Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

KEUNGGULAN karya agung Hikayat Anggun Cik Tunggal dalam genre prosa Melayu tradisional dan tradisi lisan Nusantara ialah satu daripada sejumlah cerita penglipur lara yang dihasilkan menerusi inisiatif R.O Winstedt dan R.J Sturrock. Selain itu, keunggulan Hikayat Anggun Cik Tunggal (1914) antara sebahagian karya agung kesusasteraan rakyat Nusantara yang berjaya melalui proses pendokumentasian dalam bentuk tulisan oleh para orientalis dan sarjana sastera lisan Nusantara yang mengkaji tradisi lisan Nusantara (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 5). Malah, Hikayat Anggun Cik Tunggal (1914) yang diusahakan oleh R.O Winstedt dan R.J Sturrock merupakan hasil pertuturan Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan atau Zakaria Hitam dari Perak yang terlibat dalam pendokumentasian cerita Daun Nilam dengan Kapak Mas (1972), Awang Sakti dengan Kanak-kanak (1972) dan Awang Pantas Negeri (1972). Tegasnya, keunggulan karya agung Hikayat Anggun Cik Tunggal yang mempersembahkan keindahan talibun dan bahasa berirama, turut memaparkan sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Sumatera Barat, Kepulauan Sumatera, Indonesia.

Penyusunan semula Hikayat Anggun Cik Tunggal dalam bahasa Melayu standard memudahkan para pengkaji, pembaca dan pelajar mengetahui sejarah dan sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau. Selain itu, sejarah latar tempat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Tanah Minangkabau yang digelar sebagai Ranah Minangkabau bermula dari Kampung Dalam, Negeri Tiku Pariaman, Sumatera Barat sebagai negeri asal karya agung Hikayat Anggun Cik Tunggal.  Malah, Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan sebuah karya agung sastera lisan Nusantara yang menyajikan bahagian-bahagian bersajak dalam sebuah cerita penglipur lara yang disebut sebagai nama kaba. Isi kabakaba itu disusun dalam kalimat-kalimat yang pendek yang digelar sebagai talibun oleh Harun Mat Piah (1989) dan Ismail Hamid (1987) sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu peristiwa yang menyajikan cerita kaba dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau yang digelar sebagai Kaba Anggun Na Tongga. Tegasnya, teknik puisi berangkap, iaitu talibun dalam Kaba Anggun Na Tongga dan Hikayat Anggun Cik Tunggal memaparkan konsep pengulangan bahasa dan keindahan bahasa berirama dalam seluruh talibun yang dinamakan sebagai runs oleh R. J. Wilkinson (Azhar Md. Sabil, et al., 2016: 46).

Pada dasarnya, konsep sosiobudaya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah hubungan masyarakat dengan budaya seperti adat istiadat, cara hidup dan lain-lain. Selain itu, konsep sosiobudaya berasal daripada kata “sosio” yang memaparkan perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan organisasi masyarakat. Malah, kata sosio dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah awalan asing yang berkaitan dengan faktor sosial, iaitu kemasyarakatan. Malah, konsep budaya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ialah tamadun, peradaban, kemajuan fikiran, akal budi, cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Konsep sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal melambangkan hubungan masyarakat dengan budaya yang bermula menerusi susun lapis masyarakat Melayu tradisional dan adat istiadat.

Sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dilihat dari segi konsep masyarakat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan mengikut peraturan kehidupan. Masyarakat Melayu tradisional dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan kumpulan masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia.

Susun lapis masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Kampung Dalam, Negeri Tiku Pariaman, Pariaman Sumatera Barat merupakan kumpulan rakyat yang tinggal di Negeri Tiku Pariaman di bawah pemerintahan Raja Anggun Cik Tunggal. Selain itu, susun lapis masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal yang mengikut kedudukan piramid bermula daripada kedudukan raja, pembesar, rakyat dan hamba melambangkan kedudukan, taraf dan peranan individu dalam masyarakat. Jelaslah bahawa sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Kampung Dalam, Negeri Tiku Pariaman, Sumatera Barat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan sebuah masyarakat feudal.

Struktur masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau terbahagi kepada golongan pemerintah seperti Raja Anggun Cik Tunggal dan golongan yang diperintah seperti rakyat jelata dan Bujang Selamat sebagai pembantu Raja Anggun Cik Tunggal. Pembahagian golongan pemerintah dan golongan diperintah dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dilihat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Oleh hal yang demikian, menurut Ong Loo Chen dalam Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara: Penggal 3 (2015: 27), hubungan antara golongan pemerintah dengan golongan yang diperintah melibatkan raja dan pembesar berdasarkan konsep hubungan timbal balik dan saling melengkapi. Selain itu, pemerintah menunjukkan kepemimpinan terbaik dan mengukuhkan aspek keselamatan terhadap golongan pemerintah dan rakyat jelata. Sebagai balasan, rakyat menyerahkan taat setia dan tenaga mereka kepada pemerintah. Dalam sistem feudal, kedudukan politik tidak boleh dipersoalkan, malah rakyat juga menerima sesuatu arahan raja tanpa soal dan bantahan. Rakyat memberi taat setia kepada raja dan tidak mempunyai dorongan untuk bekerja keras dalam bidang ekonomi kecuali bekerja keras untuk memajukan ekonomi demi kepentingan raja. Malah, tindakan rakyat selaras dengan nilai masyarakat Melayu tradisional yang merestui dan mengkehendaki orang Melayu supaya taat dan setia kepada pemerintah. Tegasnya, individu yang taat dan setia kepada raja dianggap tidak mementingkan diri (Ong Loo Chen, 2015: 27).

Pada dasarnya, adat istiadat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu Minangkabau tradisional dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal telah dipaparkan   menerusi hubungan antara masyarakat dengan budaya. Oleh hal yang demikian, konsep “adat” dalam adat istiadat berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Oleh itu, apabila perkataan adat dijadikan istilah dalam bahasa Melayu, maka perkataan adat boleh disamakan dengan kebudayaan. Selain itu, menurut Ruslan Zainuddin dalam Sejarah Malaysia (2004), konsep adat dalam masyarakat Melayu bukan sahaja bermaksud adat istiadat atau upacara dan seluruh sistem hidup seperti sistem sosial, kepercayaan dan perundangan. Adat istiadat dalam masyarakat Melayu tradisional di alam Melayu ialah segala yang berkaitan dengan proses kehidupan manusia bermula apabila seseorang itu dilahirkan hingga beliau meninggal dunia. Adat istiadat terbahagi kepada adat yang diamalkan oleh golongan bangsawan dan adat yang diamalkan oleh rakyat jelata (Ruslan Zainuddin, 2004: 37). Tegasnya, konsep adat dalam hukum adat dan adat istiadat dalam Adat Perpatih bagi masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Nusantara telah mengalami perubahan kecil (Bernhard Dahm, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh,1988).

Sistem adat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal memaparkan setiap bangsa di dunia mempunyai adat tersendiri. Setiap adat pula berbeza antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Pertalian rapat setiap adat dengan masyarakat membentuk satu sistem nilai dalam setiap masyarakat telah mewujudkan satu bentuk peraturan yang bertujuan untuk mengawal perlakuan anggota masyarakat demi mengekalkan keharmonian dan menjamin kesejahteraan masyarakat. Selain itu, sistem adat bermaksud bahawa perbuatan baik akan dipuji, manakala perbuatan jahat akan menerima hukuman. Falsafah ini menjadi pegangan masyarakat sejagat, tanpa mempunyai batas tertentu. Oleh itu, falsafah sebegini boleh terdapat pada kebanyakan bangsa di dunia termasuklah bangsa Melayu dari suku Minangkabau di Sumatera Barat, Kepulauan Sumatera, Indonesia dalam rantau Asia Tenggara. Pada masa yang sama, sistem nilai adat amat berbeza mengikut masyarakat kerana sistem adat yang dianggap bernilai dan berguna bagi satu kelompok masyarakat tidak dipersetujui oleh kelompok masyarakat yang tidak mengamalkan adat tersebut. Analogi sistem nilai adat yang diungkapkan ialah “sesetengah masyarakat menganggap emas amat tinggi nilainya, namun begitu bagi sesetengah masyarakat lain, garam lebih bernilai berbanding dengan emas.” Antara contoh terbaik tentang analogi sistem nilai adat di atas dengan sistem nilai adat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal ialah penerimaan Adat Perpatih bagi masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Sumatera Barat tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu tradisional di alam Melayu yang mengamalkan Adat Temenggung berdasarkan sistem pemerintahan, bentuk, pelaksanaan, perbezaan dan keunikan Adat Perpatih.

Persoalan yang timbul aalah, apakah makna adat dan bagaimana adat bermula? Oleh hal yang demikian, jawapan kepada persoalan tentang makna dan permulaan adat telah dijawab dengan terperinci oleh Sidi Gazalba dalam buku bertajuk Masyarakat Islam: Pengantar Sosiologi dan Sosiografi (1976) yang menerangkan bahawa kewujudan adat dalam hubungan antara manusia dengan manusia telah membentuk komunikasi antara sesama manusia, selain mengembangkan pelbagai kegiatan menjadi satu kebiasaan yang membentuk nilai adat dalam sebuah masyarakat. Selain itu, untuk mencapai sesuatu keinginan, satu bentuk norma-norma tertentu dalam lingkungan lembaga adat telah disusun menjadi darah daging akan membentuk sifat yang menjadi “Pakaian Masyarakat” merupakan satu jaringan cita-cita, peraturan, pandangan dan keperibadian dalam perlakuan individu dalam sebuah kelompok masyarakat. Malah, Sidi Gazalba turut menyatakan bahawa “pewarisan menerusi pendidikan dan tatakekerabatan yang dibentuk melalui perkahwinan dan hubungan sesama ahli masyarakat merupakan asas adat yang menggariskan hak kewajipan anggota-anggota kerabat, menentukan cara pewarisan dan sebagainya”. Konsep adat merangkumi segala perlakuan masyarakat yang diamalkan sejak dilahirkan hingga hari kematiannya. Oleh hal yang demikian, adat mencakupi sejumlah tatacara, larangan, pepatah petitih dan upacara suci yang melahirkan keyakinan kolektif dan muafakat dalam suatu kelompok masyarakat (Abdullah Zakaria Ghazali et al., 2000: 62). Tegasnya, konsep adat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan peraturan yang sudah diamalkan sejak turun temurun dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau yang mengamalkan pegangan Adat Perpatih.

 Proses penciptaan adat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal berdasarkan amalan adat yang telah dilakukan sejak turun-temurun. Selain itu, proses penciptaan adat melambangkan kepercayaan di sebalik peraturan setiap adat tersebut. Oleh hal yang demikian, menurut Abdullah Sidek dalam Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia (1975), peraturan adat melambangkan ajaran dan amalan yang dilakukan oleh anggota-anggota masyarakat. Selain itu, perkembangan adat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal bermula daripada proses kelahiran manusia hingga ke hari kematian. Malah, perkembangan adat mempunyai hubungan dengan perubahan kebudayaan masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau. Peraturan adat bersumberkan konsep transisi ritual dalam pelbagai upacara tertentu yang diadakan apabila berlaku upacara penting diraja dan upacara keramaian pemerintah bersama-sama rakyat jelata. Malah, pengaruh agama Hindu sangat besar dalam amalan masyarakat berkasta telah mempengaruhi perkembangan segala adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal. Malah, pengaruh agama Hindu dalam amalan masyarakat berkasta dalam adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau melambangkan semakin tinggi darjat seseorang, semakin istimewa hak yang diperoleh, manakala semakin rendah darjat seseorang, semakin besar tanggungjawab dan bebanan yang terpaksa dipikulnya. Pengaruh agama Hindu dalam adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dipersembahkan dalam adat menyembah menjunjung duli yang dilakukan oleh Raja Anggun Cik Tunggal dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal (2016) terhadap nenda baginda seperti yang berikut:

Maka Raja Anggun Cik Tunggal pun duduklah hampir dengan nenda bagindanya itu
seraya menyembah menjunjung duli:
           Terangkat kadam jari sepuluh,
            Kuncup bagai salur bakung,
            Jari seperti susun sirih;
Maka ia pun mendatangkan sembah, “Ampun nenda beribu-ribu ampun, sembah
cunda harapkan diampun, apakah hal cunda ini sekarang:
            Besar di bawah tebu berlingkar,
            Besar di bawah pisang goyangan.
            (Hikayat Anggun Cik Tunggal, 2016: 19)

Demikianlah secara keseluruhannya, paparan adat istiadat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Negeri Tiku Pariaman, Sumatera Barat yang menjunjung pegangan Adat Perpatih. Jelaslah bahawa pegangan Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau terbentuk daripada falsafah tradisional dan akal budi masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau. Selain itu, kekuatan adat istiadat masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal berdasarkan falsafah tradisional suku Minangkabau, iaitu “Alam Takambang Jadi Guru”, iaitu sesuatu yang dipelajari berdasarkan apa-apa yang dilihat, dipandang, didengar dan diperoleh daripada alam semula jadi sebagai “Guru Terbaik” (Abdullah Zakaria Ghazali et al., 2000: 62).

 

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara: Sejarah dan Perkembangannya Hingga Abad Ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohamed Dali, Azhar Md. Aros dan Suffian Mansor, 2000. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Shah Alam.

Azhar Md. Sabil, Ruzaini Yahya dan Shamsudin Othman, 2016. Kesusasteraan Melayu Komunikatif Penggal 1, 2 & 3. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Dahm Bernhard, 1988. Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hikayat Anggun Cik Tunggal, 2016. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Ong Loo Chen, 2015. Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara: Penggal 3. Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Pawang Ana dan Raja Haji Yahya, 2016. Hikayat Anggun Cik Tunggal. Kuala Lumpur.

Sidi Gazalba, 1986. Masyarakat Islam: Pengantar Sosiologi dan Sosiografi. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Ruslan Zainuddin, 2004. Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Winstedt, R.O., 1969. Start From Alif: Count From One: An Autobiographical Memoire. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Zabidin Ismail, 2010. “Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional”, Kertas Kerja Seminar Pemikiran Pawang Ana, 25 Oktober 2010, Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ipoh anjuran Persatuan Karyawan Perak.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043334
    Visit Today : 1198
    This Month : 25933
    Total Visit : 1043334
    Hits Today : 4116
    Total Hits : 4283711
    Who's Online : 8
  • Kategori