OLEH ROSANI HIPLEE

Momen Bersejarah Forum Remaja 2019, para peserta bergambar kenangan bersama-sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan tetamu kenamaan yang lain.

Pertandingan Forum Remaja bermula pada tahun 1989, dianjurkan secara bersama-sama oleh Persatuan Linguistik Malaysia, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai merealisasikan hasrat KPM untuk mewujudkan satu bentuk penggunaan bahasa Melayu yang seragam.

Di Sarawak, pertandingan ini bermula pada tahun 1990 dan dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Shell Berhad (SHELL) sebagai penaja utama. Pertandingan ini juga mendapat kerjasama daripada Unit Bahasa Malaysia di Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan agensi kerajaan yang lain.

Pada tahun pertama pelaksanaannya, pertandingan ini dilangsungkan pada peringkat bahagian bagi memilih sembilan pasukan untuk ke pertandingan separuh akhir. Pasukan yang dipilih mara ke pertandingan akhir dan pasukan yang menjadi johan dibawa ke peringkat kebangsaan. Pada masa itu, SMK Dato Permaisuri, Miri, telah muncul sebagai johan.

Pada tahun berikutnya, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) pula menjadi penaja utama pertandingan ini dan sebuah piala baharu telah ditempah dengan perkenan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk meneruskan piala pusingan. Piala yang dinamakan sebagai Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak ini memperlihatkan perubahan format pertandingan dengan penjadualan sistem bahagian yang menggantikan sistem zon.

Pada tahun ini, penganjuran Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah mencapai usia 13 tahun. Pertandingan ini dibuka kepada pelajar sekolah menengah kerajaan tingkatan empat, lima dan enam di seluruh negeri Sarawak.

Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro, Johan Forum Remaja 2019.

Dari daerah Mukah, Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro, telah dinobatkan sebagai johan yang sekali gus akan mewakili negeri Sarawak di peringkat kebangsaan dari 24 hingga 26 Julai di Kuala Lumpur.

Pasukan johan ini dipengerusikan oleh Siti Nurzulaika Mustapha dan menampilkan Nurul Fatin Eddy Iswendy, Muhammad Aiman Fadhullah Zulkepli, dan Irna Ismail sebagai ahli forum. Tajuk “Perpaduan Tiang Seri Keharmonian Negara” yang diutarakan telah melayakkan mereka merangkul hadiah piala pusingan, wang tunai RM5000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan. Muhammad Aiman pula telah dipilih sebagai Ahli Forum Terbaik dengan memperoleh hadiah wang tunai RM500, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

Muhammad Aiman dinobatkan sebagai Ahhli Forum Remaja Terbaik 2019.

Naib johan pertandingan ini telah diraih oleh SMK Kota Samarahan dengan tajuk forumnya “Bangsa Membaca Bangsa Berjaya” yang dipengerusikan oleh Mohamad Fitri Azri, dan ahli forumnya ialah Wan Nuraina Aqilah Wan Nazarulihsan, Zakiah Abdullah dan Dayang Noor Asyiqin Abang Merzuki. Hadiah yang diterima ialah wang tunai RM4000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan. Selain itu, Mohamad Fitri telah dipilih sebagai Pengerusi Terbaik dengan memperoleh hadiah wang tunai RM500, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

Pengerusi Terbaik Forum Remaja 2019 dinobatkan kepada Mohamad Fitri Azri dari SMK Kota Samarahan.

Tempat ketiga disandang oleh SMK Kabong, Saratok, dengan mengusulkan tajuk forumnya “Isu Rokok: Sampai Bila?”. Pengerusinya Mohamad Azreen Afiq Zulkarnain dan ahli forumnya terdiri daripada Shazwani Izzati Masmos, Emylia Senawi dan Nur Fitri Adawiyah Materang. Pasukan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM3000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

Pertandingan Forum Remaja ini dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Tetamu kenamaan lain yang turut hadir ialah Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib, Dr. Annuar Rapa’ee, Datin Fatimah Abdullah, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, serta Dr. Haji Azhar Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika menyampaikan amanat seterusnya merasmikan Pertandingan Forum Remaja ini.

Dalam amanatnya, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan kebudayaan tinggi mestilah diperkukuh. Golongan pemikir dan ilmuwan bertanggungjawab untuk memindahkan kekayaan ilmu pengetahuan dunia ke dalam bahasa Melayu. Namun demikian, kearifan mereka dalam bahasa asing, khasnya bahasa Inggeris, juga diperlukan bagi menterjemahkan ilmu yang luas dalam karya yang dapat difahami oleh semua golongan masyarakat.

Dua persembahan istimewa turut menyerikan pertandingan kali ini. Tarian Zapin Kontemporari dipersembahkan oleh Kelab Kebudayaan Sekolah Menengah Persendirian Cina Chung Hua No.1 Kuching yang pernah bergelar johan dalam pertandingan The 8th Singapore International Dance Festival 2018 di Singapura. Nyanyian lagu Seri Sarawak pula didendangkan oleh Abdul Halim Hisamudin, juara Bintang Kecil 2015 dari SMK Bandar Samariang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035459
    Visit Today : 237
    This Month : 18058
    Total Visit : 1035459
    Hits Today : 1526
    Total Hits : 4247616
    Who's Online : 3
  • Kategori