Oleh UTHAYA SANKAR SB

SASTERA Kebangsaan merujuk pada karya sastera yang menggunakan bahasa kebangsaan, menampilkan gambaran hidup masyarakat di Malaysia, menggambarkan kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakat majmuk di negara ini, serta menyumbang ke arah persefahaman dan integrasi nasional.

Hal ini dipersetujui pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan (16-20 Ogos 1971) dan disepakati dalam mesyuarat Dasar Sastera Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 23 April 2019.

Soal penggunaan bahasa kebangsaan dalam menghasilkan karya yang layak diiktiraf sebagai Sastera Kebangsaan sudah tidak perlu dipertikai atau dipolemikkan lagi.

Namun begitu, isu yang masih berpanjangan adalah kemampuan para penulis tanah air mengungkapkan budaya, pemikiran, adat, kepercayaan dan hal-hal berkaitan masyarakat pelbagai kaum, keturunan dan etnik.

Suresh Kumar N Vellymalay dalam bukunya Hubungan Etnik di Sekolah (2017) menganggap kepelbagaian ini sebagai salah satu keunikan Malaysia. Norhayati Ab. Rahman menerusi eseinya dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa (2015) berkata, karya sastera perlu mampu menggambarkan pelbagai pola pemikiran dan nilai-nilai sosiobudaya pelbagai etnik.

Sekiranya diteliti, Sastera Melayu Moden sejak tahun 1930-an sangat berciri etnosentrik, iaitu rata-rata penulis kaum Melayu menulis kisah-kisah orang Melayu untuk bacaan khalayak Melayu. Kajian A.M. Thani (1990) dan Mohd. Taib Osman (Dewan Sastera, Januari 1976) ke atas cerpen-cerpen 1969-1975 turut membuktikan situasi ini.

Walau bagaimanapun, beban dan tanggungjawab menggambarkan budaya masyarakat bukan Melayu tidak perlu diletakkan pada pundak pengarang Melayu. Sepatutnya, penulis kaum Cina dan India, keturunan Siam, serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak sudah mampu menguasai bahasa kebangsaan dan menulis karya sastera bagi menggambarkan citra budaya masing-masing.

Almarhum Sultan Ahmad Shah sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan betapa karya sastera oleh penulis pelbagai kaum dan menggambarkan pelbagai budaya boleh menyumbang kepada perpaduan dan persefahaman (Dewan Sastera, November 1982).

Tun Abdul Razak semasa menjadi perdana menteri pernah berucap merasmikan Seminar Kesusasteraan Nusantara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 11 April 1973. Beliau juga optimis bahawa karya bahasa kebangsaan yang dihasilkan penulis pelbagai kaum dan latar budaya akan melahirkan Sastera Kebangsaan yang menjadi identiti Malaysia.

Jeniri Amir pada Seminar Sastera Pelbagai Kaum (7 April 2015) menekankan peri penting Sastera Kebangsaan dalam memupuk integrasi nasional. Sebagaimana dinyatakan oleh Othman Puteh dalam buku Cerpen Melayu Selepas Perang Dunia Kedua (1983), penulis perlu mengemukakan realiti masyarakat pelbagai kaum dan budaya menerusi karya.

Kehadiran penulis bukan Melayu dengan latar budaya, agama, pemikiran, bahasa ibunda dan isu kemasyarakatan yang berbeza ternyata sudah mampu memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan menerusi sumbangan yang amat bermakna. Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988-1996), misalnya, melahirkan sekurang-kurangnya 45 orang penulis yang kebanyakannya masih terus prolifik.

Berbeza dengan senario tahun 1980-an, Amir Tan berpendapat bahawa penulis bukan Melayu juga gemar menulis tentang watak dan budaya kaum Melayu (Dewan Sastera, November 1988), situasi sudah berubah selepas tahun 1990-an. Hakikat ini turut diketengahkan oleh Saravanan P. Veeramuthu dalam Seminar Sehari Isu-isu Kesusasteraan Melayu Moden di DBP pada 4 September 2018.

Masalah penguasaan bahasa kebangsaan sepatutnya tidak lagi menjadi isu kepada mana-mana rakyat Malaysia; termasuk mereka yang belajar di sekolah vernakular. Menurut Mohamad Saleeh Rahamad (Dewan Sastera, Januari 2003), Sastera Kebangsaan perlu menjadi medium penulis pelbagai kaum berbicara tentang “aspirasi kaum, budaya dan pemikiran” mewakili komuniti mereka.

Bagi merealisasikannya, penulis kaum Cina dan India, keturunan Siam, serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak perlu memainkan peranan. Sumbangan mereka akan memberi “identiti yang lebih lengkap” kepada Sastera Kebangsaan, seperti dihuraikan oleh Chong Fah Hing dalam buku Cerpen Mahua dan Cerpen Melayu: Suatu Perbandingan (2006).

Sejak tahun 1970-an, secara perbandingan, jumlah penulis kaum Cina yang terlibat dalam Sastera Kebangsaan adalah lebih ramai berbanding dengan penulis kaum India. Perkara ini sering diulang oleh peneliti sastera seperti Othman Puteh, Krishanan Maniam dan Mohamad Saleeh Rahamad.

Sambil mengakui hakikat penguasaan bahasa kebangsaan yang baik oleh golongan penulis kaum India, Sri Diah Shaharuddin dalam Diskusi Sastera Kavyan di DBP pada 10 Julai 2004 pernah menyebut bahawa jumlah mereka masih terlalu sedikit.

Keadaan diburukkan pula dengan sikap sekelompok penulis kaum India yang menulis khusus untuk menyertai pertandingan. Hakikat ini disentuh juga oleh Krishanan Maniam menerusi esei dalam buku Pengajian India: Bicara Pelbagai Perspektif (2006).

Data terkini Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menunjukkan hanya sekitar 10 orang penulis kaum India yang terlibat secara aktif dalam menghasilkan karya kreatif. Mujurlah, Sesi Penulisan Intensif anjuran Kavyan-DBP sejak Disember 2018 menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Selain daripada penulis mapan seperti Saroja Theavy Balakrishnan dan M. Mahendran, penulis baharu kaum India seperti Thanusya Shanmuganathan, Anuradha Chelliah, Jaymani Sevanathan dan S. Maarthandan Suppiah semakin rancak berkarya.

Majalah-majalah terbitan DBP, akhbar arus perdana, serta beberapa portal dalam talian membuka ruang yang luas untuk membolehkan mereka terus menghasilkan karya bermutu. Sekiranya diperhatikan, peluang yang ada sudah mula dimanfaatkan sepenuhnya oleh kelompok penulis kaum India.

Saranan Mohd. Taib Osman supaya kerajaan “tidak sunyi daripada memikul tanggungjawab” mengangkat Sastera Kebangsaan (Dewan Sastera, Februari 1971) memang masih terpakai sehingga kini, apatah lagi di bawah era kerajaan baharu.

Dalam situasi ini, penulis kaum India yang dikenali sebagai “Sasterawan Kavyan” perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan mereka turut sama menyumbang kepada usaha memperkaya Sastera Kebangsaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031646
    Visit Today : 605
    This Month : 14245
    Total Visit : 1031646
    Hits Today : 1833
    Total Hits : 4224105
    Who's Online : 8
  • Kategori