Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

Bicara Karya yang pertama di Bahagian Buku Umum, DBP.

KEMENTERIAN Pendidikan berhasrat untuk menjadikan tempoh masa 10 tahun, iaitu dari tahun 2021 hingga tahun 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Dekad Membaca Kebangsaan merupakan sebahagian daripada usaha ke arah menjadikan Malaysia negara membaca menjelang tahun 2030. Melalui kempen Dekad Membaca Kebangsaan, Dr. Maszlee memperkenalkan slogan #MalaysiaMembaca.

Selain menguar-uarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan melalui media sosial, Dr. Maszlee juga menyeru universiti, perpustakaan awam, sekolah, syarikat penerbitan dan agensi kerajaan untuk memeriahkan lagi gerakan ini dengan cara masing-masing. Maka itu, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyahut slogan #MalaysiaMembaca.

Hasil cetusan idea Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom, DBP melaksanakan program Bicara Karya yang melibatkan bahagian-bahagian di DBP. Bicara Karya yang dijalankan secara mingguan ini memberikan ruang kepada karyawan DBP berkongsi ilmu dan idea serta bertukar-tukar pandangan tentang kandungan sesebuah buku.

Noor Atikah Buang dan Mulia Nasution membicarakan buku Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan, Pentadbiran dan Media.

Pada 4 Disember 2018, Bahagian Buku Umum membuka tirai program Bicara Karya dengan menampilkan Riduwan Wahab yang membicarakan buku Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat karya Za’ba. Buku ini memberikan kesan yang mendalam untuk melakukan muhasabah diri.

Pada 12 Disember 2018 pula, Bahagian Perkamusan mengetengahkan Shahrun Nizal Mohd Nor yang mengulas karya Dr. Ibrahim Ahmad, Asas Ilmu Perkamusan Melayu. Menurut Shahrun Nizal, buku tersebut wajib dibaca oleh sesiapa sahaja yang terlibat dalam kerja penyusunan kamus.

Filzah Ibrahim membicarakan buku cerita kanak-kanak, Alang Pipi Merah menggunakan teknik kamishibai.

Pada 19 Disember 2018, program diteruskan oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dan Bahagian Penguatkuasaan yang menampilkan Nor Atikah Buang dan Mulia Nasution mengulas buku Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan, Pentadbiran dan Media karya Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar. Pengulas memetik kata penulis tentang bahasa Melayu, iaitu, “Saya belum menjumpai dalam mana-mana bahasa selain bahasa Melayu yang meletakkan bahasa sebagai timbalan budi”.

Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi menjadi tuan rumah program Bicara Karya pada 7 Januari 2019. Filzah Ibrahim selaku pembicara buku memilih buku cerita kanak-kanak, Alang Pipi Merah karya Shukri Edrus. Yang menariknya, Filzah menyampaikan naskhah cerita kanak-kanak ini dalam bentuk kamishibai, iaitu teknik bercerita menggunakan visual lukisan yang disusun dalam bingkai yang ditarik satu per satu berdasarkan naratif cerita.

Seterusnya, pada 10 Januari 2019, Bicara Karya berlangsung di Pusat Dokumentasi Melayu. Pustakawan Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi membicarakan buku Ekstralinguistik: Ilmu dan Amalan Menguasai Bahasa Asing karya Rohaidah Kamaruddin. Berdasarkan ulasan Wan Khairoslinda, buku tersebut menjelaskan aspek pemerolehan dan penguasaan bahasa kedua dalam kalangan pelajar Melayu daripada sudut psikolinguistik serta mengemukakan contoh sahih tentang kepentingan menguasai bahasa selain bahasa ibunda.

Bicara Karya oleh Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi di Pusat Dokumentasi Melayu.

Pada 14 Januari 2019, Bicara Karya diteruskan di luar Menara DBP, iaitu di Bahagian Pemasaran dan Pengedaran di Hulu Kelang. Nurhayatty Mahmoda dan Muhammad Rasul Abdul Manan berkongsi ilmu yang diperoleh melalui buku Mencari Makna Diri Melayu karya Datuk Dr. Awang Sariyan dan Kumpulan Cerpen Bagai Burung di Ranting karya Sasterawan Negara Arena Wati.

Program Bicara Karya ini amat bertepatan dengan kedudukan DBP sebagai penerbit kerajaan yang banyak menerbitkan buku yang berkualiti dan sarat dengan mesej yang baik bagi menambah ilmu dan meluaskan pemikiran pembaca. Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah berkata, “Jika saya mempunyai kuasa, kuasa itu ialah kuasa untuk membaca buku”. Oleh itu, untuk menjadi orang yang berkuasa, bacalah buku dan semarakkan slogan #MalaysiaMembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045021
    Visit Today : 1442
    This Month : 27620
    Total Visit : 1045021
    Hits Today : 5348
    Total Hits : 4290321
    Who's Online : 12
  • Kategori