Judul: Dasar dan Kesan Pendidikan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945

Penulis: Ahmad Sohaimi Lazim

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM15

Pengulas: Hafizul bin Adnen

Dasar dan Kesan Pendidikan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945 merupakan hasil kajian Ahmad Sohaimi Lazim yang banyak merujuk pada sumber tempatan yang diperoleh daripada Arkib Negara di samping perpustakaan negeri dan universiti. Selain bahan bercetak, antara dokumen rasmi yang digunakan ialah rakaman temu bual dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Tun Abdul Ghafar Baba, Dato’ Ahmad Boestaman, Tun Hamdan Sheik Tahir dan mereka yang pernah melalui kehidupan semasa Zaman Penjajahan Jepun. Mengukuhkan lagi sumber penulisan termasuklah surat khabar dan majalah lama seperti Malai Sinpo, Syonan Times dan Perubahan Baharu.

Pendidikan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945.

Penulis menekankan dua topik utama dalam buku ini, iaitu dasar dan kesan pendidikan Jepun ke atas penduduk Tanah Melayu. Melalui matlamat pendidikan yang ingin dicapai oleh Jepun, kita dapat melihat sejauh mana pengaruhnya dalam melahirkan anak-anak tempatan yang berkeperibadian tinggi. Perkara ini menjadi faktor kekuatan bagi buku ini yang tidak pernah lagi disentuh secara mendalam dalam mana-mana penulisan berbahasa Melayu yang masih kurang topik khusus yang membincangkan dasar dan pendidikan Jepun di Tanah Melayu daripada perspektif pengkaji tempatan.

Matlamat dasar dan pendekatan yang diamalkan oleh tentera Jepun dalam mengendalikan soal pendidikan di Tanah Melayu bertujuan untuk mencapai kemuncak objektif mereka, iaitu merealisasikan lingkaran kemakmuran asia raya (greater east asia co-prosperity sphere) dan sektor pendidikan menjadi salah satu jalan bagi mencapai wawasan mereka itu. Ia turut digunakan sebagai alat propaganda yang berkesan bagi menyebarkan pengaruh Jepun dalam pemikiran anak-anak tempatan.

Pendidikan penting kerana membenarkan minda generasi penduduk Malai (Tanah Melayu) masa hadapan dapat dilatih daripada awal untuk mengikuti garisan shin chitsujo (orde baru) dan meninggalkan idea dan tingkah laku orang barat”.

(Petikan daripada akhbar Syonan Sinbun, 6 Mei 1943).

Falsafah pendidikan Jepun menekankan dua aspek bagi melahirkan individu unggul, iaitu membangunkan kemahiran vokasional dalam diri pelajar agar mampu mengatasi cabaran dalam hidup dan menanam semangat Jepun (seishen) agar membentuk jati diri utuh dan tidak terpengaruh dengan budaya barat. Berdasarkan falsafah ini, pendidikan Jepun ditekankan untuk mencapat empat matlamat utama, iaitu melahirkan kesetiaan kepada maharaja, menjadikan bahasa Jepun (Nippon-go) sebagai lingua franca di rantau Asia, menyuburkan seishin dalam kalangan masyarakat tempatan dan mematikan pengaruh barat dalam pelbagai aspek kehidupan penduduk. Secara umumnya, proses penjepunan (nipponization) ke atas penduduk Tanah Melayu digerakkan melalui pendidikan sebagai ejen utama.

Teori tanpa praktikal ibarat tin kosong. Maka Jepun melaksanakan pelbagai strategi bagi merealisasikan dasar dan matlamat pendidikan mereka. Isu pendidikan guru, pendidikan bahasa Jepun dan latihan kemahiran antara yang paling difokuskan kerana mempunyai kepentingan tersendiri di samping turut menanam semangat mengagungkan Jepun. Paling ketara sekali ialah aspek bahasa yang menyaksikan Jepun berusaha gigih mengembangkan Nippon-go bagi menjadikannya sebagai lingua franca untuk menggantikan bahasa Inggeris dan Melayu.

Kursus dan seminar bahasa Jepun sama ada bagi jangka pendek atau panjang dirangka untuk guru-guru di Tanah Melayu supaya mereka terlatih dan mahir mengajar subjek-subjek pelajaran dalam Nippon-go. Ini termasuklah pelajaran dalam bidang kesenian, sejarah dan geografi Jepun. Seiring dengan itu, elemen seishin turut dimasukkan dalam silibus kursus melalui latihan jasmani, kawad, latihan kendo dan adat istiadat Jepun. Latihan bahasa untuk orang dewasa turut dijalankan oleh Institut Syonan Nippon Gakuen yang menawarkan kursus bahasa selama tiga bulan. Manakala, di sekolah dan pejabat kerajaan, aktiviti harian dimulakan dengan upacara menaikkan bendera ‘kebangsaan’ (Hinomaru) dan menyanyikan lagu ‘kebangsaan’ (Kimigiyo) dengan menghadap istana maharaja dan melakukan tunduk hormat (Saikeirei).

Pada sisi lain, latihan kemahiran seperti pertanian, teknik dan vokasional turut diberi penekanan oleh Jepun. Ini bertujuan untuk melatih masyarakat agar dapat mengunakan kemahiran yang diperoleh bagi mengatasi masalah dalam kehidupan harian. Secara tidak langsung mendidik masyarakat supaya yakin dengan kebolehan mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan luar seperti di Barat. Tidak seperti Jepun, British kurang memberikan perhatian pada aspek latihan kemahiran.

Setelah dasar-dasar pendidikan Jepun dilaksanakan semasa era penjajahan, kesan-kesan jangka panjangnya terhadap anak tempatan yang pernah menerima didikan Jepun dapat difahami dalam bab keempat dan kelima. Strategi indoktrinisasi dan propaganda melalui pendidikan bagi mengukuhkan pengaruh Jepun tidak diterima bulat-bulat oleh penduduk Tanah Melayu. Sebaliknya, dasar dan sistem pendidikan Jepun yang bertujuan untuk menyebarkan propaganda mampu memberikan faedah dengan membentuk karakter dan pemikiran penduduk Tanah Melayu.

Mereka yang berpeluang menerima pendidikan dan latihan daripada Jepun, memanfaatkan kesempatan dengan menimba kemahiran dan pengalaman yang berguna. Hal ini dibuktikan sendiri oleh penulis dengan mengetengahkan pandangan dan pengalaman tokoh-tokoh tertentu seperti Tun Hamdan Sheikh Tahir, Tun Ghafar Baba, Tan Sri Azahari Taib dan Dato’ Abdullah Hussain yang berpeluang mendapat pendidikan dari Jepun.

Semangat berani, berdisiplin dan kuat berusaha merupakan nilai-nilai berharga yang telah diserap oleh penduduk yang menerima kesan dasar-dasar pendidikan daripada negara matahari terbit tersebut. Kenyataan ini turut diakui sendiri oleh Paul H. Kratoska di dalam buku beliau, The Japanese Occupation of Malaya, “Pendidikan Jepun menyedikan ‘jalan pintas’ untuk membantu rakyat menyerap nilai terbaik dalam budayanya dan memahami lebih baik pendidikan, kewangan dan polisi luar yang membolehkan Jepun menjadi negara hebat”. Hasilnya, tokoh-tokoh yang pernah disebutkan sebelum ini berjaya menempa nama dan kejayaan dalam bidang masing-masing. Mereka ialah bukti bahawa sistem pendidikan Jepun turut menyumbang pada pembentukan keperibadian unggul.

Walau bagaimanapun, kesan-kesan positif ini lebih tertumpu kepada golongan penduduk Tanah Melayu yang berpendidikan dan tidak menyeluruh kepada seluruh masyarakat. Untuk kebanyakan orang, pendidikan kurang signifikan berbanding dengan ekonomi yang kian teruk dan kesukaran yang terpaksa mereka hadapi dalam mendapatkan makanan, pakaian dan lain-lain barang keperluan yang penting sewaktu era peperangan. Penulis membuat rumusan bahawa Jepun gagal menyediakan satu sistem pendidikan yang tersusun dan sistematik kepada penduduk Tanah Melayu. Hal ini kerana faktor masa pemerintahan yang singkat, peperangan yang berterusan, pendidikan bukan tumpuan utama pentadbiran tentera Jepun yang lebih memberikan perhatian pada pertahanan dan keselamatan negeri; kekurangan dana, guru terlatih dan peralatan; dan sikap masyarakat yang tidak memberikan penekanan pada pendidikan.

Di sebalik kegagalan tersebut, ia juga membuktikan bahawa sistem pendidikan Jepun walaupun dilaksanakan dalam tempoh singkat, berupaya menimbulkan kesan positif kepada sebilangan penduduk di Tanah Melayu yang kemudiannya muncul menjadi tokoh yang berjasa dalam pelbagai bidang. Tambahan pula, semangat nasionalisme atau Kebangsaan Melayu turut disemarakkan dengan pendekatan Jepun yang memberikan penekanan pada soal kebangkitan bangsa Asia daripada penjajahan Barat.

Kaedah pendidikan Jepun yang keras dan lasak meninggalkan kesan terhadap pembentukan pemikiran dan sikap individu kerana latihan yang diikuti dapat membentuk sikap tegas dan berdisiplin”.

(Tan Sri Azahari Taib dalam temu bual bersama penulis).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044771
    Visit Today : 1192
    This Month : 27370
    Total Visit : 1044771
    Hits Today : 4386
    Total Hits : 4289359
    Who's Online : 7
  • Kategori