Oleh SITI IRNI YUSLINDA BINTI MOSMAN

PROGRAM Pembinaan Bakat Siswa Penulisan Ilmiah telah membuka tirai bulan Mac 2019. Program kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini telah mencapai usia 12 tahun penganjurannya. Kali ini, program ini telah diadakan pada 1 hingga 3 Mac, bertempat di Dewan Bankuet, DBP, Kuala Lumpur.

Dr. Norhayati Ab. Rahman, pembimbing sepanjang program ini berlangsung.

Dr. Norhayati Ab. Rahman, pembimbing sepanjang program ini berlangsung.

Program ini bertujuan untuk menanamkan semangat mencintai dan menghargai khazanah bangsa, khususnya bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan mahasiswa di universiti awam dan swasta. Program ini diharap dapat membimbing mahasiswa supaya lebih memahami konsep dan teori sastera yang dipelajari untuk diaplikasikan dalam teks kajian mereka. Sebanyak sembilan (9) judul karya terbitan DBP tahun 2018 telah menjadi pilihan mahasiswa untuk dikaji, iaitu Novel Manisnya Rambutan Kampung karya Zahari Affandi, Neraca Nisa’ karya Asmah Hashim, Matriark karya Samsiah Mohd Nor, Hari-hari Terakhir di Jesselton karya Ruhaini Matdarin, Gelora karya Azmah Nordin, Kelopak yang Gugur karya Mohd Faui Abdul, Ke Hujung Usia karya A.Rahman C.M, Kumpulan Cerpen Debar di Pelantar karya Norkaidawati Abdul Majid dan Kumpulan Drama Cinta Buta Warna karya Hatta Azad Khan.

Sesi pembentangan cadangan tajuk kajian teks sastera oleh peserta.

Sesi pembentangan cadangan tajuk kajian teks sastera oleh peserta.

Seramai 16 orang mahasiswa dan 16 orang pensyarah pembimbing daripada pelbagai bidang pengajian, mewakili 13 buah universiti awam, dan 3 buah universiti swasta. Program dimulakan dengan Sesi Bersama-sama Editor, yang disampaikan oleh Puan Zaharahanum Kamarudin selaku editor Dewan Sastera, DBP. Semasa sesi ini, penceramah telah berkongsi pengalaman dalam bidang penyuntingan dan memberikan tip menghasilkan karya yang baik untuk diterbitkan dalam majalah DBP.

Peserta tekun mendengar ceramah yang disampaikan.

Peserta tekun mendengar ceramah yang disampaikan.

Dr. Norhayati Ab. Rahman, Pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, juga merupakan Munsyi Dewan (Sastera), dipertanggungjawabkan membimbing para peserta dalam aspek teori dan kritikan sastera. Menurut Dr. Norhayati, penulisan kritikan sastera merupakan suatu bidang ilmu yang saintifik, kerana ia menggunakan pendekatan teori yang tertentu dalam membuat kritikan. Penghasilannya juga melibatkan penghayatan yang merangkumi apresiasi, pengamatan, pemahaman, tanggapan, dan pemikiran yang terhasil sebagai reaksi terhadap sesuatu pembacaan. Oleh itu, pembimbing meminta semua peserta menitikberatkan pembacaan yang teliti kerana ia merupakan syarat utama bagi menerokai setiap aspek yang akan dianalisis dan dinilai dalam teks karya tersebut. Selain itu, para peserta hendaklah memberikan penumpuan kepada aspek kajian yang telah dikenal pasti bagi mendapatkan penelitian yang bersistematik dan berprinsip, seterusnya mencapai objektif yang digariskan.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, DBP, ketika menyampaikan ucapan penagguhan Program Pembinaan Bakat Siswa Penulisan Ilmiah.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, DBP, ketika menyampaikan ucapan penagguhan Program Pembinaan Bakat Siswa Penulisan Ilmiah.

Secara keseluruhannya, program ini mencapai objektif penganjurannya untuk memperkayakan keindahan ilmu sastera dalam kehidupan mahasiswa khususnya yang mengambil jurusan teknikal, sekali gus dapat memupuk minat mahasiswa terhadap bidang kesusasteraan tanah air. Program selama tiga hari ini diakhiri dengan majlis penangguhan program yang disempurnakan oleh Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, DBP.MSS_7606a

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036898
    Visit Today : 380
    This Month : 19497
    Total Visit : 1036898
    Hits Today : 1430
    Total Hits : 4253785
    Who's Online : 9
  • Kategori