Oleh ZAIDI ISMAIL


DALAM dunia global yang semakin mencabar dan bersaing, orang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin tanpa mengira apa-apa bidang sekali pun. Mereka mengaitkan kepemimpinan dengan pelbagai keistimewaan. Mereka juga melihatnya sebagai landasan untuk memperoleh sesuatu kepentingan, khususnya untuk diri sendiri.

Dalam bidang politik, mereka boleh mendapat kuasa; dalam bidang ekonomi, mereka boleh mendapatkan wang; manakala dalam bidang kemasyarakatan, mereka boleh mendapat pangkat dan status. Apabila memikirkan semua hal itu, mereka bertungkus lumus mencari jalan untuk muncul sebagai pemimpin. Dalam banyak keadaan, mereka yang memimpin atas dasar kuasa, wang, dan pangkat, biasanya tidak dapat bertahan lama, walaupun pada mulanya mereka berjaya. Hal ini berpunca daripada kegagalan mereka memahami dan mematuhi prinsip, syarat, dan matlamat kepemimpinan sebenar.

Apabila melihat keadaan hari ini yang sangat gawat, yang diperlukan ialah kepemimpinan yang serba baik, iaitu kepemimpinan berkualiti menyeluruh yang mampu menghadapi cabaran globalisasi, yang menyaksikan banyak perubahan berlaku secara meluas dan pantas, serta melibatkan kepentingan manusia sejagat. Dalam kepemimpinan berkualiti menyeluruh juga, yang dipentingkan ialah peribadi pemimpin, iaitu kualiti fizikal, mental, moral, dan sosial yang memberikan kesan kepada organisasi.

Kepemimpinan yang berkualiti ialah kunci kepada keberkesanan sesebuah organisasi. Dalam hal ini, untuk mewujudkan organisasi berkualiti menyeluruh, pemimpin mestilah terlebih dahulu berkualiti menyeluruh. Oleh yang demikian, apabila membincangkan hal ini, fokusnya ialah  sifat yang ada pada diri seseorang pemimpin, iaitu keadaan jasmani dan rohaninya yang perlu dibina menjadi cemerlang.

Secara umumnya, buku Pemimpin Era Globalisasi oleh Husin @Ibrahim Mamat mengandungi lapan bab yang dipecahkan kepada lima bahagian utama.

Bahagian I memaparkan globalisasi secara umum dan khusus. Dalam bahagian ini juga dibincangkan antara lain pelbagai ciri, struktur dan implikasinya. Selain itu, beberapa ilustrasi dikemukakan untuk memudahkan pembaca memahaminya.

Bahagian II pula membahaskan secara mendalam soal kepemimpinan, seperti pengertian, kepentingan, jenis, dan gaya, serta syarat untuk menjadi pemimpin.

Seterusnya, dalam Bahagian III, dibincangkan corak kepemimpinan ala Barat, Timur, dan Islam. Dalam kepemimpinan ala Barat, diperkatakan kepemimpinan sekular; dalam kepemimpinan ala Timur, diperkatakan kepemimpinan seperti yang disarankan oleh Sun Zi; dan dalam kepemimpinan ala Islam, diperkatakan kepemimpinan berdasarkan keperibadian Nabi Muhammad SAW.

Dalam Bahagian IV buku ini pula, perbincangannya tertumpu pada cara memantapkan kepemimpinan melalui pidato; manakala dalam Bahagian V, dihuraikan kepemimpinan dalam dunia global yang berkisar pada kepemimpinan berkualiti menyeluruh.

Ciri-ciri kepemimpinan yang baik, yang dipaparkan dalam buku ini sewajarnya dibaca dan dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan pembaca, terutamanya yang menjadi pemimpin dalam sesuatu organisasi, sama ada di sektor awam atau swasta, mahupun dalam pertubuhan bukan kerajaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013406
    Visit Today : 669
    This Month : 32751
    Total Visit : 1013406
    Hits Today : 2206
    Total Hits : 4134311
    Who's Online : 15
  • Kategori