Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

PADA 7 Mac 2019, berlangsungnya program Wadah Cendekia yang membicarakan tajuk “Francis Light Bukan Pembuka Pulau Pinang”. Program kerjasama antara Bahagian Majalah dengan Bahagian Komunikasi Korporat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, ini hasil cetusan idea Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom lanjutan daripada program Bicara Karya oleh Bahagian Majalah yang membicarakan buku Batu Uban: Sejarah Awal Pembukaan Pulau Pinang. Oleh itu, Wadah Cendekia ini diadakan khusus untuk merungkaikan fakta sebenar sejarah awal pembukaan Pulau Pinang.

Hafizah Iszahanid, wartawan Berita Harian merupakan pemudah cara untuk forum ini.

Hafizah Iszahanid, wartawan Berita Harian merupakan pemudah cara untuk forum ini.

Wadah Cendekia yang berlangsung di Balai Seminar, Wisma DBP ini menampilkan tiga ahli panel yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan berkaitan sejarah awal Pulau Pinang, termasuklah mengkaji warkah koleksi Francis Light. Tiga ahli panel tersebut ialah Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, pensyarah Universiti Sains Malaysia dan penulis buku Batu Uban: Sejarah Awal Pembukaan Pulau Pinang, Dr. Ahmad Jelani Halimi, mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia, dan Abdur-Rahman Mohamaed Amin, pensyarah Universiti Teknologi Petronas. Wartawan Berita Harian, iaitu Hafizah Iszahanid pula bertindak selaku pemudah cara.

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican menyatakan bahawa masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat yang tepat mengenai sejarah awal Pulau Pinang.

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican menyatakan bahawa masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat yang tepat mengenai sejarah awal Pulau Pinang.

Selaku ahli panel pertama, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican menyatakan bahawa masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat yang tepat mengenai sejarah awal Pulau Pinang. Beliau menegaskan bahawa tanggapan mengenai pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786 adalah tidak benar. “Kajian membuktikan bahawa terdapat kelompok masyarakat Melayu sudah menghuni Pulau Pinang sejak tahun 1730-an. Hal ini terbukti dengan adanya masjid, salasilah dan asal-usul berkaitan perkara tersebut,” demikian kata beliau dalam mukadimah bicaranya mengenai sejarah awal Pulau Pinang.

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican juga menyebut beberapa nama tempat yang memang sudah wujud sebelum pihak Inggeris menjejakkan kaki di Pulau Pinang. Nama-nama tempat tersebut adalah seperti Tanjung Penaga, Bagam Jermal, Kelawai, Titi Papan, Air Itam, Pulau jerejak, Batu Uban, Sungai Nibong, Sungai Dua, Bayan Lepas dan Balik Pulau. Oleh sebab itu, seawal abad ke-18 beberapa kawasan di Pulau Pinang, termasuk Batu Uban dan Gelugor sudah diduduki oleh orang Melayu. Tambah beliau lagi, pada tahun 1734, Batu Uban dibuka oleh sekumpulan orang Melayu yang berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera, diketuai oleh Mohamad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Intan. Sultan Kedah yang memerintah Pulau Pinang pada waktu itu telah memberikan kebenaran kepada Nakhoda Intan berlabuh di Batu Uban. Seterusnya, saudara Nakhoda Intan yang lain turut membuka beberapa kawasan lain di Bayan Lepas dan Jelutong.

Seorang lagi yang bertanggungjawab atas pembukaan Pulau Pinang sebelum Francis Light ialah Dato’ Jenatun yang telah dihadiahkan 100 ekar tanah di pantai barat Pulau Pinang oleh Sultan Kedah pada ketika itu, iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah ll. Bagi menghargai kurniaan Sultan Kedah itu, Dato’ Jenatun menghadiahi baginda 10 buah naskah al-Quran bertulisan tangan yang dibawa dari Pagar Ruyong.

Abdur-Rahman Mohamaed Amin turut menyuarakan hujah beliau bersandarkan warkah koleksi Francis Light.

Abdur-Rahman Mohamaed Amin turut menyuarakan hujah beliau bersandarkan warkah koleksi Francis Light.

Ahli panel kedua, Dr. Ahmad Jelani Halimi yang juga penulis buku Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, berkata, tindakan Francis Light menduduki Pulau Pinang tidak mendapat izin Sultan Kedah Sultan Abdullah yang pada ketika itu merupakan pemerintah bagi kawasan itu. “Pendaratan Francis Light ke Pulau Pinang dan mengisytiharkannya sebagai koloni British adalah haram dan tidak sah kerana Sultan Abdullah tidak pernah memberikan kebenaran kepadanya untuk berbuat demikian pada masa itu,” demikian kata Dr. Ahmad Jelani. Oleh sebab itu, beliau menegaskan bahawa polemik sejarah pembukaan Pulau Pinang ini perlu dihentikan dengan memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai jaluran sejarah yang sebenar.

Dr. Ahmad Jelani juga memaparkan beberapa warkah milik Francis Light bagi menguatkan hujah bahawa Pulau Pinang bukan sebuah pulau yang tidak berpenghuni semasa Francis Light tiba di situ.Kata beliau, “memang agak sukar untuk kita mengatakan bahawa ketika Francis Light mendarat di Pulau Pinang, pulau itu kosong tidak berpenghuni seperti yang didakwa oleh beberapa orang penulis Barat.” Malahan beberapa laporan dari Barat merekodkan Pulau Pinang telah pun berpenghuni sebelum kedatangan Francis Light. Sebuah laporan daripada Captain Thomas Forrest pada tahun 1785 menyatakan bahawa beliau pernah mengunjungi Pulau Pinang beberapa tahun sebelum British mendudukinya pada tahun 1786. Captain Thomas menyatakan bahawa pulau itu subur dan iklimnya nyaman dan pelbagai tanaman boleh tumbuh di situ. Pada masa itu juga, pulau itu sudah giat menjalankan kegiatan perdagangan. Captain Thomas telah menamakan beberapa tempat di pulau itu yang membuktikan bahawa pulau itu mempunyai penduduk yang lebih ramai berbanding dengan masa pendaratan Francis Light pada tahun 1786.

Dengan menumpu pada keadaan Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light, ahli panel ketiga, iaitu Abdur-Rahman Mohamaed Amin turut menyuarakan hujah beliau bersandarkan warkah koleksi Francis Light. Menurut Abdur-Rahman, Pulau Pinang sudah wujud dalam catatan pelayar dan peta lama. Hal ini dibuktikan melalui catatan James Lancaster (Kapten Inggeris, 1592) yang merekodkan nama “Islands of Pulo Pinaom” dan dalam catatan Peter Floris yang memaparkan nama “Pulo Panying” (1611-1615). Dalam peta lukisan Langenes Barent (1598/1606) pula tercatat nama “Pulo Pinaoum”.

Tetamu yang hadir turut mengambil peluang bertanya dalam sesi soal jawab.

Tetamu yang hadir turut mengambil peluang bertanya dalam sesi soal jawab.

Berdasarkan penelitiannya terhadap warkah koleksi Francis Light juga, Abdur-Rahman menyebut beberapa nama tempat yang terakam dalam warkah tersebut. Antaranya termasuklah Tanjung Penaga, Air Hitam, Sungai Keluang, Batu Maung, Sungai Dua dan Sungai Nibong. Maka itu, Abdur-Rahman menyimpulkan bahawa nama “Pulau Pinang” sudah wujud lama sebelum kedatangan Francis Light. Pulau Pinang juga memiliki nama tempat yang sudah dikenali oleh ramai nakhoda Melayu serta pedagang dan pelayar khususnya dari Eropah. Beliau juga berharap agar nama tempat asal di Pulau Pinang itu dikekalkan sebagai identiti Pulau Pinang.

Yang turut hadir mendengar polemik pembukaan Pulau Pinang yang dibicarakan dalam Wadah Cendekia ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dato’ Hajah Padilah Haji Ali. Selain itu, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar serta Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A Samad Said dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, turut hadir dalam program wadah Cendekia ini.

Tetamu kenamaan mengambil gambar kenangan setelah selesai forum Wadah Cendekia tersebut.

Tetamu kenamaan mengambil gambar kenangan setelah selesai forum Wadah Cendekia tersebut.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043478
    Visit Today : 1342
    This Month : 26077
    Total Visit : 1043478
    Hits Today : 4940
    Total Hits : 4284535
    Who's Online : 8
  • Kategori