Judul: Saya Sayang Penyu

Penulis: Lim Yi Xuan

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2018

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

BUKU cerita ini dapat menarik pembaca dengan ilustrasi kehidupan laut yang berwarna-warni. Mesej yang ringkas dan mudah untuk difahami amat sesuai untuk pembacaan semua peringkat umur. Buku ini mempunyai dua versi bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan tajuk, “I Love Sea Turtles”. Penulis buku ini ingin berkongsi pengalamannya semasa bercuti bersama-sama keluarga di Terengganu. Daripada percutian itu, penulis memperoleh banyak pengetahuan mengenai penyu yang ada di Malaysia. Pengalaman tersebut diterjemahkan dalam buku ini dengan bantuan lukisan yang menarik oleh seorang pelukis muda, Sharpay Lim Yu Jing.

Penceritaan dimulakan dengan lukisan pemandangan di dasar laut berwarna biru dan hijau dengan beberapa ekor penyu yang berenang bebas. Penulis menyelitkan nota kecil tentang kepentingan rumput laut yang banyak dijumpai di kawasan air masin yang cetek di serata dunia. Rumput laut ini menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan untuk banyak haiwan lautan. Rumpai laut juga melindungi pantai daripada ombak yang kuat dan menyerap bahan kimia yang ada di dalam air laut lalu menukarkannya menjadi air laut yang bersih.

Helaian seterusnya menceritakan kegembiraan penulis menghabiskan masa bersama-sama keluarganya di pantai negeri Terengganu. Pada malam harinya, penulis tidur dan bermimpi dikelilingi oleh anak penyu yang memanggilnya untuk meminta bantuan. Penulis mengikut anak penyu itu berenang dan melihat ibu penyu telah terperangkap di dalam pukat pemancing. Tanpa berfikir panjang, penulis terus memotong pukat itu dengan gunting untuk melepaskan ibu anak penyu itu. Penulis terkejut lalu terbangun daripada tidurnya. Penulis menyedari bahawa ancaman utama penyu adalah manusia.

Kerana menyedari masalah itu, penulis mencoretkan pengetahuannya tentang penyu yang ada di Malaysia. Penulis memperkenalkan penyu sebagai hidupan terancam dan menerangkan kitaran hidup seekor penyu yang memerlukan penjagaan rapi daripada penetasan telur sehingga penyu tersebut dapat berenang sendiri ke laut. Penyu dewasa mampu menetaskan antara 70 hingga 140 telur berbentuk bola pingpong beberapa minggu selepas mengawan. Suhu di kawasan pantai semasa penetasan telur juga akan mempengaruhi jantina anak penyu. Suhu yang rendah akan menghasilkan anak penyu jantan manakala suhu tinggi akan menghasilkan penyu betina. Namun begitu, peningkatan suhu dunia menyebabkan banyak penyu betina dihasilkan berbanding dengan penyu jantan. Oleh itu, banyak pusat konservasi di pantai di sekitar Malaysia menyediakan kawasan khas untuk penetasan penyu ini dengan kawalan suhu yang berbeza. Perkara yang paling menarik mengenai penyu ini ialah haiwan ini masih boleh mengingat tempat dilahirkan walaupun setelah 15 hingga 20 tahun berenang di lautan dan akan kembali semula ke pantai yang sama untuk menetaskan telur.

Terdapat tujuh spesies penyu yang ada di dunia, iaitu penyu belimbing, penyu Kemp’s Ridley, penyu hijau, penyu lipas, penyu tempayan, penyu pipih dan penyu sisik. Empat daripada spesies penyu ini bertelur di pantai-pantai di Malaysia iaitu penyu belimbing, penyu sisik, penyu hijau dan penyu lipas. Keempat-empat penyu kini semakin terancam dengan aktiviti pemburuan haram dan perubahan iklim dunia yang tidak menentu. Antara ancaman terbesar ialah pengutipan telur penyu secara haram untuk dijual kepada pelancong dari dalam dan luar negara. Harga dan permintaan telur penyu yang semakin tinggi menyebabkan aktiviti ini mengambil masa untuk dibendung.

Kempen dan inisiatif banyak dianjurkan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pemuliharaan spesis terancam ini seperti taklimat dan ceramah mengenai penyu. Selain itu, pelancong dan orang ramai yang datang ke pusat pemeliharaan berpeluang mengambil anak penyu sebagai anak angkat. Keluarga angkat tersebut akan diberi makluman mengenai perkembangan penyu yang dipilih. Mereka juga berpeluang menyertai aktiviti pelepasan anak penyu angkat ke laut. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat memupuk rasa minat dan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan penyu di Malaysia.

Penulis menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyelamatkan penyu ini daripada ancaman kepupusan. Sikap tamak manusia bukan sahaja boleh menyebabkan kepupusan satu hidupan laut tetapi boleh mengganggu keseimbangan ekosistem yang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036065
    Visit Today : 843
    This Month : 18664
    Total Visit : 1036065
    Hits Today : 3139
    Total Hits : 4249229
    Who's Online : 8
  • Kategori