rasuah

 

Judul       : Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi

Penulis    : Syed Hussein Alatas

Penerbit   : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Harga       : RM32.00

Pengulas : Jaymani A/P Sevanathan

RASUAH ditakrifkan perbuatan salah guna kuasa untuk mengayakan atau memberikan kelebihan kepada individu, anggota keluarga dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan tanggungjawab menguruskan sesuatu perkara. Rasuah sebenarnya adalah gejala penyimpangan moral dan pelakunya adalah orang yang kurang bermoral atau tidak berakhlak.

Buku yang asalnya bertajuk Corruption: Its Nature, Causes, and Functions ini mengandungi enam bab, iaitu Rasuah di Empayar Romawi, Rasuah di China Kuno, Rasuah di Asia Dewasa Ini, Sebab-sebab Rasuah dalam Masyarakat Asia, Kesan-kesan Rasuah dan Ideologi Rasuah. Secara umumnya, tujuan buku ini ditulis adalah untuk menunjukkan bahawa fenomena rasuah memudaratkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di samping membedah fenomena ini yang berlaku sepanjang zaman dan persepsi masyarakat terhadapnya. Buku ini memerlukan fokus dan pemahaman serta pemikiran kritikal yang tinggi kerana isinya agak berat.

Menurut penulis, antara ciri rasuah diringkaskan sebagai suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan dan penipuan terhadap badan kerajaan, institusi swasta atau masyarakat umum serta melibatkan lebih daripada seorang individu atau pihak. Sebab yang paling utama rasuah berlaku adalah kerana kepentingan diri sendiri atau tidak mempunyai kesedaran sosial sama sekali.

Sesebuah negara yang dibebani oleh masalah rasuah akan muncul sebagai negara kleptokratis. Negara kleptokratis dikuasai oleh para kleptokrat yang melibatkan diri dalam rasuah sebagai alat pengeluaran yang utama. Antara ciri negara kleptokratis adalah wujud rasuah egoistik dan oligarki, iaitu negara dikuasai oleh segolongan kleptokrat egoistik yang kecil. Rasuah egoistik berasaskan keinginan untuk kepentingan peribadi.

Menurut Syed Hussein dalam bab pertama, dalam sejarah Mesir, Babylon, Ibrani, India, China, Yunani dan Romawi Kuno, rasuah sering kali muncul ke permukaan sebagai masalah. Misalnya, Hammurabi dari Babylon yang naik takhta sekitar tahun 1200 SM memerintahkan seorang gabenor wilayah untuk menyelidiki satu kes penyogokan. Undang-undang Hammurabi mengenakan hukuman mati kepada beberapa bentuk rasuah yang dilakukan oleh para pegawai kerajaan. Dalam bab ini juga dikatakan bahawa rasuah dipandang hina sejak 1000 tahun SM di India, sama seperti di China dan Yunani Kuno. Namun, jika kita perhatikan sekarang, India disifatkan memiliki budaya rasuah yang berterusan dan berulang walaupun dikenali sebagai negara demokrasi terbesar di dunia.

Dalam bab kedua, penulis memfokuskan masalah rasuah di China Kuno dan memperlihatkan sifat sejagatnya serta menyemak perbincangan perihal rasuah daripada pendeta dan pemikir China. Rasuah merupakan masalah yang sangat serius di sana. Meluasnya rasuah di China Kuno dapat dilihat daripada jumlah wang yang terlibat apabila orang yang pada mulanya kesulitan untuk menyara keluarga, menjadi kaya-raya setelah dilantik memegang sesuatu jawatan. Misalnya seorang pegawai rendah yang hanya mempunyai seekor kuda dapat mengumpulkan wang berjuta-juta setelah menduduki jawatan tinggi.

Penulis juga mencatatkan pendeta China dan pegawai tadbir yang prihatin terhadap masalah rasuah seperti ahli falsafah China yang berpengaruh, iaitu Konfucius. Bagi Konfucius, kerajaan yang baik asasnya menerapkan nilai-nilai dalam perhubungan peribadi dengan manusia yang bermula dalam keluarga. Tujuan penulis melihat semula sejarah China Kuno adalah untuk mempelajari pengalaman China menghadapi rasuah.

Dalam bab tiga, Syed Hussein memfokuskan rasuah di Asia selepas Perang Dunia Kedua. Beberapa peristiwa tertentu yang terjadi di Indonesia, India dan Pakisan terdapat dalam bab ini. Di Indonesia sebagai contoh, terjadinya rasuah kerana pegawai kerajaan menerima gaji kurang daripada keperluan mereka. Mungkin gaji para pegawai kerajaan boleh menjadi petunjuk kadar rasuah yang telah merosakkan kerajaan. Pada masa yang sama, penulis menegaskan bahawa untuk membicarakan sebab-musabab rasuah di Asia, rujukan perbandingan dengan Amerika Syarikat didapati bermanfaat kerana negara-negara di Asia menghadapi masalah rasuah yang sangat gawat.

Dalam bab empat pula, penulis menjelaskan sebab-musabab rasuah berlaku dalam masyarakat Asia. Jenis sebab-musabab tersebut dapat dibahagikan kepada dua, iaitu yang berlaku secara terus-menerus dalam kontinum masa yang panjang dan yang berlaku dalam jangka masa yang singkat. Salah satu punca kepada rasuah sistemik menyeluruh adalah akibat Perang Dunia Kedua. Persiapan dan perbelanjaan kerajaan untuk membeli bekalan perang telah membuka peluang bagi perbuatan rasuah. Faktor lain yang turut menyumbang kepada kewujudan rasuah adalah pemerintahan kolonial.

Kesan-kesan rasuah termasuk pelbagai bentuk ketidakadilan yang menimpa individu yang tidak terbilang ramainya. Hal ini demikian kerana rasuah merupakan perompakan wang rakyat lebih-lebih lagi negara yang mengalami kesulitan ekonomi serta kesulitan lain. Pada masa yang sama, penerimaan wang sogok kecil-kecilan yang merupakan pelanggaran yang kurang serius dapat berkembang kepada bidang-bidang jenayah lain yang lebih serius.

Di negara yang dipenuhi rasuah, individu yang cuba membongkar gejala rasuah berisiko menerima pembalasan lebih-lebih lagi jika mereka tidak memegang kuasa. Seterusnya, fenomena rasuah boleh tercakup dalam klasifikasi seperti kesan metastatik, kesan psikosentrik, kesan ekonomi rasuah dan sebagainya.

Bagi penulis, program pemerintah untuk mengatasi atau melenyapkan rasuah bergantung kepada keadaan dan kemahuan kelompok pemimpin. Usaha ini juga bergantung kepada pemahaman mereka akan sifat, sebab dan akibat rasuah. Pelbagai pendapat bersifat ilmiah dikemukakan dalam buku ini. Buku ini wajib ditelaah oleh masyarakat, khususnya pemimpin politik dan anak muda agar mendapat kesedaran tentang bagaimana rasuah mampu menghancurkan sesebuah bangsa dan negara.

Sari Mehmed Pasha pernah berkata, “Tidak ada penyebab ketidakadilan dan kekejaman yang lebih besar daripada rasuah kerana penyuapan menghancurkan baik iman mahupun negara.” Oleh itu negara yang mengutamakan sistem politik yang seimbang sudah pasti akan bebas daripada jenayah rasuah. Sesungguhnya rasuah tidak mengenal kaum, agama, gender dan warna.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037430
    Visit Today : 912
    This Month : 20029
    Total Visit : 1037430
    Hits Today : 2873
    Total Hits : 4255228
    Who's Online : 11
  • Kategori