Judul: Mengapakah Gajah Bermata Kecil?

Diceritakan semula: Wan Munirah Wan Mohamad

Ilustrator: Uda Matsaid

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM8

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

Mengapakah Gajah Bermata Kecil? diceritakan semula berdasarkan cerita rakyat yang telah menjadi sebahagian daripada hiburan masyarakat Melayu dahulu. Cerita rakyat disampaikan kepada beberapa generasi tanpa diketahui siapa penulis atau pengarangnya asalnya. Cabang sastera tradisional ini mencerminkan pemikiran masyarakat Melayu dahulu yang menekankan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Walaupun buku cerita ini mengisahkan seekor gajah yang sombong, nilai-nilai murni dan pengajarannya berkait rapat dengan kehidupan manusia juga. Penggunaan watak-watak haiwan dilambangkan terhadap sebahagian manusia yang berhati mulia atau yang berkelakuan tidak baik. Buku ini menawarkan pembacaan ringan dan menyeronokkan pada semua peringkat umur, khususnya kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun. Jalan cerita disertakan dengan ilustrasi berwarna-warni untuk memudahkan pembaca memahami dan menghayati jalan cerita.

Buku ini mengisahkan Gajah Gagah yang bersikap sombong setelah dilantik menjadi raja di hutan. Kisah bermula apabila haiwan-haiwan di hutan itu berdebat siapakah yang layak mengetuai hutan atau menjadi raja bagi segala binatang. Hutan tersebut didiami oleh pelbagai jenis binatang. Binatang-binatang tersebut bersetuju untuk mengadakan pertandingan beradu tenaga dan pemenangnya akan menjadi raja di hutan mereka. Akhirnya, Gajah Gagah berjaya mengalahkan pencabar-pencabarnya dan dinobatkan sebagai raja segala binatang.

Malangnya, perangai Gajah Gagah berubah sejak dilantik menjadi raja kerana Gajah Gagah menjadi sombong dan bongkak. Semua arahannya perlu dipatuhi kerana Gajah Gagah berasa dialah binatang yang paling kuat di hutan itu. Semua binatang berasa tidak senang dengan perangai Gajah Gagah lalu meninggalkan hutan. Tinggallah Gajah Gagah sendiri di hutan tanpa rakyatnya.

Pada suatu petang, Gajah Gagah bersiar-siar sehingga ke kawasan kampung. Dia berasa sangat gembira melihat banyak makanan di kampung itu dan terus ke kawasan tanaman tersebut. Tanpa disedarinya, Gajah Gagah terpijak tanaman penduduk kampung dan habis kesemuanya musnah. Penduduk kampung sangat marah kerana tanaman mereka telah rosak. Ketua kampung bersama-sama orang-orang kampung berpakat untuk membuat perangkap untuk menangkap Gajah Gagah.

Gajah Gagah tidak menyedari penduduk kampung sedang memerhatikannya. Dia terus makan dengan penuh selera. Apabila berasa dirinya diperhatikan, Gajah Gagah menjadi kalut dan berlari lintang-pukang ke dalam hutan sehingga terlanggar sebatang pokok. Kedua-dua matanya tercedera. Dia menjerit meminta pertolongan kerana matanya sudah tidak dapat melihat. Malangnya, tiada seekor binatang yang mahu membantunya.

Gajah Gagah berlari tidak tentu arah kerana masih terkejut dengan kecederaannya. Raja Cacing yang sedang berehat menjerit dengan kuat untuk memberi amaran supaya Gajah Gagah tidak memijaknya. Gajah Gagah mendengar jeritan itu dan berhenti di hadapan Raja Cacing. Raja Cacing bertanyakan keadaan mata Gajah Gagah. Gajah Gagah pun menceritakan kejadian dia dikejar oleh penduduk kampung kerana merosakkan tanaman mereka.

Raja Cacing berasa kasihan melihat Gajah Gagah lalu menawarkan kedua-dua matanya kepada Gajah Gagah. Gajah Gagah terkejut dengan tawaran itu. Raja Cacing menjelaskan bahawa dia adalah keturunan terakhir kaum cacing yang mempunyai mata dan lebih selesa bersama-sama rakyatnya tanpa mata. Raja Cacing membawa Gajah Gagah berjumpa dengan Tuk Dukun lalu Tuk Dukun memindahkan mata Raja Cacing kepada Gajah Gagah.

Tidak lama selepas itu, Gajah Gagah boleh melihat semula tetapi hanya mempunyai sepasang mata yang kecil. Namun begitu, Gajah Gagah amat berterima kasih dengan Raja Cacing dan berjanji akan menggunakan matanya untuk kebaikan rakyatnya. Gajah Gagah kini berubah menjadi raja segala binatang yang prihatin dengan rakyatnya. Semua binatang yang telah berpindah dari hutan dahulu, kini telah kembali semula ke hutan. Gajah Gagah dan binatang-binatang lain hidup dengan harmoni di hutan itu.

Cerita rakyat ini menonjolkan nilai-nilai murni seperti tanggungjawab seorang ketua terhadap anak-anak buahnya dan tolong-menolong antara satu sama lain. Gajah Gagah diceritakan sebagai ketua yang gagal melunaskan tanggungjawabnya dengan baik, sebaliknya menggunakan kekuasaan untuk kepentingan dirinya dan merendah-rendah binatang-binatang lain. Akibatnya, Gagah Gagah tidak disukai oleh haiwan-haiwan di hutan dan mereka tidak mengendahkan apabila Gajah Gagah memerlukan pertolongan. Mesej ini jelas menunjukkan bahawa kewibawaan seorang ketua tidak membawa sebarang makna sekiranya seseorang ketua itu berkelakuan tidak baik terhadap orang bawahannya. Pangkat hanyalah gelaran yang diberikan dan seorang ketua seharusnya menggalas tanggungjawab dengan sepenuh hati. Walaupun Gajah Gagah dikenali dengan sikap sombong, Raja Cacing sudi membantu Gajah Gagah yang sudah kehilangan kedua-dua matanya. Sikap Raja Cacing wajar dipuji kerana sanggup mengorbankan kedua-dua belah matanya kepada Gajah Gagah. Mungkin disebabkan peristiwa itu, gajah bermata kecil?

Keseluruhannya, buku ini menerapkan mesej yang baik untuk tatapan pembaca. Pengalaman, pengetahuan dan keindahan yang dipaparkan dalam buku ini berupaya membentuk keperibadian mulia dan perkembangan kanak-kanak dalam pergaulan mereka dengan masyarakat. Cerita rakyat juga perlu diterbitkan dengan lebih meluas agar masyarakat menghargai warisan dan menghayati teladan yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Pembacaan yang menghiburkan seperti yang terdapat dalam beberapa cerita rakyat dapat menyemai budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014600
    Visit Today : 629
    This Month : 33945
    Total Visit : 1014600
    Hits Today : 2482
    Total Hits : 4139284
    Who's Online : 14
  • Kategori