OLEH JAYMANI A/P SEVANATHAN

SETELAH saya membaca dan meneliti buku Intelektual Masyarakat Membangun yang asalnya bertajuk Intellectuals in Developing Societies hasil penulisan Almarhum Syed Hussein Alatas, seorang pakar sosiologi, saya mula sedar dan terfikir akan impak negatif yang akan terjadi sekiranya tiada kelompok intelektual yang berfungsi sebagai pelopor idea pemikiran masyarakat. Oleh itu, buku ini wajib dibaca semua golongan, terutamanya mahasiswa dan anak muda.intelektual

Intelektual dan inteligensia membawa makna yang berbeza dan kedua-dua istilah ini sering dikelirukan. Intelektual ialah pemikir tentang sesuatu gagasan dan berupaya mencari penyelesaiannya. Selain itu, mereka juga merupakan pendukung atau penentang sesuatu ideologi budaya dan pembawaan masyarakat, serta melihat perkara dalam perspektif yang berbeza. Menurut James Maccregor Burns dalam bukunya Leaderships, intelektual merangkumi idea, nilai dan pengetahuan. Pada masa yang sama, intelektual membawa maksud seseorang yang terlibat secara analitis dan kritis dengan nilai, tujuan dan cita-cita yang diperjuangkan. Inteligensia pula, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membawa maksud kaum cendekiawan atau kaum intelek. Mereka mendapat tahap pendidikan tinggi yang formal dan moden.

Dalam buku tersebut, ditulis mengenai ketiadaan intelektual yang bermakna tiadanya kepimpinan dalam pengajuan masalah, pentakrifan masalah, analisis masalah dan penyelesaian masalah. Dalam pada itu, hal ini membawa kemunduran masyarakat daripada berkembang dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Antonio Gramsci, ahli falsafah politik berbangsa Itali dan pengikut Marxisme, membahagikan intelektual kepada dua kategori, iaitu intelektual tradisional dan intelektual organik. Intelektual tradisional merangkumi kelompok berilmu, seperti guru, pensyarah, ulama atau paderi, yang melakukan tugas yang sama berulang kali daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Peranan dan kedudukan mereka tidak berubah walaupun berlaku perubahan menyeluruh terhadap sistem sosial dan politik. Mereka juga lebih bersifat konservatif dan sentiasa terikat pada pemerintah.

Seterusnya intelektual organik berkembang seiring dengan kelas pemerintah dan berfungsi untuk faedah dan kepentingan kelas tersebut. Melalui mereka inilah, kelas pemerintah berupaya mengekalkan kekuasaannya terhadap seluruh masyarakat. Mereka terdiri daripada aktivis yang bergiat dalam kesatuan sekerja, parti politik atau organisasi bukan kerajaan (NGO). Mereka bergiat secara aktif dan berterusan untuk mempengaruhi fikiran dan pandangan masyarakat.

Mahasiswa dilihat mempunyai potensi untuk menjadi intelektual yang kritikal dan konstruktif pemikirannya.

Mahasiswa dilihat mempunyai potensi untuk menjadi intelektual yang kritikal dan konstruktif pemikirannya.

Satu kelompok intelektual yang dilihat dekat dengan masyarakat ialah mahasiswa. Mahasiswa merupakan golongan yang perlu melibatkan diri secara progresif dalam pembudayaan ilmu. Jika dilihat, mahasiswa berfungsi sebagai pembangkit idea kepada pembangunan masyarakat dan pemerintahan negara. Mahasiswa hendaklah mempunyai persepsi yang dualisme, iaitu betul atau salah, pandangan yang berbeza dan komprehensif, interpretasi dan justifikasi yang rasional.

Sememangnya mahasiswa dilihat mempunyai potensi untuk menjadi intelektual yang kritikal dan konstruktif pemikirannya namun, ke mana perginya fungsi sosial mereka demi persekitaran dan masyarakat? Sekiranya hiburan dan kebendaan yang diutamakan, siapakah yang bakal merealisasikan impian dan agenda serta hasrat yang didukung selama ini? Jawapannya terletak pada mahasiswa itu sendiri. Sekiranya mahasiswa tetap dengan pendirian mereka, maka segala-gala yang ingin dicapai atau direformasikan sudah pasti akan berlaku.

Mahasiswa yang bersifat kritikal dan matang bukanlah yang mengamalkan prinsip 3K – kuliah, kafe dan katil. Mahasiswa yang cita-citanya hanya untuk mendapatkan segulung ijazah dan gaji yang lumayan tidak mampu membawa sebarang perubahan. Gelaran mahasiswa memang satu “darjat” yang diagung-agungkan dengan menganggap semua mahasiswa pemangkin amanah negara dan boleh membawa transformasi intelektual. Namun, mereka tidak sedar bahawa mereka masih mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memacu perubahan yang drastik terhadap negara ini.

Mahasiswa perlu lebih membaca dan menulis idea yang muncul dalam pemikiran mereka. Idea penulisan dapat dibukukan dan disebarkan kepada masyarakat. Hal ini jelas menunjukkan bahawa menulis merupakan keberanian. Diskusi dan dialog bersifat ilmiah perlu diperbanyak dari semasa ke semasa. Kritikan dan cadangan bagi sesuatu isu yang timbul juga perlu ditingkatkan. Usahlah menjadi bebal yang bererti bodoh, malas dan keras kepala.

Adakah generasi muda akan terus mendiamkan diri dan bersikap malas dengan membiarkan sesetengah ahli politik mendominasi dan meracuni pemikiran masyarakat sehingga mereka mundur dan bergerak ke belakang? Tepuk dada tanya selera.

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043343
    Visit Today : 1207
    This Month : 25942
    Total Visit : 1043343
    Hits Today : 4146
    Total Hits : 4283741
    Who's Online : 10
  • Kategori