Judul: Senjata Nuklear: Rahsia dan Bahana
Penulis: Syed Yusainee Syed Yahya
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM23
Pengulas: Hafizul bin Adnen

KONSEP senjata pemusnah sudah lama mendominasi pemikiran manusia yang sentiasa mencari kaedah efektif dan efisien bagi mencapai kemenangan mutlak dalam peperangan. Penemuan pantas rahsia atom yang bermula pada lewat abad ke-19 dan kerancakan pada empat dekad pertama abad ke-20, telah menghasilkan program yang membinasakan, iaitu perlumbaan untuk membangunkan bom atom pertama dunia semasa Perang Dunia Kedua. Ruang masanya bermula daripada perkembangan teori awal pada permulaan abad ke-20 kepada ujian terkini di Korea Utara. Subjek berkenaan diketengahkan melalui Senjata Nuklear: Rahsia dan Bahana oleh Syed Yusainee Syed Yahya yang pernah bertugas di Unit Tenaga Nuklear (sekarang Agensi Nuklear Malaysia) pada tahun 1993.

Penulis memudahkan para pembaca memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan nuklear dalam bab pertama. Ringkasnya dua tindak balas diperlukan untuk menghasilkan tenaga besar, iaitu pembelahan dan pelakuran nukleus. Oleh kerana setiap pembelahan nukleus uranium melepaskan neutron daripadanya sendiri, para saintis dengan segara menyedari bahawa satu “tindak balas berantai” dapat berlaku, iaitu neutron yang dilepaskan daripada satu pembelahan akan membelah yang lain dan begitulah proses yang seterusnya, dengan setiap tindak balas ini melepaskan satu kuantiti besar tenaga. Sekiranya anda meletakkan uranium yang mencukupi secara bersama-sama, hasilnya dapat menjadi sebuah bom dengan kuasa kemusnahan yang menakjubkan.

Bom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki dianggap primitif jika dibandingkan dengan bom generasi baharu yang lebih moden dan dapat menghasilkan kuasa pemusnah yang cukup mengerunkan seperti bom neutron dan bom kobalt. Antara yang paling kuat ialah bom hidrogen yang menggunakan prinsip yang menyerupai proses penjanaan tenaga dalam teras matahari.

Hiroshima.

Tiga bab seterusnya, penulis telah membawa pembaca merentasi garisan masa dalam perlumbaan membina bom atom sehingga membawa bencana besar kepada lebih 100,000 penduduk Hiroshima dan Nagasaki. Dalam perlumbaan ini, tiga kuasa besar, iaitu Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat muncul sebagai penggerak awal kepada program senjata nuklear. Teori tentang tenaga besar ini sudah dibentangkan sejak tahun 1934 oleh seorang profesor fizik dari Jepun yang mendahului ahli fizik dari barat. Kemudiannya, Jerman telah melancarkan program senjata nuklearnya dan barulah diikuti oleh Amerika Syarikat.

Meletusnya Perang Dunia Kedua telah merancakkan lagi program tersebut kerana mereka sedar bahawa potensi besar yang ada dalam nukleus sekira mereka dapat membuka ‘kunci’nya. Faktor tersebut menjadi pemangkin kepada projek rahsia yang diketuai Amerika Syarikat yang dibantu oleh Britain dan Kanada, iaitu Projek Manhattan yang bertujuan untuk menyelidik dan membangunkan bom atom. Para sainstis terhebat dunia telah disatukan dalam projek ini dan hanya 23 bulan selepas permulaanya, kejayaan telah dipamerkan apabila prototaip pertama yang dikenali sebagai “The Gadget” berjaya diletupkan di gurun Alamogordo, New Mexico pada 16 Julai 1945.

Senjata nuklear.

Kuasa pemusnah dalam ledakan bom atom telah meninggalkan kesan yang sukar digambarkan oleh manusia. Seperti yang dijelaskan oleh penulis, terdapat beberapa impak (serta-merta, ledakan, terma, awan cendawan dan denyut elektromagnet) yang berpunca daripada gabungan ledakan berkuasa tinggi, pancaran terma dan pancaran sinaran mengion yang membawa kemusnahan total yang berskala besar dalam tempoh yang singkat. Kesan jangka panjangnya pula ialah taburan debu radioaktif atau pencemaran nuklear ke atas atmosfera yang mampu merebak secara tidak terkawal.

Ancaman bom atom dari Jerman menghilang bersama-sama dengan kekalahan Nazi pada Mei 1945, tetapi peperangan terus menganas di kawasan Pasifik. Bab keempat pula menjawab persoalan mengapa Amerika Syarikat menggugurkan bom atom ke atas Jepun. Bom yang dihasilkan selepas “The Gadget”, iaitu “Fat Man” dan “Little Boy” telah digunakan ke atas sasaran terpilih, iaitu Hiroshima dan Nagasaki. Pada pagi 6 Ogos 1945, sebuah pesawat pengebom B29 ‘Enola Gay’ telah mendekati Hiroshima pada ketinggian 31,000 kaki. Pada pukul 8.15 pagi, sebuah bom telah digugurkan dan hanya mengambil masa selama 43 saat untuk jatuh pada ketinggian 1,900 kaki dari permukaan, ketinggian yang dipilih untuk memaksimumkan kemusnahan.

Tanda pertama letusannya ialah pancaran silau yang “lebih cerah daripada seribu matahari” yang mampu membutakan sesiapa yang memandangnya terus. Dalam tempoh masa yang sangat pantas, pancaran ini telah berkembang kepada bentuk bebola api besar yang kelihatan semakin panas dengan beredarnya setiap saat. Begitu tajamnya pancaran dan haba sehinggakan bangunan di seluruh bandar (yang banyak dibina daripada kayu) terbakar. Dalam beberapa saat, satu gelombang kejutan yang berkuasa meranapkan kesemua benda yang berada dalam laluannya. Ribuan manusia mati sebelum mereka menyedari apa yang telah berlaku dan ribuan lagi terbakar dengan teruk dan terdedah dengan radiasi tinggi dan menunggu ajal mereka. Pada 15 Disember 1945, dijangkakan bahawa 90,000 penduduk telah meninggal di Hiroshima, memusnahkan 90 peratus infrastuktur di seluruh bandar dan melenyapkan kesemuanya dalam jarak satu batu radius dari tempat bom tersebut meletus.

Walaupun ahli fizik Jerman terkenal seperti Erich Schumann,  Werner Heisenberg dan Otto Hahn bekerja dalam program nuklear Nazi, namun rejim Third Reich (Nazi Jerman) gagal untuk mengeksploitasi kelebihannya. Hal ini kerana ramai saintis terbaik di Jerman terdiri daripada kaum Yahudi yang diusir dan berkerja untuk Pihak Berikat semasa perang. Kejatuhan Nazi Jerman merupakan permulaan kepada orde politik baharu. Hal ini menyediakan pentas untuk Perang Dingin. Politik, ekonomi dan budaya daripada Perang Dingin telah mengembangkan lagi perlumbaan teknologi senjata nuklear ke seluruh dunia sejak lebih separuh abad seperti yang dijelaskan dalam bab kelima hingga kesembilan.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet melihat hubungan sesama mereka sebagai pesaing dan berusaha untuk mendapatkan kelebihan sama ada dalam bidang ketenteraan, saintifik atau ideologi. Apabila diktator Soviet, iaitu Josef Stalin mendapat tahu berkenaan Hiroshima, beliau telah mengumpulkan saintisnya dan mengerakkan program penuh bagi membina bom atom. Senjata generasi baharu ini telah memberikan ancaman dalam perubahan keseimbangan antara dua buah kuasa besar dunia. Untuk suatu tempoh, Amerika Syarikat telah tidak terkalahkan dan Soviet menggandakan usaha mereka membina senjata nuklear milik sendiri yang digerakkan sejak tahun 1943.

British yang berbangga dengan sumbangan mereka dalam Projek Manhattan (terdapat 19 saintis British dalam projek ini) tetapi “dipermainkan” oleh Amerika Syarikat, telah memutuskan untuk membina bom mereka sendiri pada tahun 1946. Susulan itu, Perancis yang berasa terhina dengan perkembangan Amerika Syarikat, Soviet dan British, bangkit secara drastik melalui ujian pertama nuklear pada tahun 1960. China pula tidak ingin dipandang rendah, mereka telah mendapatkan bantuan Soviet pada tahun 1957 untuk berdiri sama tinggi dengan kuasa-kuasa besar yang lain. Tujuh tahun kemudian, cita-cita China untuk menjadi sebagai negara kuasa nuklear berjaya direalisasikan.

The International Nuclear Non-Proliferation Treaty mengakui hanya lima buah kuasa nuklear “rasmi”, iaitu AS, Rusia, China, Perancis dan Britain. Tetapi terdapat lagi empat anggota kumpulan nuklear tidak rasmi yang tidak menandatangani dokumen perjanjian. Israel membangunkan senjata nuklear secara rahsia pada pertengahan tahun 1960-an dan India menguji bom atom pertamanya pada tahun 1974. Ini disusuli oleh dua buah negara yang lain pada 1998 dan 2006, iaitu Pakistan yang berjaya menjalankan ujian nuklear pertama dengan bantuan seorang perisik, iaitu Abduk Qadeer Khan dan kediktatoran yang sukar diramalkan, iaitu Korea Utara. Pada masa yang sama, Khan berurus niaga dengan menjual rahsianya kepada Korea Utara, Libya dan Iran.

Serangan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki selama-lamanya telah mengubah iklim peperangan hingga tiada senjata dalam sejarah mampu dilakukan. Untuk pertama kalinya, manusia telah menemui cara untuk melepaskan tenaga nuklear dan mencipta satu senjata pemusnah besar-besaran yang mampu merosakkan Bumi dan memusnahkan semua hidupan. Ditemui oleh saintis, direalisasikan oleh pemimpin dunia dan digerakkan oleh tentera, senjata nuklear bangkit daripada debu-debu Hiroshima dan Nagasaki untuk mendominasi era kita. Ini adalah kisah permulaan era baharu dalam sejarah manusia dan senjata yang boleh mengubah bukan sahaja peperangan, bahkan masyarakat global dan politik antarabangsa. Paling menakutkan pada zaman ini adalah bagaimana sekiranya senjata nuklear jatuh ke tangan yang salah khususnya para penganas?.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.