Foto Mahen2

Oleh M. MAHENDRAN

MENULIS karya kreatif sejak 30 tahun yang lampau bukanlah suatu perkara yang aneh ataupun mudah. Penduduk di negara ini rata-ratanya celik huruf tetapi tidak semua mempunyai keinginan untuk membaca ataupun menghargai penulis. Hal ini membingungkan saya selama ini. Lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar mahupun lepasan menara gading, peratus pembacaan dalam kalangan masyarakat semakin lama semakin berkurangan jika dibandingkan dengan dua puluh tahun yang lepas.

Namun, usaha untuk menulis dalam bahasa kebangsaan sentiasa berkobar-kobar walaupun saya tidak menulis secara konsisten. Saya mula menulis untuk akhbar dan majalah Tamil sejak umur 16 tahun dalam ruangan “surat daripada pembaca” dan pojok dengan menggunakan nama pena “M. Prabhu, Bentong”.

Untuk mengorak langkah dalam bidang penulisan ini, saya perlu berbuat sesuatu. Tidak ada maknanya menulis dalam ruangan “surat daripada pembaca” buat selama-lamanya. Untuk memudahkan saya menulis, saya memilih genre cerpen kerana membaca novel dan cerpen merupakan kewajiban saya.

Cerpen bahasa kebangsaan yang pertama saya hasilkan pada tahun 1987. Yang membanggakan saya cerpen sulung saya yang bertajuk “Karupaya” itu memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan menulis cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Malayan Banking. Cerpen berkenaan dijadikan judul kumpulan cerpen sulung saya yang terbit pada 2018.

Menulis cerpen bukanlah semudah membaca. Tumpuan amat diperlukan. Kita perlu tekun membaca dan menulis. Saya jenis manusia mudah berputus asa, lalu tidak menulis dengan berterusan kerana karya-karya selepas “Karupaya” tidak diterima oleh akhbar dan majalah berbahasa kebangsaan. Cerpen saya lebih mudah mendapat siaran dalam akhbar-akhbar berbahasa Tamil. Walaupun tidak dibayar, hati tetap gembira. Namun begitu, saya sudah pun menghasilkan lebih kurang dua puluh buah cerpen setakat ini, termasuk yang tidak disiarkan. Memang jumlah tersebut amat kurang.

Walaupun minat saya menulis tetapi saya lebih menghabiskan masa dengan membaca, menonton dan mendengar muzik. Jadi, cuma kadang-kadang sahaja saya menulis. Rintangan untuk menulis bukan semuanya dari luar. Saya sendiri adalah puncanya. Jika saya lebih rajin menghasilkan cerpen, contohnya sebulan dua buah cerpen, pasti dalam masa setahun sudah terhasil 24 buah cerpen. Mungkin dalam 24 buah cerpen itu pasti sekurang-kurangnya lapan buah cerpen disiarkan.

Saya sedar bahawa untuk menghasilkan karya bermutu, kita perlu mempunyai kepekaan terhadap bidang yang hendak ditulis. Tanpa pembacaan dan pengamatan yang rapi dan teliti, pasti seorang penulis tidak akan dapat menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

Idea untuk menghasilkan cerpen diperoleh daripada apa yang berlaku di sekeliling kita. Berita akhbar dan televisyen dijadikan inti pati penting dan menjadi cerita di dalam minda. Watak-watak akan hidup dengan sendirinya di atas kertas; bergerak mengikut rentak jari-jemari saya. Tajuk akan wujud bila-bila masa, baik sebelum penulisan dimulakan ataupun semasa ditamatkan.

Dengan begitulah terhasilnya cerpen-cerpen saya seperti “Senjakala”, “Di Sebalik Seorang Pembunuh”, “Saat-saat Terakhir” dan “Yang Dibuang Itu” yang membawa perihal gejala sosial yang melanda masyarakat kaum India khasnya, dan rakyat Malaysia amnya. Setiap cerpen digarap begitu rupa dan diedit sebelum dihantar untuk diterbitkan.

Di negara ini, memang sukar untuk menyara hidup sebagai penulis sepenuh masa. Saya yang selama ini bekerja 12 hingga 14 jam sehari cuma dapat menulis pada hari cuti. Jadi, saya cuma dapat menulis secara berdikit-dikit. Sebuah cerpen tidak dapat dihasilkan dengan sekali duduk sahaja. Mungkin ada orang yang menulis secara prolifik dan dapat menulis dengan cara begitu. Hal ini berbeza dengan saya kerana saya memerlukan masa paling kurang sebulan lamanya.

Malah, bukan semua cerpen yang kita kirim akan disiarkan pula. Hal ini juga dapat membantutkan semangat kita untuk terus menulis. Yang penting, tulisan mestilah bermutu dan tidak ada kesalahan fakta, tatabahasa dan ejaan. Inilah faktor-faktor penting bagi editor untuk menyukai karya atau manuskrip yang kita hasilkan dalam mana-mana bahasa.

Dahulu tidak ada kemudahan komputer untuk menulis. Semua karya ditaip di atas kertas dengan menggunakan mesin taip manual. Jadi, jika berlaku kesilapan, perlu dibetulkan semula di atas kertas yang baharu, yakni perlu ditaip semula keseluruhan muka surat tersebut. Begitulah penulis-penulis terdahulu menghasilkan karya mereka. Malah ada yang menulis dengan tangan.

Kedatangan stesen televisyen berbayar dan telefon pintar secara umumnya sudah mengurangkan pembacaan dalam kalangan rakyat kita. Hal ini juga menjadi punca yang menghalang saya untuk memberikan tumpuan yang lebih jitu dalam bidang penulisan. Pada pandangan saya, penghindaran secara berperingkat-peringkat terhadap media sosial di samping pengurusan waktu yang baik dapat meningkatkan daya kreativiti yang sedia ada dalam diri.

Seorang penulis hanya akan dikenali sebagai seorang penulis apabila tulisannya dibukukan. Cerpen-cerpen saya termuat dalam antologi cerpen terbitan DBP seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), manakala kumpulan cerpen Vanakam (2002) diterbitkan oleh Uthaya Sankar SB menerusi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Namun, karya-karya dalam antologi tidak cukup untuk memuaskan hati saya. Saya memulakan kerja mengumpul cerpen-cerpen saya yang pernah disiarkan dalam antologi cerpen, majalah dan akhbar untuk dibukukan pada tahun 2007. Saya menghantar manuskrip cerpen saya untuk diterbitkan oleh DBP. Usaha saya gagal; manuskrip saya dikembalikan dengan pembetulan dan disertakan surat dukacita.

Tujuh tahun kemudian, saya memperkemas semula manuskrip saya itu dengan melakukan beberapa pembetulan dan mengirimkannya ke Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Usaha saya kali kedua tetap gagal. Manuskrip saya dikembalikan dengan alasan cerpen-cerpen saya tidak sesuai untuk dibukukan kerana banyak kisah yang mengandungi unsur ganas.

Kecewa kali kedua memang amat menyakitkan. Hal ini membuatkan saya menjauhi bidang penulisan. Namun begitu, pembacaan masih diteruskan. Perasaan dan keinginan untuk membukukan cerpen-cerpen saya tersimpan jauh di sudut hati.

Saya telah berkongsi pengalaman ini dalam program “Bicara Karya Penulis Kaum India” anjuran DBP, Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM) dan Kavyan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM pada 5 Disember 2018.

Uthaya sentiasa memberikan suntikan semangat pada diri ini supaya terus melibatkan diri dalam bidang penulisan. Walau bagaimanapun, sifat acuh tidak acuh saya membantutkan saya daripada menulis. Dalam hati ini, saya sahaja yang tahu betapa saya menyayangi bidang penulisan dan kesusasteraan Melayu umumnya.

Ramai penulis yang jauh lebih muda daripada saya sudah menghasilkan buku dalam kuantiti yang boleh dibanggakan. Untuk berapa lama saya perlu menunggu sahaja? Jadi saya mengambil keputusan untuk menerbitkan sendiri karya. Saya tidak boleh lagi berlengah-lengah. Saya menemui Uthaya pada November 2017 dan menyatakan hasrat untuk menerbitkan buku. Beliau sedia membantu rakan-rakan penulis yang berhajat menerbitkan buku dalam kuantiti yang kecil dan dengan perbelanjaan yang kecil, tanpa mengabaikan kualiti.

Beliau mengemukakan kertas cadangan, lalu keputusan diambil sebulan kemudian untuk menerbitkan buku Karupaya – kumpulan cerpen sulung saya menjelang usia 50 tahun. Saya mencari semula cerpen-cerpen yang tersimpan di komputer riba, meneliti semula serta memperbaiki kesalahan ejaan dan saya kirimkan kepada beliau melalui e-mel. Saya juga menterjemahkan beberapa cerpen yang pernah tersiar dalam akhbar/majalah Tamil untuk dimuatkan dalam buku ini. Dalam Karupaya terkandung 13 buah cerpen yang membawa kisah permasalahan masyarakat India khasnya serta permasalahan rakyat Malaysia amnya.

Saya amat berterima kasih kepada Kavyan yang sentiasa berusaha memberikan motivasi dan suntikan semangat kepada para penulis amnya, dan penulis kaum India khasnya. Uthaya juga memberikan tunjuk ajar dan membantu saya. Saya turut merakamkan terima kasih kepada sekumpulan sukarelawan yang sudi menawarkan khidmat sebagai penyunting bersekutu bagi memperkemas cerpen-cerpen saya dalam Karupaya.

Begitulah pengalaman saya dalam bidang penulisan ini selama tiga puluh tahun. Walaupun terdapat pelbagai rintangan dari dalam diri dan dari luar, usaha murni ini pasti akan diteruskan agar sastera kebangsaan diwarnai dengan pelbagai warna yang mencerminkan identiti sebenar bangsa Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014957
    Visit Today : 986
    This Month : 34302
    Total Visit : 1014957
    Hits Today : 5402
    Total Hits : 4142204
    Who's Online : 10
  • Kategori