Judul buku    : Salina

Penulis          : A. Samad Said

Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit  : 1961

PENGULAS  : KHALIDA BOLHI

NOVEL Salina tulisan Sasterawan Negara A.Samad Said merupakan sebuah karya agung yang dikatakan bertaraf antarabangsa. Penulis novel ini banyak memaparkan sisa jelik Perang Dunia Kedua di Singapura. Peperangan telah banyak menghancurkan nilai kemanusiaan serta menyalahtafsirkan nilai kasih sayang. Latar zaman perang amat mempengaruhi penulisan A.Samad Said kerana beliau merupakan saksi mata era itu. Kemelaratan yang ditonjolkan dalam novel ini seolah-olah memaparkan kemarahan dan keresahan yang dialami dalam dirinya berkisar nasib yang menimpa golongan terpinggir.

Novel Salina berlatarbelakangkan sebuah perkampungan kecil di Singapura yang diberi nama Kampung Kambing. Tempat ini digelar Kampung Kambing kerana penduduk di kampung ini tinggal di kandang kambing yang disewakan oleh seorang lelaki India yang bernama Kurupaya. Tidak seperti kelaziman penulisan novel lain, fokus penceritaan tidak bertumpu kepada satu watak. Tajuk novel ini merupakan nama watak Siti Salina dalam karya tersebut. Namun begitu, ukuran watak utama tidak diberikan kepada watak Salina kerana pengisahan watak seperti Hilmy dan Nahidah turut menguatkan penceritaan novel ini. Watak lain seperti Abdul Fakar, Katijah, Zarina, Sunarto, Haji Karman, Mansur dan Kurupaya Samy menghidupkan lagi novel tersebut. Sungguhpun berbeza latar belakang, watak dalam novel ini berkongsi satu persamaan, iaitu golongan terpinggir pada era pasca-Perang Dunia Kedua.

Tema kemelaratan kesan Perang Dunia Kedua digarap dengan baik sekali oleh A.Samad Said dalam novel ini terutamanya dari sudut sosial. Kaum wanita berada pada kedudukan yang rendah apabila selalu menjadi mangsa nafsu buas lelaki. Kegiatan pelacuran seolah-olah perkara biasa dan dijadikan sebagai sumber rezeki. Abdul Fakar dan Salina digambarkan bergantung hidup pada hasil aktiviti pelacuran Salina. Salina sering diseksa dan dimarahi oleh Abdul Fakar walaupun dia menumpang hidup kepada Salina. Siti Salina seolah-olah hambanya, yang mudah diperlakukan apa-apa sahaja. Hasil pendapatan Siti Salina digunakan olehnya untuk berfoya-foya dengan perempuan lain dan minum arak. Kerendahan martabat kaum wanita diserlahkan lagi oleh watak Nahidah yang dipaksa menjadi pelayan di sebuah restoran oleh ibu tirinya, Zarina. Pendapatan Nahidah digunakan oleh ibu tirinya itu membeli barang kesukaannya. Nahidah dan Siti Salina bagaikan terperangkap dalam “penjara” Abdul Fakar dan Zarina.

Ketidakstabilan ekonomi sesebuah negara mengundang kesengsaraan kehidupan rakyatnya. Rakyat yang terdesak kehidupannya sanggup melakukan apa-apa sahaja demi memenuhi keperluan hidup tanpa mengira halal dan haram sumber rezeki tersebut. Penghuni Kampung Kambing terdiri daripada pelacur, penarik beca, tukang cuci dan penganggur. Apabila menghayati watak Salina, pelacur yang dipandang hina, tidak wujud rasa memaki malah rasa kasihan dan ingin membela nasib wanita malang itu membuak. Jelas dilukiskan watak Siti Salina, Nahidah, Hilmy, Narto, serta watak lain dalam novel sebagai korban keadaan. Jika dilihat sejarah latar belakang, mereka boleh dikatakan sebagai golongan yang berpotensi untuk berjaya. Siti Salina berasal daripada keluarga yang berkemampuan dan berpendidikan. Narto lulusan darjah tujuh Sekolah Melayu dan layak menjadi guru manakala Nahidah dan Mansur pula anak pegawai polis. Dari sudut pandangan peribadi, watak tersebut seolah-olah “dimatikan” oleh penulis untuk kita bersama-sama meratapi kesengsaraan hidup mereka. Watak tersebut “terpenjara” di Kampung Kambing dan sepertinya, mereka selesa dengan keadaan tersebut.

Kedaifan hidup dalam novel ini bukan sahaja digambarkan melalui kehidupan wataknya sahaja, malah latar utama iaitu Kampung Kambing, memberikan gambaran yang serupa. Tindakan menjadikan kandang kambing sebagai rumah sewaan perkara yang berada di luar rasional kita. Dalam mendeskripsikan Kampung Kambing, A.Samad Said mengkritik golongan pemerintah pada waktu itu yang seakan-akan lupa akan kewujudan segelintir golongan yang tidak berkemampuan seperti penghuni Kampung Kambing. Golongan yang berkuasa seperti Kurupaya berjaya mengaut keuntungan daripada ketidakprihatinan itu kerana kegiatannya tidak dapat dihidu pemerintah. Bukan sahaja keadaan tempatnya yang tidak selesa, malah tempat tersebut tidak memiliki kemudahan asas yang lain seperti air. Jika direnung kembali, hal ini bukan sahaja merujuk Kampung Kambing semata tetapi turut menegur pemimpin di negara kita sendiri. Realitinya, masih wujud kampung di kawasan pedalaman yang tidak memiliki kemudahan asas sungguhpun kemerdekaan negara sudah dikecap lebih setengah abad.

Kemelaratan di Kampung Kambing tidak bertumpu kepada individu tertentu sahaja, malah Perang Dunia Kedua telah menyaksikan perpecahan dan kepincangan dalam institusi kekeluargaan yang membawa kesengsaraan kepada sesetengah individu. Pengeboman Singapura oleh Jepun telah menyebabkan Salina kehilangan keluarga dan kekasihnya, Nahidah dan Mansur pula terpaksa hidup bersama-sama ibu tiri mereka, Zarina, yang kehidupan mereka sekeluarga di sara oleh Narto, anak angkat arwah ayahnya. Salina yang hilang arah dan sebatang kara akhirnya hidup sebagai pelacur dan menyara seorang bekas kelasi yang mirip arwah kekasihnya, Muhd Yusuf. Keluarga Nadihah pula sentiasa bergaduh sesama mereka kerana Zarina mata duitan. Zarina yang kehausan duit sentiasa mencaci dan memarahi Narto dan akhirnya menghalau Narto dari rumah tersebut dengan bantuan Abdul Fakar. Oleh itu, jelaslah perpecahan dalam institusi keluarga menyeksa jiwa individu. Salina dan Narto yang kehausan kasih sayang sanggup diseksa untuk merasai “nikmat berkeluarga” walaupun realitinya mereka dijadikan hamba. Watak Salina dan Narto menjelaskan bahawa kasih sayang tidak sentiasanya harus dirasai dengan indah, tetapi pengorbanan yang besar itulah bukti kasih sayang yang lebih tinggi nilainya.

Novel Salina ialah karya realis yang sedih tentang kehidupan selepas Perang Dunia Kedua di Singapura. A.Samad Said berjaya menghasilkan karya yang menampakkan peranannya sebagai masyarakat marhaen untuk menyuarakan realiti tersebut kepada golongan pemerintah. Keberanian A.Samad Said seharusnya dijadikan contoh oleh penulis muda. Medium penulisan seharusnya digunakan dengan bijak. Nilai sentimental yang dimiliki penulis menyerap dalam diri pembaca novel ini. Hal ini amatlah penting kerana melalui perkara ini, penulis dapat menyampaikan ideanya untuk difikirkan bersama dan diambil tindakan oleh orang lain.

Kesimpulannya, novel Salina layak digelar karya agung Melayu yang mengharumkan nama penulisnya. Banyak orang yang mengenali A.Samad Said melalui Salina. Ya, Salina ialah Salina, pelacur yang keji lakunya, tetapi halus jiwa dan budinya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042090
    Visit Today : 1405
    This Month : 24689
    Total Visit : 1042090
    Hits Today : 8821
    Total Hits : 4279364
    Who's Online : 9
  • Kategori