Lawatan TYT Ambassador Zainal Abidin Bakar ke Pavilion Malaysia.

OLEH ZULHILMI BAHARUDIN

PENGANJURAN pesta buku merupakan acara tahunan bagi setiap negara. Di sinilah tempat berhimpun golongan penerbit dan pencinta buku meneroka peluang dan pasaran. Tidak ketinggalan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit ulung di negara ini. Pada 4 hingga 8 September 2019, DBP telah menyertai Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2019 (IIBF) yang berlangsung di Jakarta Convention Center (JCC).

Rak buku DBP di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2019.

Pesta buku ini dianjurkan oleh Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI). Selain daripada DBP, terdapat 10 lagi penerbit di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) yang menyertai IIBF ini. Penyertaan DBP dalam IIBF adalah melalui tiga aktiviti utama, iaitu promosi dan jualan bahan terbitan terpilih di Pavilion Malaysia, pelancaran buku dan penyertaan dalam Indonesia Partnership Programme (IPP) bagi penjualan hak cipta.

Penyampaian cenderamata penghargaan DBP yang disampaikan oleh Encik Zulhelmi Baharudin kepada Kedutaan Malaysia, TYT Ambassador Zainal Abidin Bakar .

Wakil DBP juga berkesempatan berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di Indonesia. Dalam pertemuan ini, wakil DBP bersama-sama delegasi Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan Kedutaan Malaysia. Dalam perbincangan tersebut, TYT Ambassador Zainal Abidin Bakar menyambut baik usaha Malaysia dalam menyebarluaskan bahan terbitan Malaysia ke Indonesia. Beliau menyarankan agar DBP terlibat secara langsung dalam beberapa aktiviti pada masa akan datang bagi mempromosikan secara langsung buku terbitan DBP kepada khalayak pelajar di Indonesia. Antara program yang dicadangkan ialah Program Ayo Kuliah di Malaysia!, Sekolah Bimbingan Malaysia (SBM) Jakarta dan aktiviti bersama-sama Sasterawan Negara Malaysia di Institut Pengajian Tinggi yang terpilih.

Selain itu, DBP berasa amat bertuah kerana pada kali ini TYT Ambassador Zainal Abidin Bakar berbesar hati membuat lawatan rasmi ke Pavilion Malaysia di IIBF. Dalam lawatan tersebut beliau mencadangkan agar pada masa akan datang delegasi Malaysia memberikan fokus kepada buku-buku yang bersifat Malaysiana, kebudayaan, sastera dan politik sebagai bahan pameran bagi mencerminkan budaya citra Nusantara. Hal ini demikian untuk menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pencinta buku dunia untuk datang ke IIBF bagi mendapatkan koleksi tentang keunikan masyarakat dan budaya Nusantara.

Pelancaran Buku Antologi Cerpen Malaysia-Indonesia Cinta Pun Berlogika.

Pada pesta buku ini juga DBP turut melancarkan buku antologi cerpen Malaysia-Indonesia dengan kerjasama Yayasan Pustaka Obor, Indonesia. Judul buku yang telah dilancarkan ialah Antologi Cerpen Malaysia-Indonesia Cinta Pun Berlogika. Pelancaran ini telah diadakan pada 5 September 2019 di Pentas Utama, Jakarta Convention Center (JCC) yang disempurnakan secara bersama oleh Encik Azhar Mohamad Dora, wakil Ketua Pengarah DBP dengan Ibu Kartini Nurdin, Ketua Yayasan Pustaka Obor, Indonesia. Buku tersebut memuatkan 10 cerpen penulis Malaysia dan 10 cerpen penulis Indonesia.

Perbincangan dengan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia.

DBP juga turut berpeluang mengadakan perbincangan dengan penerbit gedung buku terbesar Indonesia, iaitu PT Gramedia Pustaka Utama bagi menempatkan bahan-bahan terbitan Malaysia. Selain daripada itu, perbincangan turut diadakan dengan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia (PNRI) bagi program perolehan bahan bacaan untuk segmen mancanegara dan majalah.

Lawatan ke Perpustakaan Nasional R Indonesia.

Sesungguhnya, peluang dan ruang untuk menyebarluaskan hasil terbitan DBP ke peringkat antarabangsa terbentang luas jika ada daya dan usaha yang berterusan. Yang penting, pada pasca penyertaan yang disertakan dengan tindakan susulan bagi meneruskan program yang telah dirintis kerana pasaran buku Indonesia sangat besar dengan jumlah penduduknya yang berjumlah 270 juta orang penduduk.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044428
    Visit Today : 849
    This Month : 27027
    Total Visit : 1044428
    Hits Today : 2801
    Total Hits : 4287774
    Who's Online : 9
  • Kategori