Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

Dr. Maszlee sedang meyampaikan ucapan perasmian.

Dr. Maszlee sedang meyampaikan ucapan perasmian.

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sudah menjadi acara tahunan negara dan memasuki edisi ke-38 pada tahun 2019. Acara yang menjadi perayaan bagi warga industri buku, termasuk penerbit dan penulis khususnya dan pencinta buku amnya berlangsung selama 10 hari bermula pada 29 Mac hingga 7 April di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. PBAKL yang pada mulanya dikenali sebagai Pesta Buku Malaysia, dan kemudiannya Pesta Buku Kuala Lumpur dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia, Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia, dan Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia. PBAKL 2019 mengetengahkan tema “Meluhurkan Dekad Membaca Kebangsaan” dengan slogan #MalaysiaMembaca.

Dr. Maszlee Malik bersama-sama Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta (no. dua dari kanan), Datuk Abang Sallehuddin (paling kanan) dan Abdul Wahab  (paling kiri) mempromosikan reruai Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2010.

Dr. Maszlee bersama-sama Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta (no. dua dari kanan), Datuk Abang Sallehuddin (paling kanan) dan Abdul Wahab (paling kiri) mempromosikan reruai Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2010.

“Secara simboliknya, minat terhadap buku merupakan manifestasi kecintaan kita terhadap ilmu. Tanpa kecintaan terhadap ilmu seseorang itu tidak mungkin berminat untuk membaca buku,” demikian kata Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dalam ucapan perasmian PBAKL 2019 yang berlangsung pada 30 Mac 2019. Beliau turut menyarankan agar semua pencinta buku membaca karya Charles Van Doren yang bertajuk How To Read A Book. Buku ini sama ada perlu dibaca atau pun dibicarakan oleh semua rakyat Malaysia bagi menghidupkan tradisi membaca dan berdiskusi.

Dr. Maszlee turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia kini menggerakkan Dekad Membaca Kebangsaan bagi menjadikan Malaysia sebagai “Negara Membaca” menjelang tahun 2030. Tambah beliau, tempoh antara tahun 2020 hingga tahun 2030 akan digunakan secara menyeluruh bagi melaksanakan Dekad Membaca Kebangsaan.

Istimewanya PBAKL pada kali ini dengan kehadiran reruai Ibu Kota Buku Dunia yang meraikan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020. Reruai tersebut berfungsi untuk menguar-uarkan perkembangan dan inisiatif terkini yang telah dirancang bagi mengisi agenda Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020. Selain itu, PBAKL edisi ke-38 juga mengundang khas Selangor sebagai Negeri Tamu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin Shari dalam ucapannya berkata, “Pemilihan Selangor sebagai Negeri Tamu dalam PBAKL 2019 adalah berdasarkan faktor kejayaan warganya yang komited menjadikan tabiat membaca sebagai gaya hidup pada masa ini.” Faktor utama yang mendorong pemilihan Selangor sebagai Negeri Tamu adalah berdasarkan kejayaannya menterjemah 29 karya agung daripada pelbagai bahasa, termasuk bahasa Arab, Perancis dan juga Inggeris kepada bahasa Melayu. Antara karya yang diterjemahkan ialah karya pengarang agung dari Timur dan Barat, seperti Imam al-Ghazali, Rene Descartes, Voltaire dan Plato.

MSS_9988

Barisan tamu kehormat PBAKL 2019.

“Pencapaian Selangor ini boleh dianggap memberansangkan, dan sebagai umat Islam, sudah tentu menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji dan mengetengahkan banyak lagi karya besar dalam khazanah ilmu Islam,” demikian kata Tuan Amirudin Shari yang berbangga dengan pemilihan Selangor sebagai Negeri Tamu yang sulung dalam pengisian PBAKL 2019.

Dalam ucapan sambutannya pula, Pengerusi 2 PBAKL merangkap Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Haji Ishak Hamzah berkata, “Hayat pertama industri buku bergantung kepada pembelian pasaran terbuka, disusuli oleh hayat kedua melalui tender dan pesanan kerajaan. Apabila kedua-dua hayat itu menjadi lemah, maka akan lemaslah industri buku”. Oleh hal yang demikian, Haji Ishak Hamzah mengakhiri ucapannya dengan tiga saranan, iaitu yang pertama, baucar buku bernilai RM100 diberikan kepada mahasiswa, yang kedua, memberikan dana kepada sekolah untuk mengisi perpustakaan sekolah dengan pembelian buku baharu, dan yang ketiga, insentif pelepasan cukai sebanyak RM1000 dikembalikan kepada pembayar cukai individu khusus untuk pembelian buku, malah diperluaskan dengan insentif pelepasan cukai sebanyak RM5000 kepada syarikat dan organisasi yang membeli buku.

Dr. Maszlee mengunjungi reruai Negeri Tamu, Selangor.

Dr. Maszlee mengunjungi reruai Negeri Tamu, Selangor.

Dengan menyasarkan 1.5 juta orang pengunjung pada tahun ini, PBAKL 2019 berjaya menarik lebih 700 pempamer yang melibatkan lebih 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura. Setelah menyempurnakan perasmian PBAKL 2019, Dr. Maszlee Malik meluangkan masa mengunjungi beberapa reruai, antaranya reruai Negeri Selangor, reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan reruai Iman Publication. Tetamu kehormat yang turut hadir memeriahkan perasmian PBAKL 2019 ialah Duta Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussin Qattan, Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abdul Wahab Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia, Adi Irwan bin Dato’ Haji Azhari dan Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi, Profesor Dr. Khalid Al-Mutlaq.

Sebagai tanda menyokong pelestarian alam sekitar, pihak penganjur PBAKL 2019 tidak menggalakkan penggunaan beg plastik oleh pempamer. Oleh hal yang demikian, para pengunjung digalakkan membawa beg kitar semula, beg sandang atau beg troli apabila mengunjungi PBAKL untuk membeli buku. Para pempamer juga disarankan supaya menyediakan perkhidmatan bayaran tanpa tunai dengan menggunakan kad debit, kad kredit dan aplikasi e-tunai.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014081
    Visit Today : 110
    This Month : 33426
    Total Visit : 1014081
    Hits Today : 266
    Total Hits : 4137068
    Who's Online : 10
  • Kategori