OLEH NURUL JULIA ALANI HENRY

Teo Nie Ching menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Dato’ Padilah Ali.

SABAN tahun, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Anugerah MAPIM-KPM bagi memberikan pengiktirafan kepada penerbitan buku ilmiah. Anugerah MAPIM-KPM 2018 edisi ke-12 terus diadakan bagi tujuan pengiktirafan kepada karyawan dan penerbitan atas sumbangan memajukan dunia penerbitan ilmiah di Malaysia. Bagi memastikan anugerah bidang penerbitan ilmiah ini terus bersemarak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah diberi kepercayaan sebagai tuan rumah Anugerah MAPIM-KPM 2018.

Jawatankuasa MAPIM ditubuhkan sejak tahun 1996, dengan keahliannya yang terdiri daripada semua penerbitan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pusat penyelidikan di Malaysia, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Majlis anugerah berprestij peringkat kebangsaan ini bukan sekadar meraikan pemenang, tetapi juga menghargai penulis, editor dan pereka bentuk dalam kalangan ahli MAPIM. MAPIM bergiat aktif dalam pembangunan bidang penerbitan ilmiah dan saintifik.

Anugerah MAPIM-KPM 2018 mempertandingkan enam kategori, iaitu Buku Ilmiah Terbaik, Buku Ilmiah Umum Terbaik, Karya Suntingan Terbaik, Editor Naskhah Terbaik, Makalah Jurnal Terbaik dan Reka Bentuk Buku Terbaik. Bagi kategori Buku Ilmiah Terbaik, Karya Suntingan Terbaik, Makalah Jurnal Terbaik dan Editor Naskhah Terbaik, setiap kategori tersebut dibahagikan kepada dua bidang, iaitu Sains Sosial Kemanusiaan dan Sains Teknologi Perubatan.

Editor Bahagian Buku Umum DBP, Siti Mariam Othman memenangi Anugerah Editor Naskhah Buku Terbaik Kategori Sains, Teknologi dan Perubatan.

Sebagai badan yang menerbitkan banyak buku ilmiah dalam bahasa Melayu, DBP berjaya memenangi tiga kategori, iaitu Anugerah Utama Buku Ilmiah Umum Terbaik bagi buku berjudul Emas Ratu Segala Logam karya Wan Fuad Wan Hassan, Anugerah Penghargaan Editor Naskhah Buku Terbaik (Sains, Teknologi dan Perubatan) menerusi buku Siri Pereputan Uranium-Torium di Persekitaran Marin yang disunting oleh Siti Mariam Othman, dan Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Kemanusiaan dan Sains Sosial) bagi buku berjudul Undang-undang Pengambilan Tanah karya Abdul Aziz Husin.

Selain DBP, Penerbit Universiti Sains Malaysia turut memenangi Anugerah Utama bagi kategori Buku Ilmiah Terbaik (Bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial) melalui buku Ibarat Nyiur Gading: Raja Haji Yahya dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Abad ke-20 hasil tulisan Profesor Dr. Jelani Harun.Penerbit Universiti Teknologi Malaysia pula memenangi Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Bidang Sains, Teknologi dan Perubatan) melalui buku Construction Noise: Issues, Measurements and Predictions hasil tulisan Profesor Madya Dr. Zaiton Haron, Dr. Khairulzan Yahya dan Dr. Nadirah Darus.

Selain penyampaian anugerah kepada pemenang, Anugerah Sanjungan Budi juga disampaikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mantan pengerusi jawatan kuasa pelaksana MAPIM dan pengarah penerbit, di samping pelancaran buku baharu terbitan tahun 2019. Selain UNIMAS yang bertindak selaku tuan rumah, kejayaan penganjuran MAPIM-KPM 2018 turut disokong oleh Lembaga Pelancongan Sarawak dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Teo Nie Ching menandatangani plak besar sebagai tanda perasmian Anugerah MAPIM-KPM 2018.

Majlis Anugerah MAPIM-KPM 2018, yang berlangsung pada 27 Jun 2018 di Hotel Marriott Putrajaya, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching. Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, naib canselor universiti awam, serta wakil pegawai pengurusan dan profesional universiti awam. Dalam ucapannya, Teo Nie Ching berharap agar anugerah ini terus menjadi pendorong untuk menggalakkan penulisan buku dan makalah ilmiah khususnya, serta menampilkan reka bentuk buku yang menarik dan segar.

Seiring dengan aspirasi UNESCO yang mengiktiraf Malaysia sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020, MAPIM perlu terus menjadi penggerak utama sebagai pembekal kandungan karya ilmiah di Malaysia, khususnya penyelidikan buku ilmiah yang mencakupi pelbagai bidang seperti sains sosial kemanusiaan, sains teknologi perubatan dan sains kesihatan. Secara tidak langsung, usaha seperti ini dapat memperkasakan para ilmuwan dalam mendepani cabaran dunia perbukuan dengan jayanya.

Penulis dan editor yang memenangi Anugerah MAPIM-KPM 2018 bergambar kenangan bersama-sama Dato’ Padilah Ali, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim (lima dari kiri), dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, Fauzilahyatun Mustafa (tiga dari kanan).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044132
    Visit Today : 553
    This Month : 26731
    Total Visit : 1044132
    Hits Today : 1616
    Total Hits : 4286589
    Who's Online : 14
  • Kategori