OLEH NORAZLINDA MISRAN

BAGAI sirih pulang ke ganggang, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh hadir ke High School Bukit Mertajam (HSBM), Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 10 Julai 2019 untuk program bersama-sama Sasterawan Negara (SN) dan penjenamaan semula pusat sumber sekolah dengan nama baharu “Pusat Sumber Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh”. Majlis ini telah disempurnakan oleh SN Muhammad Haji Salleh sendiri.

SN Muhammad Haji Salleh ketika melancarkan gimik pelancaran penjenamaan semula pusat sumber sekolah dengan nama baharu, “Pusat Sumber Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh”.

Kehadiran SN Muhammad telah mencatat sejarah tersendiri apabila beliau yang pernah bersekolah di HSBM kembali semula ke sekolah ini dan diberi penghormatan untuk merasmikan majlis penjenamaan semula pusat sumber sekolah yang menggunakan nama beliau sebagai menghargai pelajar yang pernah menuntut ilmu di HSBM.

SN Muhammad berkongsi pengalaman beliau sebelum menjadi penulis tersohor tanah air.

Dalam ucapannya, SN Muhammad menyatakan bahawa beliau dahulu merupakan seorang pelajar yang suka membaca dan sering memasuki pertandingan menulis. Apabila beliau kerap memenangi sesuatu peraduan itu, guru beliau ketika itu cikgu Mohan sering memberi galakkan kepada beliau untuk rajin membaca dan menulis. Bermula dari situ, minat beliau dalam bidang penulisan terus diasah dan digilap.

Selain itu, SN Muhammad juga menggalakkan pelajar untuk kerap membaca buku-buku luar negara agar impian untuk menjejaki negara-negara tersebut akan tercapai suatu hari nanti sebagaimana beliau yang bercita-cita untuk melawat negara luar sejak di bangku sekolah lagi. Sehingga kini lebih 70 buah negara pernah dijejaki oleh beliau. SN Muhammad juga telah mencadangkan kepada pihak sekolah agar mengadakan peraduan menulis cereka atau sajak setiap tahun dan hadiah utama akan ditaja oleh beliau sendiri.

En. Rahimi Ariffin, Pengarah DBP Wilayah Utara ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Program Dekad Bahasa Kebangsaan HSBM 2019 ini merupakan program kerjasama antara HSBM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menurut Rahimi Arifin, Pengarah DBP Wilayah Utara dalam ucapannya mengatakan bahawa menerusi program Sasterawan Negara bersama-sama masyarakat dalam perkongsian ilmu, idea, pengalaman, wawasan serta pendedahan proses kreatif akan memberikan impak tinggi terhadap pemerkasaan kesusasteraan dan persuratan Melayu.

Antara pelajar yang memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Program yang mempromosikan karya-karya tersohor para Sasterawan Negara seperti ini antaranya bertujuan untuk mendekatkan khalayak masyarakat mengenali dunia sastera Melayu secara lebih dekat di samping menggalakkan pembacaan karya Sasterawan Negara pada segenap lapisan masyarakat seperti yang dihasratkan dalam kerangka Dekad Membaca Kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, program yang diadakan seperti ini diharap dapat mengangkat sumbangan dan peranan Sasterawan Negara dalam pembinaan minda intelektual menerusi program keilmuan bersama khalayak.

Para hadirin bergambar kenangan bersama-sama Sasterawan Negara dan tetamu kenamaan yang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036046
    Visit Today : 824
    This Month : 18645
    Total Visit : 1036046
    Hits Today : 3080
    Total Hits : 4249170
    Who's Online : 13
  • Kategori