Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

kadir

Abd. Kadir Mohd. Ayub (tengah) bersama-sama Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abg. Shokeran (no. lima dari kanan) dan staf DBP yang lain.

PADA 26 April 2019 yang lalu, berlangsung Malam Wartawan Malaysia 2019 di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Bersempena dengan Malam Wartawan Malaysia, turut diadakan majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS edisi ke-38. Penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS oleh Malaysian Press Institute (MPI) bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia.

Malam Wartawan Malaysia 2019 dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai tamu kehormat. Dalam ucapannya, Dr. Maszlee mengumumkan biasiswa khas kepada para wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Menurut beliau lagi, biasiswa khas itu merupakan hadiah kementerian bagi menghargai sumbangan dan peranan para wartawan dalam membentuk Malaysia baharu yang diidamkan oleh rakyat.

Dr. Malik juga menekankan iltizam kerajaan untuk mengukuhkan lagi kebebasan media di negara ini. Beliau memberitahu, kerajaan akan menyemak semula kerangka undang-undang yang dianggap mengongkong dan mengekang kebebasan media.

Tan Sri Johan dipilih sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Johan Jaafar menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara daripada Dr. Maszlee Malik.

Sebelum itu,Ketua Pegawai Eksekutif MPI yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2019, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih atas bantuan, tajaan dan kerjasama berterusan pelbagai entiti demi kelancaran penganjuran Malam Wartawan Malaysia dan kelangsungan majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia. Bagi beliau, usaha MPI ini sangat penting bagi memartabatkan karya kewartawanan terbaik yang dihasilkan dalam pelbagai platform media.

Sebagai acara kemuncak, Dr. Maszlee menganugerahkan gelaran Tokoh Wartawan Negara 2019 kepada Tan Sri Johan Jaaffar. Sebelum itu, Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Malaysia, Datuk A. Kadir Jasin, membacakan biodata serta perjalanan karier dan pencapaian terbaik Tan Sri Johan Jaaffar dalam dunia kewartawanan yang melayakkan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara yang ke-12.

Nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bergema di Manhattan Ballroom kerana Johan mula bertugas di DBP pada Julai 1977. Beliau pernah menjadi editor beberapa majalah DBP, Ketua Bahagian Majalah dan akhir sekali sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Sebelum itu, nama DBP juga disebut apabila editor Dewan Masyarakat, Abd. Kadir Mohd. Ayub terpilih sebagai pemenang kategori Penulisan Rencana Cemerlang. Beliau menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM10 000.00.

Anugerah Kajai dimenangi oleh wartawan Kosmo, iaitu Ahmad Mustakim Zulkifli dan Luqman Ridhwan Mohamed yang membawa pulang wang tunai RM30 000 berserta piala dan sijil penghargaan. Anugerah yang menjadi idaman para wartawan muda, iaitu Anugerah Wartawan Muda A. Samad Ismail dimenangi oleh Lee Chonghui (The Star) bagi kategori media cetak dan Mohd Safwan Sawi (TV3) bagi kategori TV.

Para pemenang bagi 20 kategori HKM MPI-PETRONAS bergambar bersama-sama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Para pemenang bagi 20 kategori HKM MPI-PETRONAS bergambar bersama-sama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman menerima Anugerah Khas Juri atas kecemerlangan beliau menjadikan AWANI  saluran berita paling disegani di tanah air. Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) pula mengungguli HKM MPI-PETRONAS 2018 apabila memenangi enam kategori utama. Semua kategori HKM MPI-PETRONAS 2018 dinilai oleh panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Yong Soo Heong.

Tetamu kenamaan yang turut hadir dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2019 ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd. Janor.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043401
    Visit Today : 1265
    This Month : 26000
    Total Visit : 1043401
    Hits Today : 4600
    Total Hits : 4284195
    Who's Online : 9
  • Kategori