Oleh Muhammad Muqris Alif bin Zairiasdi

 

MALAYSIA memiliki keistimewaan yang berkait rapat dengan ciri-ciri latar belakang masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai etnik. Mereka saling berhubungan dengan menggunakan bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian sehingga membolehkan mereka bertutur dengan fasih. Keadaan ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia dapat hidup bersatu walaupun mempunyai bahasa, agama dan kepercayaan yang berbeza.

Kepelbagaian makanan etnik di Malaysia.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 sebagai sebuah negara dengan identiti nasional tersendiri, penubuhan ini diikuti dengan pembentukan satu bangsa Malaysia yang saling bertolak ansur dan sentiasa memahami segala adat atau kepercayaan setiap kaum atau dengan kata lain menghormati antara satu sama lain. Kumpulan etnik di Malaysia telah diberikan kebebasan dalam mengamalkan cara hidup masing-masing termasuklah perkara yang berkait dengan warisan budaya.

Antara aspek yang menyumbang pada keunikan masyarakat Malaysia ialah kepelbagaian makanan yang dijadikan sebagai salah satu warisan etnik-etniknya. Aspek ini memberikan ruang pada pembentukan kesepaduan sosial yang secara tidak langsung mencerminkan latar belakang kehidupan masyarakat Malaysia.

Setiap kumpulan etnik memiliki warisan jenis makanan yang beraneka jenis, warna dan rasa serta memaparkan sejarah masakan yang menarik untuk diketahui dan dipelajari bersama.
Sebagai contoh, nasi dagang yang begitu terkenal di negeri Kelantan dan Terengganu merupakan salah satu makanan utama yang tersenarai sebagai makanan warisan kebangsaan. Jika diseluruhi kisah di sebalik nasi dagang ini, apabila kita merujuk pada versi asal usul makanan ini daripada negeri Terengganu, masyarakat nelayan di Terengganu dikatakan telah menghasilkan nasi dagang sebagai bekalan buat mereka ketika keluar mencari rezeki di lautan. Nasi yang dihasilkan dengan santan dan mempunyai lauk ikan yang berkuah, bertujuan untuk memberikan tenaga yang mencukupi untuk bertahan semasa mereka sedang bekerja di lautan.

Malah, pada suatu ketika dahulu, golongan nelayan yang tinggal berhampiran dengan istana di Terengganu juga telah mempersembahkan hidangan ini kepada pihak istana setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidilfitri. Hal ini dianggap sebagai satu simbolik kerana hidangan nasi dagang juga merupakan antara hidangan kegemaran golongan kerabat istana dan merupakan hidangan istimewa pada setiap kali acara dan perayaan di Terengganu.

Dalam kalangan etnik Cina, kuih bulan antara makanan yang terkenal. Kuih bulan ialah sejenis kuih yang manis dan mengandungi pelbagai inti seperti kacang merah ataupun telur asin. Kini, di Malaysia terdapat pelbagai versi kuih bulan dan terdapat juga kuih bulan yang halal yang sesuai untuk orang Islam menikmatinya. Menurut hikayat Cina, kuih bulan berasal daripada sebuah kisah lalu di negara China semasa pemerintahan puak Monggol ketika Dinasti Yuan yang merupakan seorang pemerintah yang tegas dan kejam. Pada suatu malam ketika bulan mengambang, mereka membuat kuih bulan beramai-ramai dan dipertengahan kuih tersebut diletakkan pesanan yang menerangkan cara untuk memberontak. Ada kisah lain pula mengatakan bahawa kuih bulan diperbuat sebagai tanda untuk persembahan Dewa Dapur.

Dalam kalangan etnik India, makanan tradisional yang kering dan berbentuk gelung, dipanggil Vadai menjadi makanan kegemaran kebanyakan etnik lain di Malaysia. Dapat dilihat di pasar-pasar tani di Malaysia, Vadai turut dijual oleh para peniaga Melayu di sekitar bandar atau kampung.

Keadaan ini telah menjadikan Malaysia memiliki aset yang amat bernilai dari segi kepelbagaian makanan yang bukan sahaja membantu proses mengeratkan ikatan perpaduan tetapi juga sebagai satu produk dalam menarik minat pelancong luar yang datang melawat Malaysia. Hal yang sama juga berperanan dalam menyatupadukan pelbagai etnik dalam sesebuah masyarakat dan juga membahagikan individu kepada kumpulan sosial tertentu dalam masyarakat. Penyatupaduan dan pembahagian tersebut bergantung pada ruang sosial sesuatu makanan mengikut fungsi dalam masyarakat.

Model sosial makanan masyarakat di Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu ruang awam dan ruang bukan awam. Dalam konteks ruang awam, seperti majlis perkahwinan atau jamuan raya, pelbagai aneka juadah dihidangkan supaya tetamu yang hadir mempunyai pilihan untuk memilih makanan yang tidak dilarang mengikut kepercayaan agama mereka. Tindakan kolektif seperti ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman dan sikap hormat-menghormati terhadap budaya dan agama etnik yang berbeza dapat mengeratkan kesepaduan sosial.

Konteks ruang bukan awam selalunya dikaitkan dengan satu ruang yang berkait dengan acara keagamaan atau kepercayaan. Sebagai contoh majlis aqiqah bagi orang Islam, daging yang dimasak bagi majlis tersebut itu tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam. Walaupun begitu, mereka, merujuk kepada bukan Islam, masih boleh hadir tetapi hendaklah diberikan hidangan yang berbeza dan penulis percaya hal ini bukanlah satu bebanan untuk tuan rumah.
Dalam kehidupan harian, kesepaduan sosial boleh dilihat menerusi tempat-tempat makan umum seperti di restoran milik kaum Melayu, restoran mamak yang biasanya beroperasi 24 jam, restoran kopitiam yang selalunya dimiliki oleh kaum Cina atau Melayu, atau di tempat-tempat makan yang eksklusif. Pelbagai bangsa dan agama bertumpu di tempat berkenaan, menikmati makanan yang juga bersifat pelbagai dan secara tidak langsung dapat dilihat atau diperhatikan interaksi antara mereka berlaku yang secara tidak langsung dapat membentuk kesepaduan sosial yang lestari.
Makanan daripada pelbagai jenis mi, sup atau kuih pau misalnya, antara makanan yang menjadi kegemaran etnik Cina tetapi makanan tersebut juga digemari oleh etnik Melayu. Begitu juga dalam hal makanan seperti roti canai, tosai yang popular dalam kalangan etnik India, ambuyat yang popular dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak menjadi kegemaran masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama. Hal ini secara tidak langsung telah menjalinkan kesepaduan sosial.

Kesimpulannya, kita dapat lihat betapa makanan merupakan satu aspek yang penting dalam mengukuhkan jalinan sosial antara etnik di Malaysia. Kesepaduan sosial yang terbina daripada aspek ini dapat membuktikan kepada dunia bahawa negara Malaysia boleh dijadikan sebagai sebuah negara contoh, iaitu walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik, ras dan agama, namun masih dapat bersatu dan saling hormat menghormati.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044770
    Visit Today : 1191
    This Month : 27369
    Total Visit : 1044770
    Hits Today : 4382
    Total Hits : 4289355
    Who's Online : 10
  • Kategori