Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

 

SEJARAH kemunculan kesusasteraan dalam tamadun dunia dan tamadun Melayu di Nusantara telah memaparkan kesenian bahasa manusia menerusi kemahiran berbahasa, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran pertuturan manusia yang turut diungkapkan dalam khazanah sastera rakyat dan puisi. Seterusnya, sejarah kemunculan tradisi tulisan dalam kesusasteraan telah berkembang ke dalam bentuk sastera lisan dan tradisi lisan (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: xix). Selain itu, kemunculan sastera lisan dalam kehidupan seharian manusia turut menampilkan kesenian bahasa yang dipersembahkan melalui deria telinga manusia yang mendengar muzik, menghayati lagu, irama lagu dan bunyi unggas yang melatari kehidupan manusia dan alam sekitar. Kesenian bahasa dalam puisi Melayu tradisional terkandung dalam pantun, syair, gurindam, endoi, rejang, dikir, zikir, rubai nazam, masnawi, ghazal, barzanji, kit’ah, seloka, teromba, talibun peribahasa dan lagu rakyat (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 227-228).

Kemunculan sebuah karya kesusasteraan merupakan sebuah hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Selain itu, kemunculan sebuah karya kesusasteraan juga merupakan sebuah kumpulan buku yang menampilkan kesenian bahasa, keindahan bahasa dan isi kandungan yang baik. Oleh yang demikian, definisi kesusasteraan dari segi bahasa menurut Ayadurai Letchumanan dan Sivachandra Sundaralingam dalam Tamadun Dunia Edisi Kedua (2004) berasal daripada perkataan dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud “Casytra”, iaitu kitab suci dalam agama Hindu. Tegasnya, definisi kesusasteraan melambangkan segala keindahan ucapan dalam bentuk tradisi lisan dan tulisan yang wujud dalam kehidupan masyarakat (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: xx-xxi).

Kesenian bahasa dalam kesusasteraan Melayu moden dan kesusasteraan Melayu tradisional tercipta daripada penyatuan kesusasteraan dengan kesenian sebagai bidang ilmu. Selain itu, kesenian bahasa dalam dunia pendidikan kesusasteraan Melayu di Malaysia diperkenalkan dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif 922 bagi empat kertas peperiksaan melibatkan peperiksaan akhir penggal dan kerja projek yang menggantikan Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu daripada Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 2003. Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif 922 telah dilaksanakan bermula pada tahun 2012.

Fokus Teras Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (922) Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dalam sistem modular terkini bertujuan untuk merangsang perkembangan sahsiah dari segi estetik menerusi kajian dan penghayatan para guru dan pelajar terhadap karya agung Sejarah Melayu, novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dan teks Permata Sastera Melayu. Kesenian bahasa dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (922) Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) terkini mengkomunikasikan ilmu kesusasteraan Melayu dalam penulisan kreatif, prinsip pengurusan dan multimedia menerusi kecekapan berbahasa dan kesenian bahasa yang perlu dikuasai oleh para pelajar dan para guru Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

Kesenian bahasa dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur menampilkan penggunaan gaya bahasa moden dan dialog.

Keunggulan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, karya Sasterawan Negara Keris Mas merupakan teks kajian wajib novel berdasarkan Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM merangkumi dua penggal pengajian berdasarkan senarai yang berikut:

  • Sukatan Pelajaran 922/2 Penggal 2 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 2.
  • Sukatan Pelajaran 922/3 Penggal 3 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 3.
  • Sukatan Pelajaran 922/4 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 4.

Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan kajian novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dalam Sukatan Pelajaran 922/2 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 2, Sukatan Pelajaran 922/3 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 3 dan Sukatan Pelajaran 922/4 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 4 memaparkan kesenian bahasa Melayu moden yang mudah difahami oleh guru, pelajar dan para pembaca. Selain itu, kesenian bahasa turut dipaparkan dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1982) menerusi keindahan gaya bahasa dialog, penggunaan bahasa Melayu moden era pascamerdeka dan penggunaan bahasa Inggeris dalam perbualan seharian seperti dalam petikan yang berikut:

Malam bertambah larut. Datuk Tan mulai terasa dingin mengigit tulang-tulang dalam
tubuhnya. Dia bangun dari kerusi dan mematikan air-con di dinding lalu terus
membuka sebuah jendela. Ada terasa khuatir dalam hatinya kalau-kalau datang
orang jahat menyerbu masuk dari jendela itu. Dia tidak jadi membuka jendela tetapi
mencapai baju sejuk acrylic dari sangkutan baju khas di sudut bilik.

(Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, 2014: 12)

Kesenian bahasa Melayu klasik dalam teks kajian Permata Sastera Melayu (2012) terkandung dalam Hikayat Hang Tuah (Bab VII dan Bab XIX), Hikayat Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam Berlawan dengan Raksasa), Hikayat Peri Menyatakan Nabi Wafat dan Taj Us-Salatin. Selain itu, kesenian bahasa Melayu moden dalam teks Permata Sastera Melayu turut dipaparkan dalam cerpen “Usia Emas”, “Mitos Secekak Kertas Tisu”, “Melankoli di Atas Rumput”, “Anak-anak yang Bergelimpangan”, “Di Sebalik Sirat Makna” dan drama “Asiah Samiah”, karya Johan Jaafar (Permata Sastera Melayu, 2012: vii).

Pengajaran dan Pembelajaran (PdPc) Karya Agung Sulalatus Salatin dalam Sukatan Pelajaran 922 Kesusasteraan Melayu Komunikatif: Penggal 2 memaparkan kesenian bahasa Melayu klasik menerusi kesenian bahasa pantun dan seloka dalam peristiwa Peminangan Puteri Gunung Ledang di Gunung Ledang sebagai menjunjung titah Sultan Mahmud Shah yang berhajat untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Kesenian bahasa pantun dan seloka dalam kisah “Meminang Puteri Gunung Ledang” memaparkan kesenian gaya bahasa Melayu klasik berdasarkan dua baris seloka dan dua rangkap pantun yang berikut:

“Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang.”

Maka disahut oleh bunga tanjung, katanya:

“Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.”

Maka dijawab oleh bunga telipuk:

“Kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.”

(Sulalatus Salatin, 2003: 214)

Keindahan bahasa pantun menjadi daya penarik dalam karya agung Sulalatus Salatin.

Keindahan bahasa pantun menjadi daya penarik dalam karya agung Sulalatus Salatin.Keindahan bahasa pantun menjadi daya penarik dalam karya agung Sulalatus Salatin.Kesenian bahasa dalam karya sastera berdasarkan bentuk bahasa yang digunakan dalam karya prosa dan puisi (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003). Selain itu, kesenian bahasa dalam karya prosa memaparkan hasil kesusasteraan yang ditulis dalam ayat biasa yang menggunakan struktur bahasa dan tatabahasa yang gramatis, selain mudah difahami oleh pembaca. Lazimnya, kesenian bahasa dalam karya prosa menunjukkan susunan ayat dalam bentuk karangan. Prosa adalah satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi yang menampilkan kesenian bahasa yang lebih kompleks, abstrak, konkrit dan menuntut pemahaman yang subjektif. Genre sastera yang bersifat prosa ialah cerpen, novel dan drama.

Kesenian bahasa dalam puisi pula merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan tidak menurut hukum tatabahasa berdasarkan aspek bahasa yang gramatis dalam bidang sintaksis dan morfologi. Selain itu, kesenian bahasa dalam puisi sebenarnya tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap, malah terdiri daripada susunan frasa dalam bentuk baris, selain rangkap demi rangkap. Malah, kesenian bahasa puisi terkandung dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif Penggal 1 menerusi puisi Baha Zain, Adi Badiozaman Tuah, T. Alias Taib, Dharmawijaya, Kemala dan Abdul Ghafar Ibrahim. Tegasnya, kesenian bahasa dalam puisi Melayu tradisional terkandung dalam pantun syair, gurindam, seloka, teromba, talibun dan mantera.

Kepentingan kesenian bahasa dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM melambangkan hasil penyatuan bidang kesusasteraan dengan seni. Kesenian bahasa dalam sastera telah bermula daripada sejarah kemunculan karya sastera dalam tamadun dunia dan tamadun Melayu. Tegasnya, kesenian bahasa dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM terkandung dalam karya prosa, puisi, novel, cerpen, drama dan penulisan kreatif.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043929
    Visit Today : 350
    This Month : 26528
    Total Visit : 1043929
    Hits Today : 944
    Total Hits : 4285917
    Who's Online : 15
  • Kategori