Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

SEJARAH kemunculan nenek kebayan dalam kehidupan masyarakat Melayu di Alam Melayu sejak ratusan tahun melekat dalam pemikiran kanak-kanak dan masyarakat Melayu. Dalam menempuh era Revolusi Industri Keempat (RI4), masih ada masyarakat Melayu yang beranggapan bahawa sejarah nenek kebayan sudah ditelan zaman. Namun begitu, sejarah nenek kebayan dalam karya sastera rakyat diceritakan berdasarkan perwatakan murni nenek kebayan dalam karya agung kesusasteraan Melayu tradisional, iaitu Hikayat Inderaputera.

Hikayat Inderaputera terbitan DBP.

Pada dasarnya, sejarah dan perkembangan watak nenek kebayan di Alam Melayu bermula daripada pemikiran masyarakat Melayu yang menyifatkan imej nenek kebayan sebagai nenek tua dengan raut wajah yang menakutkan, berjalan dengan postur badan yang bongkok dan mempunyai kulit wajah yang berkedut. Langkah demi langkah nenek kebayan kelihatan lesu dan tidak gagah membawa sebatang tongkat kayu yang usang. Sejarah nenek kebayan telah diperturunkan dari zaman dahulu kala hingga kini dalam masyarakat Melayu menerusi rangkaian karya agung sastera sejarah seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman dan Hikayat Inderaputera.

Keindahan karya agung Sulalatus Salatin.

Kewujudan nenek kebayan yang dikenali sebagai makhluk halus dari alam bunian dan jin jelas menunjukkan bahawa nenek kebayan tinggal di dalam hutan dan gunung. Puncak Gunung Ledang menurut kepercayaan penduduk setempat dan para pekerja di Gunung Ledang ialah tempat tinggal nenek kebayan bersama-sama orang bunian dan Puteri Gunung Ledang. Selain itu, nenek kebayan yang tinggal di Gunung Ledang, gunung dan hutan dikenali sebagai “Orang Gunung” berdasarkan kaedah kajian temu bual lisan penulis ketika menemu bual bapa saudara penulis, Salleh Jaafar dan isterinya, Jamilah Baba yang terlibat dalam dunia perubatan tradisional Melayu di Bukit Rambai, Melaka sejak dari tahun 1990-an hingga kini.

Gambaran wajah nenek kebayan yang menakutkan dalam pemikiran kanak-kanak.

Sejarah kemunculan nenek kebayan sebagai Dang Raya Rani, iaitu pengetua Puteri Gunung Ledang diceritakan dalam Sejarah Melayu menerusi kisah “Meminang Puteri Gunung Ledang” yang menceritakan kisah Tun Mamad sebagai wakil rombongan peminangan Puteri Gunung Ledang ketika mendaki Gunung Ledang bertemu dengan seorang perempuan tua bernama Dang Raya Rani dan seorang perempuan tua yang bongkok tiga. Menurut perempuan tua bongkok tiga tersebut, Puteri Gunung Ledang bersedia untuk mengahwini Sultan Mahmud jika baginda bersedia untuk memenuhi tiga syarat, iaitu membina sebuah jambatan emas dan jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, menyediakan tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, setempayan air mata, setempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Ahmad.

Pertemuan Tun Mamad dengan dua orang perempuan tua bernama Dang Raya Rani dan perempuan tua bongkok tiga sebenarnya ialah Puteri Gunung Ledang yang menggunakan kuasa magis mengubah dirinya menjadi Dang Raya Rani dan perempuan tua bongkok tiga diceritakan seperti dalam tiga petikan yang berikut:

Maka Tun Mamad pun hairanlah mendengar rencana taman itu, seraya berjalan ke tengah taman itu. Maka Tun Mamad pun bertemu dengan sebuah balai, semua perkakasnya tulang dan atapnya rambut; di atas balai itu ada seorang perempuan tua, baik rupanya, menyampai kain pendukung; empat orang perempuan muda-muda mengadap dia. Maka ia, bertanya pada Tun Mamad, katanya, “Orang mana kamu ini, dan hendak ke mana kamu?” Maka kata Tun Mamad, “Kami ini orang Melaka, nama hamba Tun Mamad, dititahkan oleh Sultan Mahmud Syah meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setia ada di bawah gunung ini, tiada boleh naik, akan hamba disuruhnya; dan tuan hamba, siapa nama tuan hamba?” Maka sahut perempuan itu, “Nama hamba Dang Raya Rani, hambalah pengetua Puteri Gunung Ledang; nantilah hamba di sini, biar hamba persembahkan segala kata tuan hamba itu pada tuan puteri.” Setelah ia berkata, maka kelimanya lenyaplah; ada kadar sesaat maka kelihatan pula seorang perempuan tua, bongkok belakangnya lipat liga. Maka ia berkata pada Tun Mamad,“Adapun segala kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada tuan Puteri Gunung Ledang akan titah tuan puteri, “Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya, hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan, darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka ia. Pada suatu riwayat, orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang merupakan dirinya seperti orang tua.

(Sulalatus Salatin, 2003: 214-215)

Keindahan Puncak Gunung Ledang dikatakan menjadi tempat tinggal nenek kebayan tinggal bersama Puteri Gunung Ledang dan orang bunian.

Perwatakan nenek kebayan sebagai watak pembantu atau watak pipih dalam sastera tradisional terserlah menerusi perwatakan murni nenek kebayan yang disifatkan mampu menyucikan pemikiran kanak-kanak yang kerap dimomokkan dengan nilai negatif terhadap nenek kebayan. Hal ini demikian jelas terbukti menerusi perwatakan murni nenek kebayan terhadap kanak-kanak dalam Hikayat Inderaputera yang berjaya menaikkan martabat nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam karya kesusasteraan Melayu tradisional, khususnya dalam karya kesusasteraan lisan.

Lakonan hebat Tiara Jacquelina dan Ruminah Sidek dalam filem Puteri Gunung Ledang menghidupkan watak nenek kebayan dan Dang Raya Rani.

Secara umumnya, konsep watak menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sifat seseorang yang zahir dan batin merangkumi budi pekerti dan tabiatnya, tingkah lakunya, jiwanya dan pemikirannya. Selain itu, konsep watak merupakan tokoh dalam karya sastera, selain bertindak sebagai pelaku dan penggerak utama dalam menghidupkan dan mengembangkan cerita berdasarkan hukum sebab dan akibat.

Konsep perwatakan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pembentukan watak yang melibatkan pemaparan watak dan sebagainya. Seterusnya, konsep perwatakan menurut Abd. Hadi Hashim dalam Kupasan dan Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM (2002) merupakan lukisan dan gambaran tentang watak dari segi fizikal (luaran), psikologikal (dalaman/kejiwaan) dan sosiologikal (peranan dalam masyarakat). Perwatakan nenek kebayan dalam cerita lipur lara jelas menunjukkan bahawa nenek kebayan boleh berkomunikasi dengan haiwan dan unsur alam dengan menggunakan kuasa magis dan sihir yang dimiliki oleh nenek kebayan.

Kedudukan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam cerita lipur lara dilihat berdasarkan carta alir watak dalam karya sastera. Menurut Abd. Hadi Hashim dalam Kupasan dan Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM (2002), jenis watak dalam karya sastera bermula dengan wira watak utama sebagai watak penting yang menggerakkan sesuatu cerita. Kemunculan nenek kebayan sebagai watak pembantu memiliki peranan lebih kecil daripada watak utama yang dikenali sebagai watak kodi, iaitu watak yang selalu terdapat dalam cerita rakyat. Watak nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera sebagai watak kodi memiliki sedikit sifat persendirian dan banyak sifat stereotaip berdasarkan carta alir watak dalam karya sastera yang berikut:

Carta Alir Watak Nenek Kebayan sebagai Watak Pembantu

Sumber dan hak cipta: Abd. Hadi Hashim, 2002. Kupasan & Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Konsep perwatakan murni berdasarkan gabungan dua perkataan, iaitu “perwatakan” dan “murni.” Selain itu, konsep perwatakan menurut Abd. Hadi Hashim dalam Kupasan dan Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM (2002) merupakan pelukisan dan gambaran tentang watak dari segi fizikal, dalaman dan peranan dalam masyarakat. Malah, maksud kata “murni” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tidak mengandungi unsur-unsur asing yang mencemarkan, bersifat bersih, benar, suci dan tulen. Aspek perwatakan murni dalam karya sastera berdasarkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh setiap watak dan perwatakan yang mengamalkan nilai hidup yang murni seiring dengan nilai-nilai positif dan luhur. Konsep perwatakan murni memaparkan nilai kasih sayang, pemurah, berbudi bahasa, amalan hormat-menghormati dan tolong-menolong antara satu sama lain. Tegasnya, perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera dapat menyucikan pemikiran kanak-kanak agar saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kewujudan nenek kebayan sebagai watak pembantu sememangnya dikenali sebagai watak bukan wira dalam tradisi lisan.  Kemunculan nenek kebayan amat ditakuti oleh kanak-kanak berdasarkan pemikiran dalam minda kanak-kanak bahawa nenek kebayan sebagai wanita tua yang menakutkan, rupa parasnya seperti hantu, ratu sihir, wanita kejam, perempuan jahat dan penculik kanak-kanak. Perwatakan nenek kebayan sebagai “Si Bongkok Tiga” dalam lagu rakyat Melayu yang bertajuk Nenek Si Bongkok Tiga (1959). Lagu rakyat Nenek Si Bongkok Tiga dinyanyikan oleh Rahmah Rahmat dalam filem Musang Berjanggut, arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Nenek, nenek, Si Bongkok Tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Mencari cucu di mana ada,
Nenekku kahwin dengan anak raja.

(Nenek Si Bongkok TigaMusang Berjanggut, 1959).

Hikayat Inderaputera ialah sebuah karya agung sastera lisan yang dicipta pada era kegemilangan Kesultanan Melayu Acheh. Hikayat Inderaputera mengisahkan seorang pemuda yang bernama Inderaputera, iaitu putera kepada Raja Bikrama Buspa dari negeri Samanta Puri telah diculik oleh burung Merak Emas. Ketika Putera Inderaputera dilahirkan, baginda diramalkan bahawa tidak boleh berada berdekatan binatang. Pada suatu hari, Putera Inderaputera duduk di atas ribaan ayahandanya teruja melihat burung Merak Emas yang dibawa masuk mengadap di istana, lalu mendekati burung Merak Emas tersebut. Tiba-tiba Putera Inderaputera diterbangkan oleh burung Merak Emas tersebut. Setelah diterbangkan, Putera Inderaputera dijatuhkan di dalam sebuah taman bunga milik seorang nenek kebayan. Putera Inderaputera dibesarkan oleh nenek kebayan dengan bantuan seorang menteri. Inderaputera menjadi pembantu kepada menteri tersebut. Putera Inderaputera menempuh pelbagai halangan dan ujian setelah menemui Maharaja Syahian. Putera Inderaputera terpisah dengan nenek kebayan. Setelah melepasi beberapa halangan, Putera Inderaputera tetap mencari nenek kebayan yang menjaganya dari kecil. Putera Inderaputera bertemu semula dengan ayahandanya. Akhirnya, Putera Inderaputera ditabalkan sebagai raja yang bergelar Paduka Sultan Mengindera di negeri Samanta Puri dan hidup bahagia bersama empat orang isterinya (Hikayat Inderaputera, 1979).

Perwatakan nenek kebayan sebagai watak pembantu menggerakkan plot dari saat genting kepada situasi yang lebih tenang. Malah, perwatakan nenek kebayan sebagai watak kodi dalam Hikayat Inderaputera merupakan watak penyelamat Putera Inderaputera daripada eksposisi hingga ke peleraian cerita Hikayat Inderaputera. Kemunculan nenek kebayan sebagai watak pembantu dalam Hikayat Inderaputera seiring dengan perwatakan murni nenek kebayan yang menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh Putera Inderaputera (Syahidatul Munirah Badrul Munir, 2015: 6).

Perwatakan murni nenek kebayan dalam pengenalan cerita Hikayat Inderaputera telah berjasa menjaga Putera Inderaputera hingga dewasa bermula selepas Putera Inderaputera dijatuhkan oleh burung Merak Emas di taman bunga nenek kebayan ketika Putera Inderaputera masih kecil. Apabila dewasa, Putera Inderaputera berpisah dengan nenek kebayan. Putera Inderaputera mencari nenek kebayan yang menjaganya dari kecil sehingga baginda bertemu ayahandanya dan ditabalkan sebagai Paduka Sultan Mengindera.

Kepentingan watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dan watak kodi dalam Hikayat Inderaputera adalah berdasarkan perwatakan murni nenek kebayan sebagai penjaga wira dalam Hikayat Inderaputera, iaitu Putera Inderaputera. Perwatakan murni nenek kebayan membantu watak Putera Inderaputera sebagai wira apabila Putera Inderaputera menghadapi masalah. Perwatakan murni nenek kebayan sebagai penjaga Putera Inderaputera dalam Hikayat Inderaputera telah menjaga dan membesarkan Putera Inderaputera setelah diculik oleh burung Merak Emas.

Kemuliaan hati nenek kebayan memperkenalkan Putera Inderaputera kepada raja dan kerabat diraja di dalam istana supaya Putera Inderaputera dapat bertemu dengan ayahanda dan bondanya merupakan salah satu perwatakan murni nenek kebayan yang patut dicontohi. Hal ini demikian jelas terbukti menerusi kemuliaan hati nenek kebayan yang telah berjasa menjaga dan membesarkan Putera Inderaputera hingga Putera Inderaputera pulang ke negeri Samanta Puri. Tegasnya, jika diberikan pilihan Putera Inderaputera tetap ingin bertemu dengan nenek kebayan.

Perwatakan murni nenek kebayan sebagai watak pembantu terbaik dalam Hikayat Inderaputera telah mengangkat kedudukan nenek kebayan sebagai watak pembantu terbaik dalam karya kesusasteraan Melayu tradisional. Selain itu, perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera yang berperanan sebagai penyelamat Putera Inderaputera seiring dengan nilai kasih sayang, pengorbanan, jasa, budi bahasa, keluhuran hati dan membantu menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh Putera Inderaputera. Oleh sebab itu, perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera mampu menyucikan pemikiran kanak-kanak agar berfikiran positif terhadap nenek kebayan berdasarkan gabungan nilai murni dalam kehidupan. Setiap subplot nenek kebayan sebagai watak pembantu bersama wira menggerakkan cerita yang mencetuskan hukum sebab dan akibat daripada sesuatu peristiwa. Jika tiada watak nenek kebayan sebagai watak pembantu dan protagonis dalam Hikayat Inderaputera menjadikan plot dalam Hikayat Inderaputera kelihatan lesu. Perwatakan murni nenek kebayan dalam Hikayat Inderaputera merupakan suri teladan terbaik kepada kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa dalam kehidupan harian.

BIBLIOGRAFI  

Abd. Hadi Hashim, 2002. Kupasan & Kajian Merit Elektif Kesusasteraan Melayu KBSM. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Ali Ahmad (ed)., 1979. Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.   

A.Samad Ahmad (peny.), 2003. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Edisi Pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azlina Asaari dan Jamaluddin Aziz., 2013. “Mencabar Ideologi Maskulin: Wanita dan Saka dalam Filem Seram di Malaysia” dalam Jurnal Komunikasi Malaysian Journal of Communication Jilid 29 (1) 2013: 113-126, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(https://m.youtube.com> watch Nenek Si Bongkok Tiga-Musang Berjanggut 1959). (Diakses pada 9 Ogos 2018).

Kamus Dewan Edisi Keempat., 2015. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Salleh Jaafar dan Jamilah Baba, 16 Jun 2018. Temu bual di Bukit Rambai, Melaka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043124
    Visit Today : 988
    This Month : 25723
    Total Visit : 1043124
    Hits Today : 3135
    Total Hits : 4282730
    Who's Online : 15
  • Kategori