Judul: Mawar untuk Ibu

Penulis: Che Siah Che Man & Janudin Sardi

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2017

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

“MAWAR untuk Ibu” menawarkan pembacaan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu dalam tulisan jawi, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Cerita pendek ini bertemakan alam sekitar dan kehidupan masyarakat yang menekankan budaya tempatan. Sasaran utama pembaca ialah golongan awal remaja dan masyarakat Malaysia yang berminat dengan warisan negara. Sasaran kedua ialah pembaca antarabangsa yang berminat untuk mengenali nilai dan budaya rakyat Malaysia melalui pendedahan tentang falsafah kehidupan masyarakat majoritinya iaitu orang Melayu. Tawaran dalam tiga bahasa dapat membantu pembaca antarabangsa untuk memahami mesej yang ingin disampaikan oleh penulis seterusnya dapat mendedahkan mereka dengan bahasa Melayu Jawi.

Siri ini mengisahkan seorang gadis bernama Melati yang berhasrat untuk menghadiahkan sejambak bunga mawar sempena hari lahir ibunya setelah mendengar dendangan puisi di radio dalam rancangan “Ibu Ratu Hatiku”. Puisi tersebut menyentuh hati Melati lalu dia terus ke Kedai Bunga Idaman. Dalam perjalanan ke kedai bunga, Melati terserempak dengan rakan baiknya, Ros, yang juga mahu membeli bunga. Ros ingin membeli pokok bunga raya untuk hiasan taman rumahnya. Melati bertanyakan sebab Ros memilih bunga raya. Ros menyatakan bahawa bunga raya bunga kebangsaan negara dan melambangkan rasa cinta kepada ibu pertiwi.

Mereka berjalan bersama-sama ke kedai. Di dalam kedai, mereka melihat bahagian bunga raya terlebih dahulu. Kedua-dua rakan baik terpesona dengan kecantikan bunga kebangsaan yang ada di kedai itu. Menurut Ros, bunga raya putih digunakan untuk perubatan manakala bunga raya merah tandanya cinta kepada tanah air. Bunga raya mempunyai lima kelopak yang menunjukkan kebesaran Allah yang Maha Berkuasa dan melambangkan lima perkara dalam rukun Islam. Bunga raya ada pelbagai warna, seperti warna merah, putih, jingga, merah jambu, biru, ungu dan merah campur putih. Melati bertanyakan warna kegemaran Ros. Ros menyatakan bahawa dia suka akan bunga raya berwarna merah pekat tetapi ibunya menasihatinya agar membeli bunga raya putih. Bunga raya putih bukan sahaja melambangkan cinta akan negara malah berguna untuk dijadikan ubat. Daun, batang dan akar bunga raya putih boleh dijadikan ubat.

Selepas menikmati keindahan bunga raya di kedai itu, Melati dan Ros ke sudut bunga mawar. Mereka teruja dengan haruman bau bunga mawar. Ros bertanyakan jumlah bunga mawar yang ada di dunia ini. Penjual bunga di kedai itu menjelaskan bahawa terdapat 150 jenis bunga mawar tetapi di Malaysia, hanya ada beberapa jenis sahaja. Ada mawar yang mekar di tanah rendah dan di tanah tinggi. Bunga mawar yang ada di kedai itu diambil dari Cameron Highland. Melati bertanyakan harga bunga mawar. Penjual itu menjawab bahawa harga sekuntum mawar berharga RM1.50 bagi semua warna. Semasa memilih bunga mawar, Ros bertanyakan sebab Melati mahu membeli bunga mawar. Melati menjelaskan bahawa dia mendengar dendangan sebuah puisi tentang bunga mawar di radio dan berhajat untuk membelinya sebagai hadiah hari lahir ibunya. Ros meminta Melati mendendangkan puisi tersebut yang berbunyi:

Sekuntum mawar merah,

Aku hulurkan kepada ibu,

Tanda kasih dan sayangku

Ibu kaulah ratu hatiku.

Ros terpegun dengan puisi itu. Mereka terus memilih bunga yang berkenan di hati. Tiba-tiba, Ros menjerit kerana jarinya tercucuk duri. Penjual bunga terus melihat keadaan Ros. Penjual bunga mendapatkan minyak akar bunga mawar putih dan menyapunya di jari Ros. Ros terkejut kerana bunga mawar putih juga dapat dijadikan ubat.

Ros mencadangkan Melati memilih bunga mawar merah dan putih. Melati meminta penjual bunga itu menggubahkan sejambak bunga mawar yang dipilihnya. Sementara menunggu gubahan siap, mereka memilih pokok bunga raya putih pula. Ros memilih pokok bunga raya yang berharga RM35. Pokok bunga itu akan ditanam di sudut taman herba di rumah Ros. Ros menjelaskan bahawa proses tumbesaran pokok bunga raya tidak akan terbantut, subur dan cepat berbunga jika ditanam di tanah. Ros mengajak Melati ke rumahnya pada waktu petang untuk menanam bunga raya bersama-sama.

Apabila tiba di rumah Ros, Melati terpegun dengan pelbagai pokok herba ditanam di taman herba rumah Ros. Ros mengatakan bahawa ibunya yang rajin menanam apabila ada kelapangan. Mereka berdua terus menanam pokok bunga raya putih yang dibeli dari kedai bunga tadi. Ros meletakkan tanda nama dan tarikh pokok bunga raya itu ditanam. Sementara menanam, ibu Ros memanggil mereka dari dapur dan mengajak mereka minum petang. Mereka berbual tentang kejadian yang berlaku semasa di kedai bunga dan berkongsi ilmu yang diperoleh mengenai keistimewaan bunga mawar dan bunga raya dengan ibu Ros. Melati menceritakan bahawa ibunya amat menyukai bunga mawar yang dibelinya dan menciumnya beberapa kali di dalam bilik tidurnya.

Melati meminta diri untuk pulang apabila hari sudah senja. Apabila sampai di rumah, ibu Melati menyambutnya. Melati mencadangkan ibunya untuk membina sebuah taman herba seperti taman herba ibu Ros. Ibu Melati menyukai cadangan itu dan mengatakan bahawa dia mahu akan sebuah taman yang dipenuhi bunga ros.

Buku ini diakhiri dengan fakta ringkas mengenai bunga mawar dan bunga raya. Bunga mawar sering dijadikan lambang cinta tetapi ramai orang yang tidak tahu akan faedahnya kepada manusia. Begitu juga dengan bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan negara mempunyai keistemewaan dalam perubatan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036323
    Visit Today : 1101
    This Month : 18922
    Total Visit : 1036323
    Hits Today : 4116
    Total Hits : 4250206
    Who's Online : 6
  • Kategori