Judul:  Feudalisme Eropah Barat Zaman Pertengahan

Penulis: Azmi Arifin

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM30

Pengulas: Hafizul bin Adnen

UMUMNYA, apabila berbicara mengenai topik feudalisme pasti dikaitkan dengan penindasan, kemunduran dan perhambaan. Sisi gelap feudalisme ini sudah lama tertanam dalam minda masyarakat. Doktrin tersebut mula berpengaruh selepas Revolusi Perancis, 1789 dan dipopularkan pula oleh pemikir terkenal seperti Adam Smith dan Karl Marx. Kesannya, timbul penyalahgunaan istilah feudal dan impak negatif yang sering dikaitkan dengan pengeksploitasian tanah dan penindasan.

Feudalisme Eropah Barat Zaman Pertengahan oleh Azmi Arifin menjernihkan kembali apa itu sistem feudal sewaktu awal kemunculannya, perkembangan sehingga keruntuhan amalan politik ini yang telah mempengaruhi dunia. Di samping membawa pembaca memahami sejarah sistem sosial Eropah Zaman Pertengahan dari sisi yang berbeza.

Secara umum, para sarjana moden mempunyai dua konsep feudalisme yang berlainan. Pertama ialah tafsiran sempit yang hanya menekankan aspek ketenteraan atau politik sahaja. Kontradiksi dengan yang sebelum ini, pandangan kedua yang turut dipengaruhi aliran Marxis dan Annales telah membuka konsep feudalisme dengan lebih luas. Politik, tentera, ekonomi, fasiliti awam, sosial masyarakat dan corak pemikiran merupakan ciri-ciri yang perlu hadir bagi menepati syarat sebagai sebuah masyarakat feudal.

Pandangan tersebut merupakan fokus utama penulis dalam kajiannya ini dengan menumpukan karakteristik utama institusi feudal yang merangkumi hubungan saling bergantungan antara kesateria (Knight) dengan tuan tanah (Lord) atau bangsawan, undang-undang yang mengikat mereka, amalan pemberian tanah (fief), peranan tentera serta hak-hak kerajaan ke atas Lord. Walaupun penulis tidak menyentuh kesemua karakteristik masyarakat feudal, namun asas-asas penting yang membentuk organisasi dan institusi feudal seperti yang diketengahkan dapat membantu pembaca memahami dengan lebih mudah berkenaan feudalisme.

Secara ringkasnya, definisi teras feudalisme ialah sistem sosial yang wujud semasa Zaman Pertengahan di Eropah, iaitu penduduk diberikan tanah dan perlindungan oleh bangsawan dan mereka perlu berkerja dan berperang sebagai balasan. Feudalisme mula terbentuk dengan ketara sejak kurun ke-9 di Perancis dan menemui jalannya dalam suasana ketidakpastian dan kecelaruan di Eropah selepas keruntuhan empayar Imperial Rom Barat yang selama ini menjadi pemusatan kuasa. Sistem tersebut menjadi satu penjana tenaga baharu dalam mengerakkan masyarakat Eropah. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini ialah sistem politik alternatif bagi menjamin kelangsungan kuasa raja, bangsawan dan kehidupan rakyat.

Feudalisme muncul kerana ketidakstabilan kerajaan pusat yang menyebabkan kesetiaan rakyat beralih kepada pemerintah setempat, iaitu tuan tanah atau bangsawan yang dapat memberikan mereka perlindungan. Selain itu, keperluan tanah untuk pertanian bagi menyokong kehidupan dan keadaan yang tidak stabil seperti peperangan dan epidemik turut menyumbang kepada kelahiran amalan politik tersebut.

Sistem Ekonomi Manor

Tradisi sistem sosial Rom dan puak gasar Jerman dikaitkan dengan genesis awal sistem feudal di Eropah. Hakikatnya, elemen-elemen feudalisme dapat dikesan sejak era Republik Rom lagi melalui reformasi-reformasi pemilikan tanah diselang-selikan dengan perang saudara. Kemudian diadaptasi oleh puak-puak gasar Jerman apabila mereka membanjiri wilayah Rom melalui Danube dan Rhine sewaktu zaman Imperial.

Hak keistimewaan warga Rom dan tanah-tanah diberikan kepada puak gasar Jerman dengan harapan mereka dapat berjuang di sisi Rom apabila angkatan Legion Rom sendiri sudah hilang kewibawaannya bagi menghalang puak-puak gasar lain seperti Huns yang telah mencerobohi wilayah Rom.

Bab ke-3, iaitu tentang Prinsip dan Tanggjungjawab Feudal cukup menarik kerana menyentuh secara mendalam lagi konsep feudalisme yang merangkumi prinsip dan tanggungjawab mereka yang tertakluk dalam institusi ini, sumpah kesetiaan, kontrak feudal, keistimewaan dan kekebalan, penjagaan harta, hubungan, tugas dan tanggungjawab antara Lord dan kesateria, membuktikan bahawa sistem ini mengikut perundangan dan mempunyai tatacaranya yang tersendiri.

Golongan yang berada di sebalik sistem feudal dijelaskan pula dalam bab ke-4. Feudalisme tidak akan wujud sekiranya tiada pengerak yang membentuk hierarki masyarakat feudal dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap lapisan yang bermula daripada raja, bangsawan, kesateria berkuda, paderi dan akhir sekali petani. Kita juga dapat melihat bagaimana feudalisme ini terus bernafas melalui kegiatan ekonomi manorialisme yang memerlukan pergantungan antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan hidup. Fungsi petani-serf dalam sesebuah manor cukup signifikan kerana bermula daripada hierarki terbawah maka yang di atas dapat bertahan.

Perkara ini turut membuktikan monopoli Lord ke atas sistem politik kerana mereka memegang kunci yang paling diinginkan oleh seorang pemerintah, iaitu kesateria atau tentera. Manakala, raja pula memegang kunci paling bernilai dan menjadi rebutan sejak zaman dahulu lagi, iaitu tanah. Hubungan simbiosis ini walaupun bukanlah sentiasa harmoni, ia merupakan penyelamat kepada sistem monarki di Eropah. Selepas Perancis, amalan politik ini terus bertapak kukuh di England, Jerman dan Itali.

Monopoli bangsawan terus bertahan selagi mana hubungan dalam sistem feudal tidak terganggu. Sebaliknya, untuk monarki atau kerajaan pusat menjadi berkuasa semula ia harus memecahkan monopoli Lord setelah sekian lama mendominasi politik.

Kemerosotan feudalisme bermula dari kurun ke-13 hingga ke-17 dengan keamanan beransur-ansur dipulihkan semula. Secara tidak langsung mengalakkan perkembangan ekonomi. Pertanian tidak lagi menjadi sandaran kerana perdagangan kembali rancak yang menjana sumber kewangan untuk kerajaan pusat. Malah perindustrian muncul sebagai sumber ekonomi baharu. Justeru itu, perbelanjaan ketenteraan untuk kerajaan pusat sendiri yang lebih berdedikasi dan setia dapat diuruskan.

Hal ini sekali gus membuktikan bahwa kuasa tentera kembali semula kepada raja. Hakikatnya tentera sudah lama memainkan peranan halus mereka sebagai ‘king maker’ sejak Imperial Rom lagi. Runtuhnya Rom, maka kuasa ini beralih kepada penguasa tempatan kerana ketiadaan kerajaan pusat yang kuat. Dengan adanya tentera sendiri, kuasa raja diperkukuhkan dan muncul corak baharu berasaskan negara bangsa. Lantas tiada lagi keperluan untuk bergantung pada bangsawan dan tuan tanah.

Tambahan pula, Perang Salib turut mendorong kejatuhan awal feudalisme. Para Lord yang tersentuh dengan isu kristianiti sanggup menjual tanah mereka bagi perbelanjaan ke tanah suci Jerusalem. Mati berjuang atau menjadi Baron baharu di tanah suci. Yang pasti pilihan ketiga hampir tidak wujud kerana tiada individu yang sanggup pulang ke tanah air hanya untuk menjadi miskin selepas menjual tanah mereka, kecuali mereka ada perancangan sokongan yang lain.

Buku ini sesuai untuk bacaan umum. Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan agar peta yang dipaparkan dapat diselaraskan dalam bahasa Melayu dan dibesarkan lagi supaya lebih jelas dan terang. Selain itu, Ilustrasi perlu diletakkan agar pembaca dapat memahami konsep tertentu seperti manorialisme. Hal ini penting bagi membolehkan pembaca dapat menambah kefahaman dengan lebih lancar bagaimana sistem feudal itu berjalan dalam masyarakat.

Sistem Feudal

Namun begitu, Sedikit kekurangan tidak menghalang objektif utama buku ini sampai kepada pembaca kerana ia menyentuh satu aspek berbeza berkaitan sejarah sosial masyarakat Eropah yang membuka jalan penyatuan hingga membentuk negara bangsa Eropah moden. Pada pandangan saya, feudalisme bukanlah sejahat seperti yang kita sangkakan. Sebaliknya, feudalisme ialah penyelamat Eropah yang memainkan peranan besar dalam mengerakkan jentera monarki.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046746
    Visit Today : 362
    This Month : 29345
    Total Visit : 1046746
    Hits Today : 746
    Total Hits : 4295548
    Who's Online : 8
  • Kategori