungkinan melahirkan bayi yang cacat juga tinggi. Penulis menekankan bahawa usaha mengatasi tabiat merokok dalam kalangan wanita adalah lebih mencabar berbanding dengan lelaki kerana wanita merokok untuk mengatasi tekanan emosi.

Bab seterusnya, penulis menghuraikan kandungan asap rokok dengan lebih mendalam dan kesannya pada tubuh manusia. Penulis menyatakan rokok boleh diibaratkan seperti kilang kimia yang mampu mengeluarkan lebih daripada 2000 bahan kimia seperti nikotin, tar, karbon monoksida, butana, ammonia, sianida dan fenol. Nikotin bertindak sebagai ‘pusat kepuasan’ di otak tetapi kemudiannya disusuli dengan kemurungan. Nikotin juga meningkatkan ketajaman mental. Disebabkan itu, perokok perlu merokok secara konsisten untuk mendapatkan kesan-kesan tersebut. Corak ketagihan nikotin boleh disamakan dengan penggunaan dadah berat yang lain.

Kesan merokok pada tubuh perokok dapat dilihat dengan peningkatan keperluan oksigen ke jantung berbanding dengan individu yang tidak merokok. Oleh sebab itu, dalam sesuatu keadaan apabila perokok mengalami stres yang keterlaluan, keperluan oksigen yang tinggi mungkin tidak dapat dibekalkan ke jantung, lantas menyebabkan kegagalan fungsi jantung. Nikotin yang berlebihan boleh menyebabkan perokok lebih mudah mengalami gejala seperti loya dan muntah, cirit-birit, peluh, rasa sejuk, sakit kepala, gangguan pendengaran dan penglihatan, ketidakstabilan mental dan tubuh berasa lesu. Selain itu, kandungan tar dalam putung rokok boleh menyebabkan pelbagai penyakit kanser dan penyakit pernafasan. Kesan karbon monoksida pula menjejaskan keupayaan darah untuk membekalkan oksigen kepada tisu-tisu di dalam badan.

Bab ketiga mengupas tentang faktor-faktor yang membentuk penagihan rokok. Ketagihan pada rokok terjadi dengan lebih cepat berbanding dengan ketagihan pada arak atau dadah jenis lain. Penulis juga melihat bahawa remaja yang sudah mula merokok sebanyak dua batang sehari mempunyai kebarangkalian 70 peratus untuk menjadi penagih rokok seumur hidupnya. Individu yang mula merokok pada usia muda dilihat lebih mudah menjadi perokok tegar berbanding dengan individu yang mula merokok pada umur yang lebih lewat. Penulis menghuraikan tiga faktor penyebab tabiat merokok, iaitu faktor personaliti, persekitaran agen, iaitu sifat farmakologi rokok.

Bab terakhir membincangkan tentang cara-cara untuk berhenti merokok melalui peranan rakan sebaya dalam menyedarkan rakannya akan bahaya merokok dan program kaunseling dalam membantu perokok mengurangkan jumlah rokok yang dihisap seterusnya dapat berhenti merokok. Terdapat beberapa teknik dan matlamat dalam program berhenti merokok ini. Namun begitu, usaha untuk berhenti merokok perlulah bermula daripada perokok itu sendiri.

Penulis menghuraikan teknik-teknik berkesan seperti teknik janji motivasi diri, teknik pengawasan diri, teknik pelenyapan nikotin, teknik pengawalan rangsangan, rancangan lima hari untuk berhenti merokok dan program terapi tingkah laku. Antara teknik yang menarik perhatian ialah teknik pelenyapan nikotin dengan menggunakan gam nikotin dan koyok nikotin. Melalui teknik ini, perokok dapat mengurangkan pengambilan nikotin secara berperingkat. Secara prinsipnya, nikotin dalam koyok meresap ke dalam kulit dan terus masuk ke dalam sistem peredaran darah. Melalui cara ini, perokok mendapat nikotin tanpa perlu merokok atau mengunyahnya dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan nikotin secara berperingkat. Sekiranya perokok dapat mengelak daripada merokok semasa peringkat ini, besar kemungkinan individu tersebut sudah berjaya meninggalkan tabiat merokok. Penulis juga menerangkan rancangan berhenti merokok mengikut jangka masa yang diingini, iaitu dalam masa lima hari dan dalam masa sebulan.

Secara keseluruhannya, buku ini membincangkan topik merokok dengan begitu terperinci. Fakta-fakta mengenai rokok dan teknik-teknik untuk berhenti merokok disampaikan dengan harapan masyarakat dapat mengetahui akan bahayanya rokok kepada diri sendiri dan orang terdekat seperti keluarga. Penulis menyelitkan banyak gambar supaya mesej yang ingin diutarakan mudah difahami oleh pembaca. Gambar peparu perokok lelaki dan wanita dengan kandungan asap rokok menyelaputi organ itu menjadi bukti akan bahayanya merokok.

Buku ini sesuai untuk pembacaan umum sebagai kesedaran dan didikan akan bahaya tabiat ini. Penulis dalam prakatanya berharap agar buku ini dapat mematahkan keinginan individu yang mahu mencuba rokok dan bagi yang ingin berhenti merokok, buku kecil ini diharapkan dapat menguatkan semangat mereka dalam mengatasi masalah merokok dan tidak terlalu lewat untuk meninggalkan tabiat buruk ini yang dianggap sebagai teman sejati selama ini.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.